Bab 1

250 7 0
                                    

SEBUNGKUS besar plastik yang berisi barang dapur diletakkan di atas meja. Asma yang baru keluar dari dapur tersenyum melihat Hanina. Terduduk lesu gadis itu di kerusi kecil yang tersedia untuk anak-anak kecil di situ.

"Penat sangat kot..." komen Asma pendek.

Asma menghulurkan segelas air kosong kepada Hanina. Kebiasaannya, itu adalah menu wajib yang akan dipinta oleh Hanina. Air kosong untuk isi kekosongan dalam perut.

"Thanks Asma... awak tahu sangat rutin minuman saya."

Hanina menyambut gembira air kosong yang dihulurkan oleh Asma. Dengan lafaz bismillah, diteguk perlahan. Terasa air melalui tekak. Bagai ada bayu sejuk yang mendamaikan. Mendinginkan tekak kering akibat bahang cuaca di luar. Walaupun waktu mulai menginjak ke senja namun bahang kepanasan di siang hari masih terasa.

Asma terus berdiri di sisi Hanina. Memerhatikan majikannya yang sedang meneguk air sedikit demi sedikit. Bibirnya teroles dengan senyuman kecil.

"Senyum pulak... fikir apa?" soal Hanina. Gelas kosong diletakkan atas meja. Badannya disandarkan bebas pada kerusi. Kipas yang berpusing laju makin mendinginkan suasana.

"Tak ada apalah Kak Nina..."

"Asal tanya, mesti tak ada apa... awak ni, kuat berahsia jugak kan! Macam Qaiser... tanya apa pun tak nak cerita," Hanina terus memuncungkan bibir. Matanya sempat menjeling ke arah Asma yang terkedu melihat responnya itu.

"Eh, apa pulak samakan dengan Abang Qaiser..." balas Asma serba salah. Wajah monyok Hanina hanya menghadiahkan gusar di jiwa.

"Saya jealous betul dengan awak ni!" Hanina terus mengetap bibir. Jujur, dia cemburukan Asma. Kalau selama ini, dia boleh melihat semula wajah Qaiser pun hanya disebabkan Asma. Lelaki itu rajin benar datang berkunjung untuk mengetahui keadaan Asma.

"Jealous kenapa?"

"Qaiser tu bukan main jaga awak kan? Untunglah..." Hanina sudah beralih memandang dinding. "Untunglah awak... ada orang nak ambil berat. Saya ni, hari-hari mengangkat barang berat... tak ada siapa pun nak ambil berat," sambung Hanina berjauh hati. Terasa jauh sekali rasanya hati itu untuk ditemukan dengan jiwa Qaiser. Terasa lelah Hanina mencuba. Tetapi tidak pula dia hendak berputus asa.

"Abang Qaiser kan, macam abang saya..." balas Asma merendah.

Hanina berpaling semula memandang Asma. Wajahnya masih monyok. Mencuka. Ada persoalan yang menganggu mindanya.

"Betul ke, Qaiser macam abang aje untuk awak? Bukan abang dalam inverted comma?" soal Hanina dengan wajah kartun sekali.

Asma menggeleng laju. Mustahil Qaiser itu akan menjadi lebih daripada seorang abang buat dirinya. Lagipun, dia sedar diri. Dia tahu dia tidak layak buat sesiapa. Cukuplah apa yang dimiliki setakat ini.

"Tapi kenapa saya rasa... Qaiser sayang awak, banyak... banyakkk..." ucap Hanina comel. Wajahnya makin sayu. Jujur, dia tidak mengharap. Tetapi rasa cemburu, bukan sesuatu yang mampu dikawal atau dibuang begitu sahaja. Kalau rasa, akan sakit juga.

"Akak ni, banyak sangat fikirkan saya... lebih baik, fikirkan Abang Qaiser aje," Asma membalas tenang. Setakat apa yang dikatakan oleh Hanina, tidak mungkin menggoyahkan hatinya. Lagipun, dia tahu atas dasar apa Qaiser prihatin kepada dirinya.

"Suami Asma, langsung tak ambil peduli pasal Asma dengan anak ke?" soal Hanina tiba-tiba. Tidak pernah sekalipun dia bertanya tentang hal itu. Namun, terkeluar juga secara spontan tanpa dirancang. Melihat perubahan riak wajah Asma, Hanina segera memohon maaf.

"Sorry. Saya bukan nak kecilkan hati Asma... maaf."

Asma tersenyum nipis. "Tak apalah kak... orang yang tak diingini macam saya ni, memang lebih baik tak dipedulikan aje. Ada di depan mata, menyusahkan... kalau tak ada, mungkin lebih menyenangkan... ayah anak saya ni, tak nak pun dengan dia. Jadi, bila tak suka... memang tak dipeduli," ucap Asma sayu. Memikirkan kenangan itu, terusik hatinya.

Tangannya dibawa perlahan ke perut. Sudah makin memboyot. Hanya menunggu masa sebenarnya. Dan selama tempoh itu juga, anaknya tidak kenal, siapa bapa kandungnya. Kecuali seorang itu...

"Baby, awak buat apa dekat dalam tu? Sihat ke? Jangan nakal-nakal sangat tau. Jangan susahkan mama awak... tapi, kalau mama buli baby... cepat-cepat cakap dengan papa, okey," ceria suara itu mengusik pendengaran.

Mengingatkan itu, hati Asma terasa bergetar. Getaran yang tidak pernah disedari sebelum ini. Terus sahaja pandangannya terpanah ke wajah Hanina. Kelu lidahnya.

BEG KECIL yang biasa dibawanya ketika ke luar negeri diletakkan di sisi pintu. Ceria sahaja wajahnya sejak pagi tadi. Rasa seronok pula kalau dapat travel hari-hari macam ini. Kunci kereta di atas meja dicapai. Nama emaknya dilaung dari ruang tamu.

"Hai, dah siap? Cepatnya... macam baru dengar aje tadi Qaiser kata nak ke Shah Alam. Ini terus nak gerak?" soal Puan Rohani pelik. Qaiser dengan senyuman lebarnya, ceria bukan main. Membuatkan hati tuanya terasa risau tidak kira masa.

"Tak sabar..." balas Qaiser tanpa sedar.

Makin berkerut dahi Puan Rohani. "Lain macam aje mak dengar ni... tak sabar apa ni?"

Qaiser dilihatnya sudah mengerak-gerakkan bibir tanpa suara. Pastinya terkelu tidak jumpa perkataan untuk dilontar sebagai bicara.

"Qaiser ni, kerap sangat ke sana... risau mak," Puan Rohani menyuarakan rasa hatinya.

"Risau kenapa pulak mak? Qaiser bukan budak kecil lagi... pandai jaga diri," Qaiser sudah memegang bahu Puan Rohani erat. Matanya dikelipkan tanda memberi keyakinan. Dia mampu menjaga diri dengan baik. Setakat perjalanan dari Taiping ke Shah Alam, macam makan ais kacang saja.

"Kalau Qaiser kecil pun, mak tak serisau ni... sebab Qaiser dah besar panjanglah, mak risau."

"Kenapa ni mak?"

"Jawab dengan jujur dekat mak..." Puan Rohani berjeda. Lengan Qaiser ditarik dan diarah untuk duduk di sofa. Ada perkara yang harus dibincangkan seketika sebelum anaknya bertolak. Beria sangat minggu-minggu untuk ke Shah Alam... dah kenapa? Macam tak ada kerja lain pula.

"Qaiser suka dengan dia ke?" soal Puan Rohani serius.

Qaiser tersenyum kelat. Berat. Soalan yang ditanya itu berat sekali untuk dijawab. "Suka siapa pulak ni mak?" dalihnya.

"Asma..."

Sebaris nama itu disebut tegas oleh Puan Rohani.

Qaiser tersengih sumbing. "Mana ada mak... dia macam adik aje."

"Jangan tipu mak!" Meninggi suara Puan Rohani. "Jangan tipu mak Qaiser... mak ni, mak Qaiser... mak nampak apa yang mungkin Qaiser sendiri tak nampak. Kalau Qaiser nak berdalih jugak, tak payah dah nak susahkan diri pergi ke Shah Alam tu... biarkan aje Asma tu. Dia ada keluarga yang boleh ambil berat pasal dia. Kenapa pulak Qaiser nak menyusahkan diri untuk ke sana tiap-tiap minggu... apa kamu tak ada kerja lain!"

Puan Rohani terus bangkit dan masuk ke dapur. Meninggalkan Qaiser terpinga-pinga. Terkedu tanpa jawapan. Dan tidak mungkinlah dia mampu menahan perasaan yang sudah tidak sabar untuk sampai ke Shah Alam itu. Atau mungkin lebih tepat, jasad sahaja di sini... jiwa sudah lebih awal terbang ke situ.

"Dah... fikir apa lagi?" Puan Rohani muncul kembali. Tangannya bercekak pinggang dengan sudip di sebelah tangan lagi.

"Nak suruh mengaku dah suka dengan anak orang pun susah ke?" mata Puan Rohani terjegil. Geramnya dia dengan sikap Qaiser ini. Rasanya ini lebih susah daripada permintaan suruh si abang, Iman Anas berkahwin dulu.

"Mak..." Qaiser masih berusaha untuk mengelak memberi jawapan.

"Masih tak nak mengaku?" Puan Rohani mengetap bibirnya. Ikutkan hati, diketuk sahaja kepala Qaiser dengan sudip yang dipegang itu. "Tak mengaku, tak lepas keluar dari rumah tau!"

Puan Rohani terus sahaja bergerak ke arah pintu, mangga yang sedia tergantung di pagar dicapai dan dikunci.

"Mak!!!"

Qaiser nyata tergamam.

"Choice in your hand!" Puan Rohani tersenyum menang.

Jangan Biar Aku Pergi (SUDAH TERBIT) NOVEMBER 2022Where stories live. Discover now