TUBUH yang keletihan itu disandarkan bebas pada sofa. Ikutkan rasa penat yang menyerang, terasa hendak tidur di ruang tamu sahaja. Tetapi memikirkan diri yang masih belum bersolat Maghrib, lantas digagahkan juga kaki dan melangkah ke bilik yang terletak bersebelahan dengan dapur itu.
Tuala putih yang tersangkut pada penyangkut, dicapai. Terus sahaja dia menuju ke tandas dan membersihkan diri. Tatkala melihat pantulan wajah di cermin yang terletak elok pada dinding tandas, dia ternampak wajah itu. Sakit!
Adila tidak tahu mengapa, perasaan ini begitu menyakitkan hatinya. Bukan ini yang dipinta, tetapi ini juga yang makin menggila. Gilakan Anas!
Ah... kau memang dah gila Adila!!! Bentak hatinya.
Saat terpandangkan jasad Anas yang tiba-tiba muncul di hadapannya, membuatkan bibir menjadi kelu. Saat melihat si gadis di sisi jejaka itu bersuara manja meminta itu dan ini, membuatkan dia menjadi semakin bisu. Lantas tidak dipedulikan teguran Anas yang tidak kekok memanggilnya di pasaraya Giant tadi.
Dia terus sahaja berpaling dan berlalu biarpun dia masih ada tugasan yang berbaki di situ. Sudah masuk tiga bulan, dia berkhidmat di pasaraya itu. Sementara menerima panggilan untuk masuk ke matrikulasi.
"Kenapa nak ingatkan dia yang tak mungkin sukakan aku..." bicaranya sendiri.
Paip shower ditutup. Sebaik sahaja selesai mengambil wuduk, dia sudah melangkah keluar dari tandas. Tanpa berlengah, dia terus mengerjakan solat fardhu yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-Nya.
Dilepaskan segala rasa duka dan kecewa ketika menghadap Ilahi.
Sakit. Luka dan kecewa. Adila tidak pernah tahu, hatinya akan terbabas sebegini sekali. Hanya kerana seorang Anas... yang tidak mungkin dapat menerima dirinya seperti mana yang dia inginkan.
"Adila..." panggilan Puan Amina bergema selesai sahaja dia mengaminkan doa.
"Jom makan... mak buat nasi goreng ni."
Suara emak yang memanggil itu disahut dengan helaan nafas panjang. Suram wajahnya. Kusut mindanya. Memikirkan apa yang terjadi siang tadi, terbantut semuanya.
"Mak, Adila tak lapar... mak makan ajelah dengan Bahar."
Kepalanya sudah direbahkan atas tilam. Tanpa dipinta, air mata mengalir laju. Kalaulah Kak Anis tahu, hati Adila juga terpaut pada jejaka yang bernama Anas itu. Seperti mana yang pernah terjadi kepada kakaknya.
"Tapi... Adila tak macam akak. Adila tak kuat nak tengok dia dengan... orang lain," bisiknya bernada sendu.
Serentak itu telinganya sudah menangkap bunyi deringan telefon. Tahu sangat dari mana bunyi itu muncul. Tangannya sudah diseluk ke poket bag sandang. Telefon yang masih berbunyi itu dipandang. Mata yang tadinya sayu dan kuyu, tiba-tiba terbuka luas. Melihat nama yang tertera di skrin telefon membuatkan dia menjadi penasaran. Apa yang patut dibuat?
Perlu dijawab atau dimatikan sahaja?
"Kenapa pulak dia telefon aku?" soal Adila lebih kepada hendak mengeluh. Tidak bersedia langsung untuk berbicara dengan insan itu dalam keadaan hatinya yang sentiasa terbabas ini.
"Adila... kenapa tak dijawab telefon tu?"
Tersentak Adila. Wajah Puan Amina yang berkerut dahi menyapa mata. Terketar-ketar bibirnya seketika. Minda cepat hendak beralasan namun tidak ada idea.
"Siapa yang telefon?" Soal Puan Amina.
"Tak tahu mak..." dengan rasa bersalah, disuarakan sebaris kata yang dusta. "Adila tak kenal nombor siapa. Silap nombor agaknya..." disambung lagi dengan suara yang yakin, agar tidak terhidu oleh emaknya apa yang sedang bersarang di dalam hati pada saat ini.
BREK DITEKAN sampai sahaja di hadapan rumah dua tingkat bercat putih gading itu. Liyana tersenyum ceria di sisi. Tahulah dia, apa makna senyuman itu. Semuanya kerana dia sudi meluangkan waktu, membeli-belah bersama tunangnya ini.
"Thanks Anas. Really appreciate the time that you spent with me. I janji, esok-esok kalau you sibuk, I takkan kacau. Tapi, kalau you lapang, janganlah tak pedulikan I pulak..." sedikit merajuk hujung kata Liyana. Tunangnya ini kalau tidak disuruh, tidak akan bergerak untuk bertemu dengannya.
"Iya... I telefon you nanti, bila-bila yang I lapang. Okey?" Anas tersenyum kecil membalas permintaan Liyana. Gadis manja yang dikenalkan oleh nenek kepadanya. Dan sudah hampir tiga bulan usia pertunangan mereka. Dan sudah ada ura-ura di rumah untuk dipercepatkan tarikh nikah.
Tetapi... masih ada sesuatu yang menghalang jiwanya. Anas... tidak mengerti.
"Okey. Hati-hati memandu. Dah sampai rumah nanti, mesej I." Liyana melangkah keluar dari perut kereta. Langkah gadis itu terus sahaja ke pintu pagar kecil di sisi rumah dan diatur langkah masuk ke rumah.
Selesai memastikan Liyana sudah selamat berada di dalam rumah, barulah Anas menggerakkan kereta. Perjalanannya kini ditemani sepi. Tiada bunyi radio mahupun suara Liyana yang tidak kering idea untuk bercerita kepadanya.
Dalam kesunyian yang menghuni. Ada satu wajah yang muncul. Memikirkan itu, bibirnya terkeluh sendiri. Kenapa?
Gerakan hati memaksa. Lantas tangan sudah menarik handsfree. Telefon bimbit dicapai dan nombor yang sememangnya sudah berada dalam telefon itu didail. Lama deringan tidak bersambut.
Anas tersenyum kecil. Merajuk? Apa yang dilihat tadi, adalah sebuah lagi panorama mencuit. Si hati yang terbabas dan si tuan yang juga tidak mahu berusaha mengelak daripada kejadian itu.
Tidak mahu mengalah. Nombor itu didail lagi.
Kali ini cepat pula bersambut. Dengan suara yang berbisik, namun masih terselit marahnya.
"Kenapa telefon saya lagi? Patut dah buang nombor telefon ni."
Anas tersenyum kecil. "Kalau awak masih kenal pemilik nombor ni, mesti nombor saya pun tersimpan kemas dalam telefon awak kan?" soalnya mengusik.
"Kejap-kejap lagi nak delete la ni!"
Spontan Anas tergelak kecil. Adila memang masih budak-budak!
"It is not good for you to be like this. Tak elok asyik terbabas hati bila tengok saya... kan dah kena merajuk sendiri macam ni. Siapa nak pujuk awak kalau awak bersedih sendiri?" nada suara Anas menjadi serius.
Tadinya terasa hendak mengusik, tetapi kalau diusik... bimbang bunga di hati gadis itu makin bercambah. Usah diberi harapan yang tidak-tidak. Bahaya! Hati anak orang... bukan anak beruang. Kalau kecewa, sengsara, merana... jadi cerita lain pula. Jangan...
"Suka hati sayalah. Hati saya!" jelas sekali nada berjauh hati dipamerkan oleh Adila.
"Adila..."
"Dah la... saya nak tidur!" suara itu makin serak. "Awak pun boleh buang nombor saya lepas ni. Tak perlu nak telefon lagi. Kalau risau sangat hati saya terbabas, jangan buat macam ni! Jangan nak tegur saya dekat mana-mana. Buat aje macam awak tak kenal saya."
"Jangan buat macam ni, Adila... saya tak salah. Awak pun tak salah. Cuma silapnya, awak silap jatuh suka dengan saya. Jangan dilayan sangat... semua tu boleh dipulihkan... saya..." terus terhenti kata-kata Anas.
Membulat matanya seketika. Mana tidaknya, Adila sudah memutuskan talian. Parah! Tanpa sedar, tangannya sudah meraup wajah berkali-kali. Apa yang harus dibuat? Bukan dia yang memberi harapan. Namun, tidak juga tega dia melihat wajah si gadis itu dengan pandangan terluka.
Apakah makna ini semua?
Skrin telefon yang sudah memaparkan wallpaper dipandang kosong. Tiada apa yang dapat dilihat di situ melainkan seraut wajah Adila yang terus berulang tayang di ruang mata. Ah, kenapa dia juga yang perlu disuka oleh Adila?
YOU ARE READING
Jangan Biar Aku Pergi (SUDAH TERBIT) NOVEMBER 2022
Romance(kesinambungan Tidak Ku Sangka) Tiga gadis. Tiga kisah. Tiga cinta. ASMA: Mengandungkan anak luar nikah, Asma memilih untuk bawa diri jauh daripada keluarga. Lelaki yang bertanggungjawab atas perkara itu membuang dirinya bagai sampah. Di saat diriny...