Derhaka - 7

96 0 0
                                    

Jam tangan menunjukkan pukul 3 petang. Kami masih belum makan tengah hari lagi. Botak tolong membawa barang Secondman. Secondman sudah boleh berjalan tetapi dengan langkah yang terhad, begitu juga Shah. Botak lihat Shah tiada sakit yang teruk cuma tangan kanannya saja yang sakit.

Hampir 1 jam berjalan, Water Point pertama dijumpai. Abang Din mengarahkan base didirikan dengan kadar segera. Botak menolong Secondman menyiapkan tempat tidurnya dan rakan-rakan lain menolong memasak.

Pukul 5 petang, barulah Botak berpeluang untuk makan tengahari. Selesai makan, semuanya berkumpul dengan Abang Din. Medik dilihat sedang merawat Shah dan Secondman. Seketika kemudian, Medik berjumpa dengan Abang Din.

"Abang! Mereka berdua semuanya OK. Saya dah double check. Takde kecederaan dalaman, cuma luka ringan sahaja,"

Abang Din bersuara. "Macam mana dengan tangan Shah? Nampak masih sakit tu,"

"Oh, yang tu cuma terseliuh sahaja. Saya dah periksa, takde patah. Lagipun saya dah sapukan ubat," kata Medik lagi. Botak yang berada di sisi Abang Din hanya mendengar sahaja.

Pukul 6 petang. Botak pergi ke tempat Shah, ke katilnya.

"Jangan bimbang Shah, sakit sikit je tu,"
Shah tidak bersuara hanya tersenyum kecil. Botak rapat ke tubuh Shah, Botak tatap tangan Shah yang lebam, terseliuh. Botak hairan kerana seluruh tangan kanan termasuk jarinya, berwarna merah menyala seperti bara api.

Perlahan tangan Botak merayap, menyentuh ke kulit tangan Shah. Apabila tersentuh saja, "Ya Allah, panasnya!" bisik hati hati Botak. Cepat-cepat Botak menarik tangan kerana tidak tahan dengan kepanasan tangan Shah. Botak merasakan di sebalik kulit tangan Shah seperti ada api yang menyala. Shah tidak perasan perbuatan Botak. Shah juga tidak banyak bercakap. Shah kelihatan sangat lemah. Akhirnya Botak tinggalkan Shah untuk berehat.

Malam mendatang, di langit wajahnya tidak berseri langsung. Bintang entah hilang ke mana, gelap sahaja. Selesai makan malam, Botak dan rakan berkumpul di depan unggun api. Sedang asyik berbual, tersentap semuanya terdiam. Terhenti bicara mereka secara tiba-tiba.

Terdiam kerana terdengar suara seorang kawan. Suara kawan yang amat dikenali sedang merintih, suaranya seperti menahan kesakitan. Secondman sudah pulih dan boleh berjalan tanpa bantuan. Tapi Shah sebaliknya. Kelihatan Medik bergegas ke tempat Shah.

"Petang tadi Shah macam OK. Takkan Medik terlepas pandang? Internal Bleeding ke?"

Botak bercakap sendiri sambil membuat andaian. Dalam keadaan berdiri Botak melihat Medik masuk ke tempat Shah. Ketika suara Shah sudah senyap, kelihatan Medik mengatur langkah keluar menuju ke arah Abang Din.

"OK Abang! Tak ada apa. Saya dah beri ubat. Kittt..."

Tidak sempat Medik menghabiskan bicaranya. Suara Shah kedengaran semula, kali ini suaranya seperti orang dalam kesejukan, menggigil. Suara merintihnya kekal berterusan. Akhirnya berubah suara Shah meraung kesakitan.

"Ahhh! Ahhh!"

Meremang bulu tengkuk Botak ketika itu.
"Pelik! Apa yang tak kena ni?" Bisik Botak.

Suara Shah bertambah kuat, semuanya berlari ke tempat Shah. Kami mengelilingi katil Shah, ada yang duduk dan ada yang berdiri. Botak berdiri di hadapan kaki Shah.

Di hadapan Botak, terbaring kawan baiknya yang diselimut dengan blanket berwarna hijau. Matanya terkerdip-kerdip laju dan mukanya berpeluh seolah-olah malam ini hawanya sangat panas. Sedangkan di luar, kabus berarak manja. Medik sedang sibuk merawat Shah.

Abang Din berkata pada Medik.
"Apa kecederaan anak buah saya yang sakit sangat ni?"

"Abang, saya tak pasti. Saya dah periksa semua anggota tubuhnya tapi takde apa yang cedera," panik wajah Medik. Kekeliruan melanda dirinya.

"Tak sakit apa macam ni?" Agak tinggi nada suara Abang Din. Abang Din cuba melindungi anak buahnya.

"Serius! Saya dah periksa banyak kali takde sakit apa-apa," Medik kelihatan serba salah. Wajah paniknya makin ketara.

Abang Din terdiam. Semua yang berada di situ turut merasa pelik. Pada pendapat Botak, Medik tahu Shah sakit, tetapi Medik tidak tahu puncanya.

Tiba-tiba nafas Shah tersekat-sekat, kelihatan amat sukar untuk Shah menarik nafas. Seperti orang sakit Asma ulahnya. Matanya terbuka tapi hanya memandang ke atas dan dadanya berombak. Terangkat badannya apabila setiap kali menarik nafas. Di dalam mulutnya berbunyi seperti gigi berlaga.

Seketika kemudian Shah kembali tenang. Matanya tertutup, suaranya senyap. Pelik betul keadaan Shah pada ketika itu.
Botak hanya memandang sahaja. Botak tidak tahu dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Kesedihan menjelma di wajah Botak. Kawan-kawan yang lain hanya mampu berpandangan sesama sendiri. Kesedihan dan sebak kekal menguasai hati dan perasaan mereka.

Hutan - DerhakaWhere stories live. Discover now