Bab 3

96 2 0
                                    

TERSENTAK dia seolah mengalami kejutan. Lantas terus sahaja dia bangun dari baring dan terduduk. Matanya pula lurus sahaja menangkap pandangan Iman Anas yang begitu tergamam. Membulat biji mata suaminya itu.

"Apa ni, Anis? Jangan buat gaya kena sampuk tengah-tengah hutan ni. Nervous jugak abang..." Iman Anas sudah memandang kiri dan kanan. Keadaan malam yang begitu sunyi hanya menaikkan bulu roma. Sudahlah sejak seminggu yang lalu, asyik dengar orang kena histeria saja. Dan gaya Anis ini, sudah memang sebijik macam orang kena sampuk. Dah sah!!!

"Abang..." ditambah dengan nada Anis yang serak-serak basah. Makin meremang bulu roma.

Perlahan saja, Iman Anas bangkit sambil memegang komputer riba. Dia hendak membuat kerja di bilik sebelah.

"Abang... nak ke mana pulak tu?" panggil Anis kuat. Matanya sendiri sudah mengerling ke kiri dan kanan bilik mereka. Di kanannya, langsir yang dibiar terbuka sudah mengerbang. Mengilai ala-ala langsir dalam cerita hantu! Uishhhh...

"Abangggg..." jerit Anis bila Iman Anas buat tak tahu dan terus ke depan. Meninggalkan dirinya sendiri. Ada ke patut, dapat suami yang macam ni!

Dan Anis bukanlah seorang yang begitu berani, untuk duduk sendiri di dalam bilik ini. Lantas mencicit dia mengikut langkah Iman Anas ke bilik sebelah. Bilik yang penuh dengan khazanah kerja suaminya.

"Abang ni, tak patut tau tinggal Anis sorang-sorang dalam bilik tu!" menyembur terus Anis lepas masuk ke dalam bilik itu.

"Mana tak tinggal, kalau asyik buat gaya seram aje bila bangun tidur. Sekarang ni bukan siang tau, tengah malam..." selamba saja Iman Anas membalas. Langsung tidak peduli dengan kekalutan yang dipamerkan oleh si isteri. Setakat Anis yang menjerkah, siapa yang hendak gerun. Lainlah kalau si Anita mengaum, meremang juga bulu roma.

Anis sudah berpaling dan berpeluk tubuh. Wajahnya memuncung sedikit. Konon hendak meraih simpati Iman Anas. Tapi...

Iman Anas terus tekun merenung komputer riba. Mungkin itu lebih lawa daripada Puan Anis yang dinikahi sudah hampir lima bulan ini.

"Anis risaukan adik-adiklah..." intonasi Anis berubah rentak. Dia tahu, kalau buat-buat merajuk dengan Iman Anas, itu namanya membuang masa dan kudrat saja! Baik terus straight to the point!

"Nak risau kenapa? Asma tu, Qaiser selalu jenguk. Kalau Adila dengan Bahar pulak, dah memang duduk rumah mak, abah... Anis nak risaukan apa lagi?" Iman Anas menyoal juga walaupun mata masih tertumpu pada laporan yang sedang disemak buat sekian kali sebelum dihantar.

"Abang ni, kalau bercakap... suka sangat tak tengok muka orang kan? Tak elok tau asyik buat macam ni selalu!"

Tidak menjawab soalan Iman Anas, Anis membebel pula.

Iman Anas menarik senyum nipis. Kini, matanya berlabuh pada wajah Anis yang sudah disinggah muncung itik itu. Selamba tangannya mencuit bibir Anis sehingga terdengar dengusan kecil yang dilepaskan.

"Apa dia, isteri abang sayanggg... sekarang mata abang betul dekat muka Anis, dah boleh bercakap kan?" Iman Anas mengusik. Tetapi tidak cukup untuk meredakan muncung itik di hadapannya itu.

"Abang ni tak serius langsung!"

Eh, marah pula Anis ni.

"Iyalah, abang serius..." merendah nada Iman Anas. Dia sudah tahu sangat apa yang hendak dibicarakan oleh Anis. Mudah sangat untuk ditebak. Lantas ditarik lengan isterinya itu dan dibawa duduk di sisinya. Wajah Anis yang gusar itu ditepuk perlahan, penuh kasih.

"Kalau bab Asma tu, abang boleh sokong lagi. Mak abang pun tak kisah sangat. Cuma masalahnya, Qaiser tu... tak tahu apa yang ada dalam fikiran dia. Bila mak tanya, langsung tak mahu mengaku. Susah jugak macam tu..."

Anis pula mengeluh. "Anis pun pening jugak... tak tahulah apa yang ada dalam hati budak-budak ni."

"Yang Adila ni pulak..." Anis kembali hendak menyambung kata. Tetapi, Iman Anas pantas memotong bicara.

"Kalau part Adila ni, memang salah Anis!"

Terus Anis dipersalahkan.

Anis terpinga-pinga. "Kenapa pulak?"

"Abang dah nasihat kan, jangan nak main usik-usik hati budak tu dengan benda yang bukan-bukan. Anis langsung tak dengar cakap abang, kan? Sekarang tengok, dia telefon Anis, menangis-nangis... Anis nak buat macam mana? Bukannya Anis boleh dapatkan Anas untuk dia."

Marah sungguh Iman Anas. Dia sememangnya langsung tidak pernah bersetuju setiap kali bibir Anis mengusik Adila dengan ayat 'terbabas' itu. Siapa sangka, hati si gadis mentah itu benar-benar, terbabas pada si kumbang yang bakal menjadi milik orang.

"Dah, Anis pergi tidur... bangun esok pagi, boleh sambung bincang lagi pasal benda ni," tegas pula Iman Anas mengarah. Dia tahu, kalau melayan emosi Anis yang risaukan adik tengah-tengah pagi buta ini, pasti boleh meleret sehingga ke esok pagi.

Iman Anas sudah kembali meneruskan kerjanya. Manakala Anis masih di sisi sambil mengerutkan dahi. Memikirkan andaian yang mungkin tidak akan difikir sama sekali oleh Iman Anas. Iyalah, suaminya itu kan protective terlebih. Langsung tidak membenarkan dirinya mengeluarkan sebarang fakta cinta, yang berkemungkinan akan menjejaskan prestasi kecemerlangan pelajaran Adila.

"Fikir apa lagi ni?"

Soalan itu menyentakkan Anis. Tetapi sempat lagi Anis menarik sengih kelatnya.

"Err... Anis terfikir, abang tak rasa ke... mungkin Anas sukakan Adila."

Selesai menyebut andaian itu, Anis terpaksa mempamerkan sengih lebarnya. Sangat pura-pura. Semuanya kerana tidak mahu Iman Anas marah. Sudahnya, Anis mengetap bibir sahaja. Iman Anas sudah menjeling tajam dengan pandangan kurang bersetuju dengan idea kreatif yang dijana mindanya.

"Jangan nak sebarkan benda bukan-bukan ni kat Adila. Abang tau, siap Anis!!!"

Untuk ugutan itu, Anis laju meminta diri berlalu ke bilik tidur. Buat apa hendak menempah nahas mendengar kuliah Iman Anas. Boleh tahan sangat kalau yang bersyarah itu, Encik Iman Anas, zoologist yang bakal menamatkan pengajian doktor falsafahnya dalam sedikit masa sahaja lagi.

Sebaik sahaja Anis hilang di ruang bilik itu, spontan jemari Iman Anas mulai memicit dahi. Fakta yang cuba diutarakan Anis sebentar tadi sudah menganggu mindanya. Sukakah Anas dengan Adila? Tidak cukup dengan itu, fikiran mulai dipenuhi oleh wajah Qaiser dan Asma. Mahukah Qaiser dengan Asma, atau sekadar perasaan emak sahaja yang mengesyaki Qaiser?

Pening pula Iman Anas.

Pening memikirkan dua adik perempuan, yang mungkin bakal menjadi mangsa mainan perasaan oleh si lelaki yang juga mungkin tidak sedar.

Kasihan Asma. Kasihan Adila. Dan... mata Iman Anas sudah merenung tepat ke ruang pintu. Tegak jasad yang keluar dari bilik itu tadi. Merenungnya dengan rasa risau yang tidak mampu disembunyikan sama sekali. Kasihan juga Anis...

Jangan Biar Aku Pergi (SUDAH TERBIT) NOVEMBER 2022Where stories live. Discover now