Bab 1

2.7K 126 1
                                    

Bab 1

BERITA DALAM NEGARA

SEBUAH pesawat ringan peribadi yang hilang dari radar menara kawalan trafik udara disyaki terhempas di utara kawasan hutan Banjaran Titiwangsa. Kerja-kerja mencari dan menyelamat oleh pihak Armada Udara Diraja dibantu Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang sedang giat dijalankan sejak semalam sebaik sahaja mendapat makluman tentang kehilangan pesawat itu. Mangsa seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara Malaysia yang masing-masing berusia 32 dan 28 tahun dikhabarkan sedang membuat penerbangan bagi meraikan hari ulang tahun perkahwinan mereka. Namun, hari bahagia itu berubah menjadi mimpi ngeri apabila angin yang bertiup lebih kencang daripada ramalan. Lebih memburukkan keadaan apabila hujan turun dengan lebat menyebabkan kerja-kerja mencari dan menyelamat terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Perkembangan mengenai kes pesawat ringan terhempas ini akan diberi dari semasa ke semasa.

Berita yang disampaikan oleh pembaca berita di radio itu aku dengar sehingga habis barulah enjin kereta aku matikan. Kopi dalam tin diteguk buat kali terakhir sebelum aku melangkah keluar. Tin kopi yang sudah kosong aku campak tepat masuk ke dalam tong sampah. Langkah diatur terus ke hangar tempat Airbus Helicopter EC725 ditempatkan. Arahan daripada pihak atasan sudah sampai kepada aku. Khidmat EC725 diperlukan untuk membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat pesawat ringan yang terhempas. Armada Udara Diraja memiliki 20 buah helikopter pengangkutan taktikal yang dibangunkan berdasarkan model Eurocopter AS532 Cougar untuk kegunaan ketenteraan terutama bagi tugas Search And Rescue (SAR) dan Combat Search And Rescue (CSAR).

Sut hijau juruterbang Armada Udara Diraja tersarung kemas pada badanku. Impian akan kekal sebagai mimpi andai tidak bangkit berusaha untuk menjadikannya satu realiti. Menjadi seorang juruterbang memang impian aku sejak kecil. Tak kisahlah bawa kapal terbang awam, kapal terbang kargo, jet pejuang atau helikopter. Apa yang aku tahu, aku mahu terbang tinggi di langit, membelah awan dan menari mengelilingi pelangi.

Rezeki aku dapat terbang bersama Armada Udara Diraja sebagai juruterbang helikopter. Mungkin kerana darah satria yang diwarisi daripada ayah aku yang merupakan seorang tentera laut menyebabkan aku juga cenderung untuk menceburi bidang pertahanan negara. Tetapi jika harus dipilih antara hamparan daratan, lautan atau langit, aku pilih langit yang tidak berpenghujung.

"Selamat pagi, Mejar Zahra." Salah seorang juruteknik helikopter menegur aku.

"Selamat pagi." Ucapan selamat itu dibalas tidak terlalu mesra. Cukup sekadar berbudi bahasa.

Aku menghampiri helikopter EC725 yang sedang diperiksa sebelum penerbangan dilakukan. Jam digital pada tangan kujeling sekilas. Masih berbaki 30 minit sebelum berlepas ke Kem Udara Jugra bagi mengambil satu skuadron PASKAU dengan kekuatan seramai 6 anggota.

Seorang pembantu juruterbang yang akan duduk di sebelah aku dan dua orang kru penerbangan di bahagian perut helikopter akan kubawa bersama. Aku, Mejar Zahra Kamelia merupakan komander pesawat helikopter bagi penerbangan mencari dan menyelamat hari ini.

Selesai pemeriksaan akhir dilakukan, pintu hadapan helikopter terus dibuka dan aku masuk ke bahagian kokpit. Enjin helikopter dihidupkan dan beberapa butang ditekan. Rotor perlahan-lahan berputar. Aku hanya menunggu arahan daripada marshal untuk berlepas.

Sebaik sahaja mendapat isyarat berlepas, perlahan-lahan helikopter kuapungkan lalu terus membelah laluan udara menuju ke Jugra. Angin dan cuaca pagi ini cukup elok untuk menerbangkan helikopter namun hujan lebat dijangka turun ketika tamat syif matahari nanti. Semoga baik-baik sahaja hendaknya. Tugas mencari dan menyelamat dalam cuaca buruk pada malam yang kelam bukanlah satu idea yang baik.

Tiba di lokasi pengambilan, helikopter didaratkan di pad pendaratan helikopter. Aku keluar dengan topi keledar yang masih tersarung di kepala. Visor gelap yang menutup separuh wajah aku belum lagi aku angkat.

Sayap Satria | PBAKL 2022Where stories live. Discover now