BAB 9

270 33 2
                                    

PAGI ini Ryan tiba di Mama's Cafe. Tujuannya hanya satu. Untuk bertemu muka dengan Darlena. Selepas membuat pesanan, seorang pelayan berlalu pergi. Mata Ryan tercari-cari kelibat Darlena di kawasan kaunter. Namun hampa. Gadis itu tiada. Tiga saat kemudian, bibir Ryan mengukir satu senyuman nipis. Walaupun nipis, jelas sekali hatinya gembira.

Darlena membongkok mengeluarkan sebiji kek berwarna merah. Red velvet barangkali. Dia memotong sebahagian kek itu dan diletakkan perlahan-lahan ke atas piring kaca. Dia menyimpan semula kek itu. Darlena meletakkan satu garfu kecil di atas piring itu juga. Gadis jelita yang comel molek itu berjalan ke arah Ryan.

Semakin lebar senyuman di bibir Ryan. Darlena juga sama. Jantungnya berdegup laju seolah-olah dia baru sudah membuat larian seratus meter. Padahal jarak peti sejuk itu dengan meja Ryan lebih kurang lima belas meter saja. Bukan seratus meter. Piring di tangan Darlena mendarat elok di hadapan Ryan.

"Enjoy your cake. Air awak dalam proses. Tunggu kejap ye" kata Darlena. Selangkah dia ingin berlalu pergi. Mulut Ryan ringan pula terbuka.

"Darlena, sekejap!"

Gadis itu berpaling ke arah Ryan semula. Ryan mengarahnya supaya duduk. Teragak-agak Darlena ingin menurutinya. Dia menarik kerusi yang bertentangan dengan Ryan. Ryan menyinsing kedua belah lengan bajunya hingga ke paras siku. Dia menyilangkan tangannya dan diletakkan di atas meja. Kening Darlena sedikit terjungkit.

"Ye?"

"Esok awak busy tak? Jom keluar dengan saya" ajak Ryan. Semudah abc. Semudah membancuh kopi.

Mendengar saja ajakan lelaki itu, Darlena terasa mukanya membahang. Merah menyala seperti kek merah itu. Angguk tidak. Geleng pun tidak. Ryan masih menanti jawapan gadis jelita itu. Harapnya jawapan yang menyenangkan hatinya.

"Esok ye. Esok saya kerja. Lusa saya balik kampung. Keesokkan tu pula sepupu saya kahwin" jawab Darlena.

Terus mati senyuman Ryan. Jelas nampak yang wajah lelaki itu sedikit muram.

"Aaa... Ryan. Awak jangan terasa hati. Bukan sebab saya tak sudi atau mencipta alasan. Tapi saya memang tak boleh keluar dengan awak minggu ni. Kafe pun akan tutup seminggu. Saya dengan mama akan balik kampung" pujuk Darlena..

"Kalau saya nak ikut, boleh?" Dengan mata yang bersinar-sinar Ryan berkata.

Terbuka luas mata Darlena jadinya. Tak salah dengar rasanya tadi.

"Ikut? Awak biar betul?" Semakin rancak organ dalaman Darlena membuat irama. Ryan mengangguk.

"Ye la. Saya serius. Saya tak pernah rasa hidup di kampung. Dan saya nak ada pengalaman tu. Pagi-pagi dengar ayam berkokok. Tengok pokok kelapa. Tengok lembu-lembu. Hirup udara segar. Berkenalan dengan orang kampung. Lepastu pergi pasar malam. Tak pun pergi pasar pagi beli ikan. Mesti seronok, kan?" kata Ryan. Dia terjerit kecil diakhir ayatnya.

Melihat keterujaan Ryan itu membuatkan Darlena tahan senyum. Penat dia menahan otot mulutnya dari membuat kerja melebarkan senyuman. Lebarkan sayapmu!

"Tapi walid tak bagi saya bawa balik lelaki. Lagi-lagi yang tak ada ikatan. Nanti keluarga saya salah faham walaupun kita berkawan. Abang-abang saya tak pernah tahu yang saya kenal awak"

Ryan terlopong seketika. Rasa macam ada bom atom meletup di sebelahnya. Dengar dengan jelas. Entah kenapa hatinya sakit mendengar perkataan berkawan itu. Ryan mencebik. Bibir bawahnya sedikit ke hadapan. Sekali tengok seperti muka yang meminta usapan kasih sayang. Darlena pandang ke tempat lain. Hanya beberapa saat sebelum matanya tertumpu pada Ryan semula.

"Tiada harapan la ni? Haa... Macam ni!"

Darlena menjungkit kening. Ryan berfikir sejenak sebelum dia mengeluh perlahan.

SELEMBUT KASIH AZALEAWhere stories live. Discover now