-2-

7 1 0
                                    

Sudah penat dia merayu minta diturunkan dari kereta itu. Ternyata pemuda di sebelahnya langsung tidak mengendahkan permintaannya. Kalau diikutkan hati, boleh saja dia menarik brek tangan kereta yang dinaikinya itu. Tetapi, dia masih waras. Kelajuan kereta ini menghalangnya. Dia sedar dan tahu tindakan itu boleh menyebabkan mereka berdua terlibat dengan kemalangan jalan raya yang serius.

   "Aku nak cepat. Don't worry... kau boleh pergi bila kita dah sampai nanti." Pemuda itu berkata selamba.

    Pelik bin ajaib. Hara boleh percayakan cakap pemuda yang langsung tidak dikenalinya itu. Padahal dia tahu dia tidak sepatutnya begitu. Malah sebelum ini dialah orang yang amat susah hendak percayakan
orang.

    Kereta itu tetap meluncur laju membelah kesibukan jalan raya. Kolej mereka semakin jauh ditinggalkan dibelakang. Anehnya wajah dan suara milik Miss Kay semakin dekat dalam ingatan Hara.

    "Habislah aku kali ni," keluhnya dalam diam.

    Semuanya sudah terlambat.Ais sudah jadi air. Tidak berdaya berbuat apa-apa. Dia hanya merenung ke arah luar tingkap dengan pandangan
yang kosong. Namun dia dapat merasakan yang pemandu kereta ini mentertawakannya dalam diam.

   "Hospital?" desisnya tiba-tiba.

    Hara mula kehairanan apabila pemuda itu membelokkan keretanya memasuki pekarangan salah sebuah pusat perubatan terkenal di ibu kota ini. Hospital swasta yang berprestij.

    Kereta diletakkan di tempat letak kereta bawah tanah.

    "Jom!" ujar pemuda itu.

    Dalam terkedu dan kehairanan, Hara mengikutnya keluar dari kereta. Mereka memasuki ruang lobi hospital terbabit.

    "Kalau kau nak balik dulu, silakan. Kalau tunggu kat sini, aku hantar kau balik," ujar pemuda itu lagi.

    Belum sempat Hara menjawab, pemuda itu sudah melangkah pergi dengan tergesa-gesa. Hara melihat pemuda itu melangkah ke arah lif yang menuju ke bahagian wad-wad pesakit.

   "Siapa yang sakit?" Hatinya tertanya sendiri.

    Selepas bayangan pemuda itu lesap, perlahan-lahan Hara melangkah keluar dari lobi dan menjenguk ke arah jalan besar. Wajahnya seperti orang yang tidak bersemangat.

   "Boleh tahan jugak sesak," keluhnya.

   Fikirannya sibuk membuat pengiraan. Dia mengira berapakah tambang akan dikenakan ke atasnya jika dia mengambil teksi untuk pulang ke kolej.

   "No! Tak mampu aku."

   Hara melihat jika terdapat bas yang melalui kawasan itu. Setakat ini, masih belum kelihatan lagi. Lantas dia mengambil keputusan untuk bertanya kepada kakitangan hospital itu.

   Memang ada bas, tetapi bukan di sini. Dia harus berjalan agak jauh untuk ke tempat menunggu bas. Tetapi bas itu hanya menuju ke arah pusat bandar sahaja. Bermakna apabila tiba ke pusat bandar, dia ha-
rus mengambil bas lain pula kerana kolejnya terletak di laluan berlainan.

   "Fuh!" Hara melepaskan nafas yang berat.

   Ternyata hasil kedua-dua pilihan itu tidak memihak kepadanya. Menaiki teksi, sudah pasti akan mengosongkan beg duitnya. Menaiki bas pula tidak tahu berapa lama masa yang diambil untuk tiba ke kolej.
Silap gaya, petang baru sampai. Tiba ke kolej di saat semua kelas siang sudah tamat, tidak membawa sebarang makna. Melainkan sekadar memenatkan badan sahaja digoncang oleh bas.

   Hara berpaling dan memandang semula ke arah bahagian dalam lobi hospital. Itu adalah pilihan ketiga baginya. Untuk pilihan ini, perasaan ego dan marahnya harus dibelakangkan.

AKU SUKA DIA!Where stories live. Discover now