Bab 11

47 3 0
                                    

LAMA Hanina termenung menghadap meja makan. Permintaan yang dibangkitkan oleh emaknya bukanlah satu perancangan yang baik bagi menjamin masa hadapan. Dia tidak keliru, jauh sekali buntu. Namun, jawapan yang diberi langsung tidak melekat di hati seorang ibu.

"Nina... dengarlah cakap mak."

Hanina menggeleng laju. Apa pun yang bakal diucapkan oleh emaknya, dia tidak berniat untuk mempertimbangkan. Langsung tidak!

"Apa salahnya Nina?"

"Nina tak nak." Mata Hanina memaku di wajah emaknya, Puan Faridah. "Kenapa mak nak sangat tunduk dengan permintaan saudara mak tu? Sangat tak masuk akal! Nek Ngah pun tak setuju, mak tahu kan?" Mata si gadis sudah membulat. Suaranya cuba dikawal.

Bukan permintaan emak yang hendak dipertikai. Namun jiwanya terasa hancur saat mendengar atas sebab apa sebuah hajat itu dituntut.

"Bila masa pulak keluarga kita ni hidup atas belas ihsan keluarga Datuk dan Datin tu?" Hanina menyindir. Mendengar dengusan kecil daripada Puan Faridah pun dia tahu, emaknya tidak suka dengan bicara sindiran itu.

Tapi dia tidak peduli. Hidup susah tidak bermakna mereka boleh dipijak. Kemewahan tak mampu membeli sebuah kebahagiaan. Hanina percaya akan itu. Disebabkan itu juga, dia menentang keras cadangan emaknya.

"Nina, jangan cakap macam ni..." Puan Faridah cuba memujuk. Kalau tidak mampu dipujuk Hanina, dia bimbang akan perkara lain pula yang bakal terjadi. Andai sahaja Hanina tidak bersetuju.

"Nina tetap takkan setuju mak. Kalau mak nak gantikan dengan Salina atau Farina sekalipun, Nina tetap takkan setuju!" Hanina terus berdiri tegak di depan emaknya. Mengkhabarkan betapa tidak sukanya dia atas perkara yang dibicarakan itu.

Sebelum berlalu, Hanina sempat lagi berbicara. "Biarpun harta kita tak sebanyak orang tu mak, tak bermakna dia boleh jual beli maruah kita. Nina belajar tentang nikmat hidup ni pun, daripada kesusahan mak dengan abah. Kalau senang-senang orang lain datang, nak buat cerita tentang kisah dongeng yang tak mungkin Nina akan percaya, tak usah buang masa mak... Nina bukan budak-budak. Dan mak... mak sanggup nak tengok Nina hidup dengan lelaki yang tak ada pedoman hidup macam tu?"

Soalan daripada Hanina hanya mengelukan lidah Puan Faridah. Lantas mata si ibu melepaskan anaknya berlalu.

Hampir menitis air matanya saat terasa bahu disentuh. Wajah Salina, puteri kedua muncul dengan senyuman. Lembut sahaja raut wajah itu, selembut tutur dan kata yang biasa diungkap.

"Janganlah paksa Kak Nina, mak. Mak pun tahu kan, dia dah banyak berusaha untuk keluarga kita." Salina memegang erat jemari Puan Faridah pula.

"Mak tak pernah nak paksa dia. Tapi Lina tahu kan... keluarga Datuk Zaman dengan Datin Juhairah tu macam mana. Mak tak tahu macam mana nak sampaikan kata tolak, takut pula nanti mulut mereka tu terlebih bisa dalam bicara. Bimbang hati anak mak yang akan terluka." Puan Faridah sudah menunduk.

Salina tersenyum nipis. Dia tahu, malah sangat tahu. Datuk Zaman itu dua pupu dengan emak. Keluarga Puan Faridah sangat luas salasilah dan rantaian itu sangat rumit untuk diingati. Tetapi, keluarga besar itu semuanya saling mengenali. Mungkin kerana setiap kali perayaan pun, anak dan cucu akan berkumpul di rumah peninggalan arwah moyang mereka.

Salina juga tahu, biarpun secara kasar hubungan keluarga besar itu nampak akrab tetapi tidak semua dapat menghidu apa sebenarnya yang terkandung di dalam isi hati masing-masing. Datuk Zaman dan Datin Juhairah, pastinya tidak akan masuk dalam senarai hati kakaknya, Hanina sebagai calon mertua pilihan. Dia sangat pasti tentang itu.

Jangan Biar Aku Pergi (SUDAH TERBIT) NOVEMBER 2022Where stories live. Discover now