Bab 4

1K 85 5
                                    

Bab 4

AKU pulang ke Sepang sehari selepas memberi lampu hijau kepada keluarga Atif untuk datang meminang. Atif masih berada di Chalet Bayu. Dia ada projek lanskap bersama ibu. Manalah ibu aku tak sayang, dah macam dapat anak lagi seorang.

Pedal minyak kutekan konsisten 110 km/j. Radio tidak kuhidupkan sejak awal pemanduan. Bukan tidak sudi mendengar celoteh DJ radio tetapi minda aku masih tidak terurus. Serabut, tapi aku sendiri tidak jelas dengan apa yang aku serabutkan sebenarnya.

Atif Aizuddin. Nama itu kugali dalam kotak memori. Cuba mencari kembali jalan kehidupan dan aturan takdir yang selari. Tidak perlu aku cari terlalu dalam, dia memang tak pernah hilang daripada ingatan walaupun aku tidak pernah memikirkan tentang dia secara sedar.

Aku dan Atif mempunyai sejarah yang agak panjang. Kali pertama aku mengenali Atif ketika zaman asasi tetapi perkenalan itu hanya sekadar mengenali nama dan wajahnya kerana dia ketua untuk kelas kuliah aku. Aku mula betul-betul berinteraksi, bertentang empat mata dan berkomunikasi dengan Atif pada tahun kedua bergelar pegawai kadet yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal sehingga tahun akhir kerana aku dan dia mula aktif dalam arena politik kampus.

Punca aku teragak-agak hendak menerima dia sebagai suami selain daripada tak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri ialah aku pernah lancarkan perang secara senyap ke atas Atif sewaktu bergelar pegawai kadet di Universiti Pertahanan dahulu kerana dia antara pegawai kadet yang aku agak anti. Dia terlalu berwawasan sehingga menambah beban kerja orang. Akulah orang yang terbeban tu. Kadang, rasa macam nak culik dia lepas tu humban dalam gaung biar mudah sikit kerja aku. Kalau tak dapat humban dalam gaung, dapat sangkut dia dekat tiang benderapun jadilah. Tapi aku bukan boleh nak membantah sangat sebab apa yang Atif buat, semuanya mendatangkan manfaat kepada institusi dan pegawai kadet lain. Dia seorang yang proaktif jadi kami yang berada di bawah panji pimpinan dia, mahu tidak mahu perlu bergerak seiring.

Minda aku memutarkan kembali memori silam yang hanya tinggal kenangan.

SEPULUH TAHUN LALU...

UNIVERSITI PERTAHANAN

BUKU LOG kertas kuning bergaris lurus melintang kubuka pada halaman yang masih lagi suci. Aku menyelongkar kotak pensel bagi mencari pen hitam kegemaran aku namun ia tidak dapat dikesan dalam radar penglihatan. Otak aku ligat memikirkan di mana letaknya pen hitam itu. Aku bukan sejenis yang suka letak barang merata jadi musykil juga dengan kehilangan itu.

"Kita buka mesyuarat kita hari ini dengan ummul kitab, Al-Fatihah." Atif memulakan mesyuarat dengan cara rutinnya.

Aku terus menadah tangan untuk membaca Al-Fatihah. Kemudian aku ambil sahaja mana-mana pen yang pertama disentuh oleh tangan untuk mula mencatat minit mesyuarat memandangkan aku merupakan setiausaha agung Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi kali ini.

"Agenda kita yang pertama, tentang Program Cabaran Siswa." Atif terus ke agenda pertama tanpa membuang masa.

Aku perhatikan pen yang dia pegang. Sah, itu pen aku kerana ada tanda pelekat putih yang memang aku jadikan tanda setiap barangan aku. Dia pinjam pen itu untuk tandatangan kehadiran kelas sebelum ini lepas tu buat harta pula. Nantilah aku tuntut kembali pen itu.

"Zahra, nanti tolong betulkan tarikh dekat surat kepada setiap fakulti."

"Zahra, nanti buat surat untuk cari sponsor."

"Zahra, tolong semak kertas kerja bahagian ni. Ada nak kena tambah sikit."

"Tak apa, nanti saya dan Zahra akan buat semak silang tentang perkara tu."

Sayap Satria | PBAKL 2022Where stories live. Discover now