Bab 32: 𝐚 𝐩𝐫𝐞𝐝𝐚𝐭𝐨𝐫 𝐭𝐡𝐚𝐭 𝐚𝐰𝐚𝐢𝐭𝐬

1.8K 235 47
                                    

YA, aku pilih untuk stayback lagi malam ini. Buat tak dengar dengan arahan Heidi pagi tadi. Bukannya dia tahu pun yang aku stayback di syarikat. Kalau dia telefon, pandai-pandailah aku menipu. Itu pun kalau dia telefon.

Seperti biasa, aku duduk di kerusi sambil membelek-belek fail di tangan. Sambil itu, sebelah lagi tangan memegang pen. Mana yang salah dan perlu disemak semula esok hari, aku bulatkan dengan pen merah.

Bukan satu dua sahaja fail yang aku buka, tapi berjenis-jenis fail ada di atas meja aku. Semuanya terbuka. Terpaksa aku rujuk bergilir-gilir untuk memastikan semuanya tally.

Sehinggalah ada satu bunyi kedengaran dari luar pintu pejabat, dan kepalaku spontan terangkat. Pandang ke luar yang sedikit suram kerana semua pekerja sudah pulang ke rumah. Tapi, aku dah pastikan beberapa lampu masih terpasang agar tak terlalu gelap.

Aku memanjangkan kepala ke luar. Ada staf yang belum balik ke?

Seketika kemudian, keadaan kembali bertukar sunyi sepi.

Aku tergeleng perlahan sebelum kembali memandang fail. Tak lama kemudian, satu lagi bunyi muncul. Kali ini, bunyi yang aku kenal. Bunyi pintu dikuak. Kali ini, apabila kepalaku diangkat, apa yang ada di depan mata buat darahku berderau seketika.

Malik?

Aku pandang tubuh Malik atas bawah. Masih dengan pakaian kerjanya. Tak pernah-pernah pula Malik balik lambat sebelum ini?

"Kenapa tak balik lagi?" Aku menegakkan duduk sebelum menelan liur apabila Malik tiba-tiba menapak ke arah mejaku. Langkahnya sedikit terhuyung-hayang dan apabila dia semakin dekat dengan meja aku, aku rasakan ada satu bau busuk dari badannya.

"Kau tak balik lagi, sayang?"

Aku tersentak. Sayang? Kenapa suara Malik macam orang khayal ini? Hapak pula itu bau mulutnya.

Takkan Malik minum arak kut? Mustahil! Takkanlah Malik sanggup tonggeng air kencing syaitan itu?

"Abang Malik nak apa? Saya sibuk ini." Aku bersuara senada. Cuba menyorokkan getaran dalam suara sendiri. Takut kalau tekaan aku betul.

Malik ketawa perlahan. "Sibuk? Sibuk apa? Cari cara nak jatuhkan aku?"

Pap!

"Abang Malik!" Aku menjerit kecil apabila tangan Malik bergerak menolak segala fail-fail di atas meja aku sehingga jatuh bertaburan semuanya. Satu lagi kerja aku nak menyusun balik semuanya! Apa masalah dia ini sebenarnya?!

"Pergi baliklah! Jangan kacau saya, boleh tak?" Aku merungut kasar sebelum bergerak bangun dari kerusi. Makin lama, makin dekat Malik dengan aku. Dan semakin kuat juga bau arak dari badan Malik itu.

"Apa kau cakap? Kau syak aku? Dengan Shalia?" Malik ketawa sinis.

Kaku terus tangan aku yang ingin mengutip segala kertas-kertas tadi. Malik dengar? Dia curi dengar perbualan aku dan Heidi pagi tadi ke?

"Berapa kali aku nak pesan, sayang? Jangan cabar aku. Kau memang suka halang jalan aku, kan?" Malik mula melangkah ke arah aku. Pandangannya cukup untuk membuat aku menggigil takut.

Aku terus membuka langkah. Nak berlari keluar. Tapi, Malik jauh lebih pantas. Belakang tudung aku berjaya dicengkamnya dengan sebelah tangan sehingga terdengar bunyi tetasan benang selendang aku disebabkan kekasaran Malik.

"Abang Malik!" Aku menjerit perlahan, namun Malik langsung tak peduli.

Sebaliknya, tudungku ditarik sehingga aku turut sama tertarik ke arahnya. Dengan sekali tolakan, dia menolak aku dengan kasar sehingga terbaring di atas lantai. Dengan kalut, aku cuba bangkit namun Malik lebih laju menindih aku dari atas sementara sebelah tangannya mencengkam leherku. Kuat.

SHIRAZ | 𝐫𝐚𝐰 | ✓ completed •Where stories live. Discover now