-1-

12 2 0
                                    

Di sebuah kolej ternama di ibu kota, seorang gadis sedang gelisah yang amat sangat di dalam kelas. Apa yang sedang diperkatakan oleh pensyarahnya dihadapan langsung tidak masuk ke dalam kepalanya.

   "Hara, duit ada lagi, kan? Umi tak dapat nak bagi Hara bulan ni. Kereta rosak lagi," keluh ibu perlahan ketika mereka bercakap di telefon pagi tadi.

   "Err... ada lagi. Umi takyah bimbanglah pasal Hara," balasnya sambil cuba menyembunyikan keadaan sebenar.

   Hara tidak mahu ibunya mengetahui tentang masalah kewangannya di sini. Duit yang dikatakan masih ada itu ialah duit pinjaman pelajarannya. Tetapi duit itu masih belum diterimanya. Begitu juga dengan gaji daripada pekerjaan sambilannya.

   "Macam mana ni?" dia buntu.

   "Harap bulan ni jangan lagi lambat bayar sewa. Saya pun kena bayar hutang bank. Kalau awak tak bayar sewa, susahlah." Suara tuan rumah terngiang-ngiang di telinga.

   "Belajar kat kolej famous takkan sewa rumah tak sampai dua ratus tak boleh bayar?" perli tuan rumah itu lagi.

    Air mata Hara mula bertakung. Apalagi saat menyedari jelingan tajam rakan-rakan serumah yang lain turut menikamnya.

   "Malu betul bila boyfriend aku nampak tuan rumah datang ketuk pintu rumah sebab tak bayar sewa," rungut salah seorang daripada mereka.

   "Tak mampu, buat cara tak mampu. Jangan hidup ala-ala 'Biar Pape Asal Bergaye'," sindir yang seorang lagi.

   Mendengarkan sindiran-sindiran sebegitu, Hara hanya mampu tunduk dan mendiamkan diri. Demi impian arwah bapanya yang teringin benar dia mendapat pendidikan disini, dia harus cekal. Tanpa boleh menyalahkan sesiapa. Kekurangan kewangan, dirinya sendiri yang menjadi sebab. Sememangnya jika orang yang tidak tahu masalahnya, mereka semua akan kata keadaan itu tidak logik.

   Sebaik sahaja sesi kelasnya tamat, Hara segera keluar. Dia berjalan dengan laju menuju ke tempat di mana mesin pengeluaran wang berada .

   "Last aku amik, minggu lepas. Dah tinggal sikit," keluhnya.

   Biarpun ia mustahil, dia tetap berharap duit simpanannya msih berbaki. Semoga matanya tersalah tengok jumlah baki duit yang tinggal dalam simpanannya pada minggu lepas.

   "Lepas bayar sewa pun jadilah," doanya.

   Namun harapan tinggal harapan. Sistem komputer bank yang tidak dapat bertukar dengan sekadar harapannya yang kosong itu. Kenyataannya, baki duit simpanannya memang menyedihkan bagi sesiapa yang melihatnya. Malah boleh dikatakan amat memalukan sebagai seorang penuntut kolej ini.

   "Alamak! dah lambat." dia melihat ke arah jam tangannya.

   Sesi kelas yang seterusnya sudah hampir bermula. Lantas dia segera bergegas untuk menuju ke bangunan sebelah. Namun fikirannya tetap kusut. Kerana fikirannya melayang-layang, tanpa sengaja dia telah terlanggar satu pasangan. telefon pintar si pemuda itu terjatuh .

   "ARGHH!" berderau darah Hara melihat telefon mahal itu melantun ke lantai.

   "Buta ke?!" jerit si gadis.

   Hara tergamam seketika sebelum tersedar lalu menunduk untuk mengambil semula telefon pintar itu.

   Bang! terhantuk kepala Hara dan pemuda itu.

   "Argh!" mereka sama-sama mengaduh.

   Rupa-rupanya mereka berdua berniat hendak mengambil telefon dalam masa yang sama.

   "Sorry, sorry," ucap Hara. Kepalanya yang sakit dipegang dengan sebelah tangan. Pemuda itu tidak menjawab sebaliknya hanya meneliti kearah telefon pintar itu sambil sebelah tangannya sama seperti Hara. Masih memegang kepala yang terhantuk tadi. 

AKU SUKA DIA!Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang