Bab 2

1.3K 103 8
                                    

Bab 2

KERTAS putih bersaiz A4 aku ambil bersama sebatang pen hitam. Pen aku ketuk-ketuk perlahan pada bibir untuk mencari idea hendak tulis apa atas kertas kosong ini. Aku membuang pandangan ke arah pantai. Jauh manapun aku terbang, ke Pulau Pangkor ini juga aku akan pulang. Tempat jatuh lagikan dikenang, apatah lagi tempat berguling, tersungkur, menangis dan ketawa. Ini, rumah aku. Baru semalam aku menjejakkan kaki kembali ke asalan.

Akhirnya sel-sel otak aku berfungsi. Pena mula menari di atas kertas yang sudah tidak kosong lagi. Aku mencoret satu senarai pendek.

Senarai keinginan

1. Paragliding sebab dah lama sangat tak buat.

2. Mendaki tak kisah la gunung ke bukit ke asalkan mendaki.

3. Main buaian ikat dekat pokok style kampung.

4. Dating dekat langit naik pesawat ringan. Kalau ada jodoh lah, kalau tak, naik sendiri.

Cukuplah empat ini sahaja dulu. Entah akan dibuat atau tidak aku sendiri tak tahu. Rasa macam malas pula nak simpan sebab bukannya aku memiliki kemewahan masa untuk menunaikan keinginan peribadi. Kalau ada cutipun, selalunya aku akan memilih untuk tidur. Kalau rajin sikit, aku bantulah apa yang patut di chalet. Kertas ditanganku, aku lipat menjadi kapal terbang kertas lalu aku layangkan dari Menara Tinjau Chalet Bayu milik keluarga aku kerana pada hakikatnya, semua ini cuma angan-angan belaka. Walaupun nampak macam mudah untuk dipenuhi, aku dikekang oleh masa dan tugas yang tidak pernah lelah mengejar aku.

Aku memerhatikan kapal terbang kertas itu terbang tetapi belum sempat aku lihat tempatnya mendarat, aku ternampak sosok tubuh ibu yang sedang berjalan menuju ke luar kawasan chalet.

"Ibu nak pergi pantai ke tu?" Aku menegur ibu yang masih kuat berjalan dan sihat tubuhnya dalam usia yang sudah menjangkau angka 60-an. Syukur, Alhamdulillah atas kurniaan Tuhan.

"Ha, pergi pantai depan tu. Macam biasa... Nak ambil angin sekejap," balas ibu.

Tidak menunggu lama, aku turun dari menara tinjau itu dan terus menghampiri ibu. Kami berjalan menuju ke Pantai Teluk Nipah. Kami duduk di kawasan yang memang sudah menjadi tempat ibu duduk sekian lama. Aku membesar dengan melihat belakang tubuh ibu yang duduk dengan tenang menghadap laut tanpa gagal pada setiap pagi. Ibu akan layangkan salam rindunya buat ayah yang sudah lama meninggalkan kami sambil bertasbih memuji kebesaran Ilahi.

"Ibu, ibu tak jemu ke tengok pantai hari-hari?" Sengaja aku bertanya soalan yang aku sendiri tahu jawapannya.

"Kalau dah sayang, hati takkan jemu. Tapi ibu jemu jugalah nak tanya soalan ni, Mejar Zahra Kamelia kusayang, bila nak bawakan ibu menantu? Kawan kamu tu dah berapa kali tanya dekat ibu, takkanlah tak berkenan dekat dia. Kalau kamu tak berkenanpun, ibu berkenan betul dengan dia tu." Ibu menyiku lengan aku.

Aku nak kenakan ibu, ibu kenakan aku balik. Tak boleh jadi macam ni.

"Bukan tak berkenan, belum sampai seru lagi nak kahwin. Ha... Macam ni, nanti orang cari dekat Shopee ke, Lazada ke. Kalau boleh claim free shipping, orang pesan menantu satu, bagi dekat ibu. Macam mana? Boleh ke?" Aku memberi jawapan loyar bukan main buruk.

"Bertuah punya budak. Kalau yang datang dekat kamu tu kamu tak sudi, ibu carikan nak? Kamu tu bukan muda lagi. Dah tiga tahun dah umur tu pangkalnya angka tiga. Ada orang yang sudi nak dekat kamu, kamu beriya tolak. Bukan tak elok yang nakkan kamu tu. Kamu tu janganlah memilih sangat. Kamu nak tunggu anak raja masuk meminang ke macam mana?" Ibu cuba memujuk aku yang begitu keras kepala.

Sayap Satria | PBAKL 2022Where stories live. Discover now