Bab 8

54 2 0
                                    

SERABUT. Kepalanya terasa berserabut sama seperti rumput dan lalang yang mula meninggi di halaman taska itu. Lantas dirajinkan diri, dicapai cangkul yang diletakkan di stor. Kawasan sekeliling harus dikemaskan supaya rapi dan tiada kotoran.

Nahas juga kalau kawasan rumah ini kotor. Silap haribulan, JKM buat lawatan, mahu kena pula benda yang tidak sepatutnya.

Sedang Hanina asyik dengan kerjanya sendiri, ternampak sepasang kaki yang mula berdiri di sisi. Wajah Asma yang tersenyum nipis menyapa. Siap dengan segelas air sejuk di tangannya.

"Susah-susah aje, Asma..." balas Hanina menghargai.

"Akak lagi penat, buat kerja-kerja macam ni sendiri."

Asma sudah mengambil tempat duduk di bangku luar. Duduk sambil memerhatikan Hanina yang tidak ubah gayanya seperti seorang pekebun. Siapa sangka, gadis secantik itu pun, tidak kisah untuk buat kerja-kerja kasar macam ini. Peluh yang mula memercik di dahi pun seakan tidak dipeduli.

"Nak buat macam mana... bukannya ada adik-beradik lelaki untuk nak minta tolong. Abah dah berumur, sakit-sakit belakang selalu. Kena guna kudrat sendiri ajelah. Lagipun, bukannya hutan belantara... depan taska aje pun," Hanina melepaskan tawa. Cuba mencuit hati Asma, dalam masa yang menghiburkan hatinya juga.

Asma terus tersenyum. Pandangan masih ditala ke wajah Hanina. Tangannya pula mula mengusap perut yang sudah terlalu menonjol itu.

"Baby macam dah tak sabar nak keluar kan, Asma..." Hanina berkata. Kakinya melangkah mendekati Asma. Punggung dilabuhkan di sisi gadis itu. Matanya terus tunak pada wajah itu. Seakan ada sesuatu yang ingin ditanyakan, namun tidak terluah.

"Saya pun dah tak sabar dah, Kak Nina..."

Hanina melebarkan senyuman.

"Asma..." Nama itu diseru lembut. Mata Asma bertemu dengannya. Dengan renungan saja, ia seolah bertanya, kenapa. "Nanti, saya teman awak... balik Taiping."

Wajah Asma berubah riak. Terkejut.

"Kenapa?"

Kenapa itu lebih kepada hendak bertanya, kenapa Hanina perlu temankan dirinya. Bukankah Qaiser sudah berjanji untuk menjemputnya nanti. Apakah perancangan yang disediakan itu sudah tidak selari?

Jemari Asma digenggam erat oleh Hanina. Merenung jauh ke dalam mata itu, dia merasakan sesuatu. Ada sesuatu dalam hati Asma dan dia tahu, dia juga merasakan itu. Satu perasaan yang sama hadir dalam hati mereka buat lelaki bernama Qaiser itu. Tapi apakan daya... siapa saja yang mampu mengetahui apa yang ada dalam hati Qaiser itu.

"Tolong saya, hantarkan Asma balik ke Taiping. Saya akan tolong uruskan flight dan kenderaan untuk awak dengan dia sampai ke rumah. You just have to accompany her..." Rayu Qaiser dengan riak serba salah.

"Bukan awak ke yang selalu uruskan hal dia sebelum ni?" soal Hanina. Ada rasa aneh yang menjentik di ruang hati. Mata Qaiser itu cuba berbicara. Tetapi dia tidak memahaminya.

"Not anymore."

"Tapi kenapa?"

"She likes me, don't she?" Qaiser menyoal Hanina pula. Dan Hanina tersentak. Qaiser nampak akan perasaan itu? Bibirnya tersenyum pedih.

"Siapa yang tak akan suka, kalau ada seorang lelaki yang betul-betul prihatin tentang diri dia. Kenapa? Awak rasa, salah Asma ke kalau dia sukakan awak? Kalau dulu, masa saya kejar awak... awak marah, awak tak suka, awak cakap depan saya, awak tak nak saya ganggu awak. Tapi dengan Asma, awak beri dia kasih sayang, perhatian yang selama ni saya tak pernah nampak pun... that is you, Qaiser and that's why she can easily fell for you."

Jangan Biar Aku Pergi (SUDAH TERBIT) NOVEMBER 2022Where stories live. Discover now