LUKA di bibir yang sudah mula kering itu, diperhatikan dengan hati yang panas. Biarpun kereta sudah sejuk dengan aircond yang dipasang sejak dia keluar dari rumah tadi. Namun, ia tidak mampu meredakan kemarahan yang semakin meluap dalam hati. Sekeping surat yang dipegang di tangan itu semakin meledakkan letusan gunung berapi dalam tubuhnya ini.
Pintu yang terbuka dari sisi, membuatkan dia mengalihkan wajah. Tajam pandangannya jatuh ke wajah Anas. Lelaki itu kelihatan seolah mengejar masa. Tetapi, Zahran tidak kisah. Anas perlu menjelaskan perkara ini padanya.
Surat yang berada di tangan, dilempar tepat ke wajah Anas. Panas hati. Saat ini, melihat wajah Anas pun tidak akan mampu meredakan kemarahannya sama sekali.
Anas tersentak. “Kau apahal ni?” Meninggi suara Anas.
“Kau baca tu!” Meninggi juga nada suara Zahran. Kembang kempis hidungnya menahan marah yang berkepung di dada. Silap-silap, boleh meletup kereta ini.
Anas menjeling ke arah Zahran yang berwajah merah padam itu. Tidak banyak bersoal, surat yang jatuh di pahanya itu, dicapai dan dikeluarkan. Aksara yang kemas bertaip itu dibaca. Tenang sahaja wajah Anas, seolah tiada apa yang mengejutkan dirinya di saat ini.
“Kau punya kerja kan, Anas?” soal Zahran apabila Anas menutup semula lipatan kertas itu.
Anas memandang tepat ke mata Zahran. Kepalanya diangguk kecil. Serentak itu, pipinya sudah menjadi mangsa buku lima Zahran. Perit, namun ditahan saja. Dia tidak rasa bersalah dengan apa yang sudah dilakukan. Biarpun ia pasti dipandang sebagai perbuatan khianat oleh Zahran.
Kolar baju Anas dicekak kuat. Zahran menarik tubuh adik kembarnya itu, hampir rapat dengan dirinya dalam kereta ini. Tiada ruang yang memisahkan wajah mereka. Nafas garang Zahran menampar ke wajah Anas. Merah matanya membalas pandangan tenang si adik kembar di saat ini.
“Kenapa???” jerit Zahran. “Aku tak pernah masuk campur dalam urusan hidup kau. Aku siap back up kau depan mama dan papa setiap kali dia orang tak puas hati dengan kau. Tapi kau??? Ini yang kau balas dekat aku!” Serentak itu, buku lima Zahran mendarat sekali lagi di wajah Anas.
Anas tidak melawan. Wajahnya tenang saja menahan sakit yang mencengkam seluruh pipinya saat ini. Matanya membalas renungan tajam Zahran dengan berani. Dia tidak rasa bersalah walau seinci sekalipun. Saat dia sudah memutuskan untuk buat perkara itu, dia yakin dengan apa yang berada dalam fikirannya.
“Baik kau jawab sebelum aku bunuh kau, Anas!” jerkah Zahran. Kemarahannya sudah berada di puncak.
“Sebagai jaminan, supaya kau tak ugut Asma dengan benda yang bukan-bukan.” Tutur Anas dengan tenang.
Zahran mulanya mengetap bibir geram. Lama-kelamaan dia melepaskan tawa sinis.
“Yang kau concern sangat pasal Asma tu, kenapa? Kau dah syok dekat dia ke?” soalnya sinis.
“Aku concern sebab aku kenal kau macam mana orangnya.” Anas masih membalas bait kata Zahran dengan tenang. Biarpun hatinya sudah berkocak dengan tuduhan abangnya. Kesalahan sendiri, tak nak mengaku. Dituduh-tuduh orang lain pula.
Zahran menggenggam erat buku lima. Kali ini, wajah Anas tidak lagi menjadi mangsa. Dilepaskan rasa geram itu dengan menghentak stereng sekuat hati.
“How dare you do this to me!” Zahran mengetap bibir kuat. “Kalau benda ni leak buat pengetahuan umum, aku takkan fikir panjang untuk apa-apakan kau, Anas. Sekalipun kau adik aku, kau perlu tahu batas kau untuk masuk campur dalam hal peribadi aku. Aku tak suka… aku benci.” Zahran menghunus pandangan tajam di wajah Anas. Namun, wajah yang tenang itu makin menyimbah minyak di hati panas ini.
“I am not afraid!” Selamba Anas berkata. Langsung tidak gentar dengan ugutan yang membasahi bibir Zahran. Abangnya ini besar kepala sangat, sampai fikir semua orang mampu dikawal olehnya.
“Kau berambus dari kereta aku! Aku meluat sangat nak tengok muka kau.” Bahu Anas ditolak kasar.
Dengan senyum sinis, Anas keluar juga daripada kereta. Dia juga ada urusan kerja yang memerlukan perhatiannya. Takkan hendak dilayan baran si Zahran ini saja.
Sementara itu, Zahran sudah merenyukkan surat yang sampai tepat ke batang hidungnya pagi tadi. Wajah Datin Juhairah yang merah menyala berlayar di ruang mata. Itu yang menghangatkan situasi. Jika surat itu sampai kepada dirinya seorang sahaja, dia tidak kisah. Tetapi apabila isi kandungan surat itu sudah diketahui oleh Datin Juhairah, ia sudah menjadi masalah besar buat Zahran.
Surat yang mengesahkan ujian DNA Afi Sani Abdullah.
“Hundred percent match paternity DNA test. Congratulations for your newborn, son!” Sindir Datin Juhairah. Jari telunjuk mama dihalakan ke wajah. “I’ve already warned you… I don’t care about how your social life is going, but…” Datin Juhairah melangkah setapak, mendekati tubuh Zahran yang duduk menjamu sarapan. Kepala wanita itu tertunduk dan bibir didekatkan pada telinga.
“Don’t you dare to ruin our name in the society!” bisikan halus yang terkandung ugutan itu singgah ke pendengaran.
Zahran membalas pandangan mamanya tanpa gentar.
“Don’t you dare to look back at me like that. Kalau Zahran nak terus kekalkan nama Zahran dalam list share holder company, you be careful with this matter. If it leaked to the public… I am sorry, I can’t help you anymore.” Datin Juhairah terus mengugut lagi.
“Mama, Zahran anak mama! Kenapa nak ugut Zahran sampai macam ni…” soal Zahran tidak percaya. Apa perlu dilibatkan urusan syarikat dalam hal ini? Dia sudah lama mengabdikan diri untuk bekerja di bawah pengurusan syarikat yang diasaskan oleh mama dan papanya itu.
“Well… we are talking about the reputation. It is me and your papa’s hard work. You tu datang dan enjoy saja apa yang dah tersedia.” Sinis kata-kata Datin Juhairah dilemparkan tepat ke wajah Zahran.
Disebabkan rasa marah membuak-buak saat itu, Zahran terus bangun dan mencapai kunci kereta. Lantas dibawa dirinya ke sini untuk berdepan dengan Anas. Tetapi, si adik tak guna itu selamba saja reaksinya. Langsung tak ada sebarang rasa bersalah kerana membelakangi dirinya dalam hal ini.
YOU ARE READING
Jangan Biar Aku Pergi (SUDAH TERBIT) NOVEMBER 2022
Romance(kesinambungan Tidak Ku Sangka) Tiga gadis. Tiga kisah. Tiga cinta. ASMA: Mengandungkan anak luar nikah, Asma memilih untuk bawa diri jauh daripada keluarga. Lelaki yang bertanggungjawab atas perkara itu membuang dirinya bagai sampah. Di saat diriny...