Bab 20

67 4 0
                                    

TANGISAN Afi memaksa Asma bangun daripada baring. Kosong di dalam rumah saat ini. Semua sudah bertolak untuk hantar Adila yang berdaftar ke matrikulasi hari ini. Berkali-kali Puan Amina menyoal, bolehkah Asma tinggal seorang diri untuk beberapa jam.
“Mak, pergilah hantar Adila tu. Asma okey aje. Lagipun bukan jauh, Asma boleh aje jaga Afi sendiri.” Tersenyum Asma menghantar keyakinan dalam diri emaknya.
Hati Adila juga perlu dijaga. Dia tahu, ada yang tersembunyi dalam hati si gadis itu biarpun Adila kurang meluahkan perasaan padanya. Wajah sugul Adila beberapa hari lepas mudah sahaja dapat dibaca. Namun untuk bertanya, dia takut gadis itu tidak selesa. Maklumlah, mana biasa Adila berkongsi kisah peribadi dengan dirinya. Adila lebih rapat dengan Anis.
Kaki Asma melangkah ke buaian yang menempatkan Afi. Mata anaknya itu sudah terpejam rapat. Namun, tangisan kuat dilepaskan. Siap mengalir air mata di pipi. Asma menundukkan tubuhnya dan mendukung Afi dengan segera. Tubuh kecil Afi ditepuk perlahan. Namun, ia tidak mampu meredakan tangisan yang terus meledak kuat.
Lantas, tubuh Afi dibaringkan atas pelapik yang tersedia atas katil. Lampin pakai buang yang tersarung di tubuh kecil itu diperiksa, nyata ia menjadi punca tangisan itu. Tangan Asma panjang ke sisi katil yang tersedia dengan troli kecil. Ini semua idea Anis. Katanya mudah untuk Asma capai dan guna. Nyata, ia memang membantu.
Baru sahaja sebelah pita pelekat dibuka.
PRANG!!!
Mata Asma membulat. Kuat bunyi kaca pecah kedengaran. Jantung yang tadinya tenang, kini berdegup kencang. Sudahlah tiada siapa di rumah. Tetapi, hari masih cerah. Mungkin, budak-budak kecil terbaling barang dan secara tidak sengaja terkena tingkap rumah. Asma cuba menenangkan hatinya sendiri.
Laju tangannya membersihkan punggung Afi sebelum menggantikan dengan lampin pakai buang yang bersih. Afi yang sememangnya masih mengantuk, terus tertidur sebaik sahaja Asma siap bedung tubuh itu dengan rapi. Senyuman kecil berkuntum di wajah Asma melihat wajah yang tenang itu.
PRANG!!!
Namun, ketenangan itu diragut pergi dengan bunyi kaca berderai buat kali kedua. Bibirnya mula bergetar. Tubuh Afi dipangku rapi dan ditidurkan di dalam buaian. Tudung di penyangkut dicapai dan Asma melangkah kaki keluar dari bilik. Terbuntang sepasang mata milik Asma melihat kaca yang sudah bersepah di ruang tamu. Cermin sliding utama di ruang itu sudah hancur berkecai. Baru sahaja dia hendak melangkah.
PRANG!!!
Satu lagi cermin berkecai. Jelas juga dimatanya menangkap wajah Zahran di luar cermin itu. Di tangan lelaki itu, kelihatan kayu hoki dipegang erat.
Jantung mula mengepam darah dengan laju. Kaki mula mendekati telefon dengan rasa gementar, dia hendak menghubungi Anis dengan segera. Walaupun Anis juga menemani emak dan abah untuk menghantar Adila, tetapi Anis pergi secara berasingan dengan abang iparnya. Pasti Anis dapat membantunya di saat ini.
Namun laungan kuat lelaki  di luar rumah ini, menoktahkan segala tindakan yang dirancang minda.
“Aku nampak kau dengan jelas dari sini, baik kau buka pintu sekarang, sebelum aku pecahkan cermin ni lagi.”
Jelas suara Zahran menampar cuping telinganya. Asma menelan air liur yang terasa kesat di tekak. Penuh berhati-hati, Asma mendekati pintu dan dibuka kecil. Gril yang terkunci itu sekurang-kurangnya memberi kelegaan. Lelaki itu, tidak mungkin dapat mengapa-apakan dirinya.
Namun, telahan Asma salah. Lelaki itu sedang berdiri berhadapan gril dan memandang wajahnya dengan tajam. Terundur kaki Asma ke belakang melihat wajah yang serabut itu. Jantung berdegup dengan laju lagi. Dia langsung tidak dapat membaca tindakan Zahran.
“Kau rasa tenang ya, dilindungi pintu gril ni…” sinis suara Zahran. “Kau ingat, aku akan ambil masa yang lama untuk pecahkan pintu ni?” soal Zahran dengan suara yang berbisik.
Asma mengunci bibir rapat. Wajah Zahran yang berang itu benar-benar menakutkan. Dia tidak tahu kenapa dia diserang begini.
“Kau nak buka pintu ni, atau kau nak aku pecahkan?” soal Zahran menjerkah tepat ke wajah Asma. 
Mata Asma sudah mengerling ke arah kiri dan kanan. Mengharapkan ada jiran yang hadir untuk menyoal Zahran. Tetapi kata-kata daripada bibir Zahran terus memakukan mata Asma pada wajah itu.
“Kau tak payahlah nak mengharapkan pertolongan jiran kau. Dia orang pun jijik nak datang ambil tahu hal perempuan murah macam kau. Tak ada seorang pun yang berminat nak tahu. Aku perhati saja dari tadi… nampak tak, dekat mana kedudukan diri kau sekarang ni?” sinis Zahran menyoal. “Sampah masyarakat!” sambungnya dengan bongkak.
Asma mengetap bibir laju. Turun naik nafasnya dengan gelaran itu. Padahal, dia dan Zahran bersama atas kerelaan masing-masing. Tetapi, segala tuduhan masyarakat hanya jatuh pada keluarganya sahaja. Bukan dia tidak tahu, bagaimana jiran sedap mengutuk dan mengata keluarga mereka.
“Kau buka pintu sekarang ni, ada hutang yang kau kena selesaikan!” jerkah Zahran lagi apabila Asma terus berdiam diri.
“Kita dah tak ada apa-apa hutang!” balas Asma dengan berani. Tetapi, hakikatnya keberanian yang ada hanya senipis kulit bawang. Wajah Zahran yang merah menahan amarah itu makin mengecutkan segala organ di dalam tubuhnya.
Mendengarkan jawapan Asma itu, Zahran terus mencengkam kuat gril bercat hitam itu. Digoncang kuat. Sepasang matanya tajam menikam wajah Asma. Lesu di wajah itu tidak membiaskan sebarang rasa simpati di hati. Dia benci dengan apa yang dia terima disebabkan tindakan bodoh perempuan ini.
“Kau berhutang seumur hidup dengan aku, Asma! Sekarang bukak grill ni. Sekarang!” tekan Zahran. Hatinya sudah marak dengan api. Panas seluruh tubuhnya.
“I will take back your position in this company.”
Ayat itu kembali belayar di ruang minda. Hati Zahran menggelegak. Wajah Asma ditikam lagi dengan panahan mata.
“Disebabkan kau dan ujian DNA bodoh yang kau buat tu, aku dah hilang kedudukan aku dalam syarikat. Syarikat ayah aku, yang selama ni aku taburkan segala buah fikiran aku. Senang-senang macam itu aje aku kena sepak keluar. Semuanya sebab kau!!!” jerkah Zahran.
Asma tergamam. Bibirnya kelu. Dia tidak tahu hendak berkata apa. Dia tidak tahu apa yang berlaku di pihak lelaki itu sehingga lelaki itu dibuang kedudukan dari syarikat. Asma tahu, Zahran mempunyai bakat dan reputasi baik dalam syarikat ayah kandung lelaki itu.
Zahran sebagai Ketua Pegawai Operasi dalam syarikat perhotelan Easy Stay Sdn Bhd yang mempunyai cawangan di seluruh Malaysia. Mereka berkenalan pun kerana Asma bertugas sebagai salah seorang petugas front desk di Easy Stay cawangan Taiping ini.
Ketika mereka mempunyai hubungan baik dulu, Zahran tidak lokek berkongsi cerita mengenai bidang tugas lelaki itu kepadanya. Jujur, pada waktu itu Zahran tidak kelihatan seperti lelaki berhidung belang. Namun, segalanya berubah selepas kejadian satu malam itu. Wajah Zahran yang masih di depan pagar itu dipandang. Hati yang dahulunya pernah kasih, seakan lebur seketika. Bagaikan dirasuk, jemari Asma mencapai kunci yang tergantung kemas di dinding. Kunci dimasukkan ke dalam mangga. Tidak sampai sesaat pun, lelaki itu sudah meluru masuk ke dalam rumah.
Zahran mencengkam kuat lengan Asma. Berkerut dahi Asma menahan sakit.
“Kau cakap dengan aku, hutang kau dengan aku, macam mana kau nak selesaikan?” kuat suara Zahran melantun buat pendengaran Asma.
“Sakit!” rintih Asma. Hampir menitis air matanya di saat ini. Wajah Zahran langsung tidak terbias dengan riak simpati melihat reaksi yang Asma pamerkan.
Tubuh Asma ditarik rapat sehingga bersatu dengan tubuhnya. Zahran mendekatkan bibir ke telinga gadis itu yang tertutup dengan tudung pada ketika ini.
“Satu saja bayarannya Asma…” bisik Zahran sinis.
Dada Asma berdegup kencang. Dia langsung tidak dapat meneka apa yang sedang difikirkan oleh lelaki itu di saat ini.
Serentak itu, tangisan Afi meletus. Tanpa berlengah, tubuh Asma sudah ditolak hingga tersandar ke dinding. Zahran melangkah ke arah tangisan yang semakin nyaring itu. Itulah bayaran Asma atas kerugian yang ditanggung Zahran hari ini.
“Zahran, kau jangan ambil anak aku! Itu anak aku!” Dengan menahan rasa sakit yang menyerang bahagian belakang tubuhnya, Asma menjerit kuat. Dengan kalut, matanya sudah tertancap pada telefon. Dengan kudrat yang ada, kakinya dibawa ke situ. Tetapi, silapnya mengatur langkah… serpihan kaca yang sedia berterabur atas lantai, sudah mencucuk kaki.
“Sakit.” Rintih Asma. Tidak berdaya.
Tangisan Afi yang kini berada dalam pegangan Zahran, dipandang tanpa mampu dia berbuat apa-apa. Air mata Asma mengalir laju menyaksikan kegagalan dirinya sekali lagi di hadapan Zahran.

Jangan Biar Aku Pergi (SUDAH TERBIT) NOVEMBER 2022Where stories live. Discover now