Bab 5

1.7K 106 9
                                    


Bab 5

HUJAN turun dengan agak lebat seperti yang telah diramalkan oleh Jabatan Meteorologi. Sejuk dia terasa hingga ke tulang hitam. Kalau boleh matikan pendingin hawa kereta, sudah lama aku matikan tapi takut tak bergerak pula pengudaraan dalam kereta ini. Tak fasal, jadi kes lain pula nanti. Dari jauh aku sudah dapat mengesan lokasi dia. Rambut pendek, baju-t hitam lengan pendek yang dimasukkan kemas ke dalam seluar loreng digital Armada Udara Diraja dan kasut but. Dari dulu sampai sekarang dia tak berubah. Aku menekan pedal minyak perlahan-lahan mengikut barisan di bahagian menurunkan dan mengambil penumpang.

Dia sudah perasan kehadiran aku. Beg sandang yang disandarkan pada tiang batu dipikul pada bahu sebelah kiri. Tak lepas Americano ais di tangan kanannya yang makin sasa.

"Hai sayang, terima kasih jemput I." Senyumannya menggoda habis. Manis semanis kulitnya yang hitam manis. Dia ini pujaan hati ramai tapi sejenis dengan aku. Malas nak fikir tentang percintaan.

"Banyaklah kau punya sayang. Cepatlah masuk nanti kena hon tak fasal." Aku acah garang.

Pintu belakang dibuka kemudian beg sandangnya diletak bersebelahan dengan beg aku. Kemudian, dia terus duduk di sebelah tempat duduk pemandu.

"Selamat pulang, Kapten Priya." Aku akhirnya dapat menyambut kepulangannya dari kursus di luar negara.

Kapten Priya ini seorang lagi juruterbang wanita Armada Udara Diraja yang boleh menerbangkan helikopter gergasi sama seperti aku. Kami memang berkawan baik sejak zaman asasi. Dia yang banyak membantu operasi perang senyap aku ke atas Atif. Kadang, dia yang buat rancangan untuk mengenakan Atif. Gadis India tomboy ini boleh tahan gila-gila perangainya.

"Terima kasih, Mejar Zahra." Begitu formal jawapannya.

Pecah ketawa kami berdua.

"Kau ni kan, hujan panas ribut petir memang tak lepas Americano ais tu. Suara dah garau macam jantan dah. Terkejut aku tadi masa angkat telefon. Ingatkan lelaki mana la tadi. Terlebih minum ais lah tu." Aku menegur kopi di tangannya.

"Baik lagi aku minum Americano daripada aku merokok kan? Update weh update. Apa jadi antara kau dengan Atif?" Priya ingin tahu. Semalam aku ada menghubungi Priya untuk bergosip tentang Atif tapi tak sempat masuk cerita, bateri telefon dia mati pula.

"Aku kalah perang. Bulan depan bertunang." Aku melepaskan keluhan berat.

"Sumpahlah? Serius? Dia culik kau lepas tu acu pistol dekat kepala ke suruh kau kahwin juga dengan dia? Gila." Terkejut betul Priya mendengar butir bicara aku kerana Priya tahu betapa kerasnya aku bila melibatkan hati dan perasaan.

"Kalau dia acu pistol dekat kepala, aku boleh lawan balik. Masalahnya dia guna mak aku. Tak adalah guna tapi macam mana nak cakap eh? Dia tawan hati keluarga aku dulu lepas tu ibu aku buat serangan akhir. Karang masuk neraka pula kalau aku lawan," balasku.

"Aku kata dah dia akan buat macam tu. Aku kata dah kan jangan bagi dia rapat dengan keluarga kau tapi itulah... Kau degil tak nak dengar cakap aku. Biar je dia datang Chalet Bayu. Akupun tak datang sekerap dia walaupun aku ni best friend forever kau. Kau bagi musuh masuk kubu memang 100% sah kau akan kalah. Aiyooo how silly can you be? Dah tu sekarang ni tinggal aku jelah dalam kelab single?" Priya mula hendak membebel.

"Tahu, tahu. Tu yang sekarang ni kau kena tolong aku cari jalan batalkan rancangan pertunangan ni jadi tak payahlah aku keluar kelab. Kau tolonglah aku. Bolehlah, Priya." Aku memujuknya.

"Kau nak aku buat apa? Culik dia, kerat 16 lepas tu baling dari heli macam hujan daging manusia?" Menakutkan betul cadangan dia ni. Terlalu ganas dan ngeri.

Sayap Satria | PBAKL 2022Where stories live. Discover now