Bab 3

515 30 0
                                    

"ABANG, you rasa Khadijah okey ke dekat sana?" Zulaikha bertanya kepada Yusuf buat sekian kalinya. Saat suaminya itu tiba di lapangan terbang minggu lalu, sudah dia ajukan pertanyaan itu. Bukan sekali. Bukan dua kali tapi berkali-kali. Tiba di rumah pun Zulaikha masih bertanyakan soalan yang sama meskipun Yusuf telah memberikan jawapan kepadanya sejak di lapangan terbang lagi.

"You ni dah kenapa asyik tanya soalan yang sama? Macamlah tak biasa anak tinggal di asrama." 

Yusuf naik rimas apabila Zulaikha tak sudah-sudah bertanyakan tentang Khadijah sedangkan Khadijah baru sahaja seminggu meninggalkan tanah air.

Zulaikha kebam bibir. Nampaknya dia telah membuatkan suaminya berasa jelak dengan pertanyaan yang sama berulang kali. Namun apakan daya, dia tak dapat mengawal kerunsingannya. Dari siang membawa ke malam, otaknya asyik memikirkan tentang Khadijah. Pelbagai persoalan bermain-main dalam minda.

Makan okey ke? Adakah memenuhi selera Khadijah? Khadijah dah dapat kawan ke belum? Malam malam Khadijah tidur lena atau tidak?

"Zulaikha... I tahu you bimbangkan anak you tu tapi you juga tahu, kan? Kalau you berterusan fikirkan tentang dia, anak you pun akan rasa yang sama." Yusuf berkata lagi. Kali ini nadanya kembali lembut dan tenang. Dia tahu isterinya itu terlalu risaukan tentang Khadijah.

Zulaikha hela nafas. Ini bukanlah kali pertama dia berjauhan dengan anak-anak. Anak sulungnya, Abdul Rahman pun tinggal di madrasah. Khadijah juga pernah tinggal di madrasah walau tak lama. Pada ketika itu dia tak layankan sangat perasaannya sebab dia tak mahu anak-anak terkesan secara rohaniah. Kata orang, hubungan antara anak dengan ibu sangat kuat. Sakit si anak, ibu akan dapat rasa. Begitu juga kalau ibu merindu.

Anak akan rindukan ibunya juga secara tak langsung. Banyak kali sudah ustazah mahupun ustaz berpesan, hati kena kuat untuk tinggalkan anak supaya anak tak mengalami homesick dan nak balik rumah. Namun entah kenapa pemergian Khadijah kali ini agak menguji hati. Mungkin kerana kali ini Khadijah terlalu jauh meninggalkannya.

Zulaikha yang sedang duduk di sofa didekati. Kemudian Yusuf melabuh duduk di sisi. Dengan pandangan redup, isterinya ditatap. Dia faham perasaan seorang ibu yang berjauhan dari anaknya. Bahkan sebagai bapa, dia turut mempunyai rasa yang sama cuma dia tak mahu tunjuk.

"Sayang... Kita dah buat istikharah tentang perkara ni. Trust Allah. Allah akan jaga anak kita." Bahu isterinya dipeluk. Yusuf mahu menenangkan hati isterinya itu.

"Betul, bang... I sepatutnya reda dan serahkan semua ini kepada Allah. Tapi itulah... Mungkin sebab kali ni Khadijah pergi jauh sangat, jadi I asyik nak fikir pasal dia."

"Tak salah nak fikir pasal Khadijah cuma you tak perlulah risau tak tentu hala. Remember... If you are strong, Khadijah will be strong too." Yusuf mengingatkan.

"All she needs is time. Everything is going to be okay, insya-Allah," lanjut Yusuf lagi.

Zulaikha angguk kepala perlahan. Ada benarnya kata-kata suaminya itu, Khadijah memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di tempat baru.

"Ya Tarim, ya Tarim... (Duhai kota Tarim),

Syai lillah, syai lillah (Anugerah Allah untukmu), baldatul auliya', baldatul auliya' (Negeri para wali), syai lillah, syai lillah."

SERAYA bersandar pada tiang di dalam musala, Muhammad melantunkan qasidah Ya Tarim. Muhammad sebenarnya telah lama menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian di bumi Tarim. Pada perancangannya, dia mahu berkahwin dan membawa isterinya ke Tarim setelah tamat pengajian Alim nanti.

Calon isteri pilihannya itu tak lain tak bukan adik kepada Abdul Rahman, iaitu Khadijah. Namun apakan daya, dia hanya mampu merancang sedang Allah yang menentukan. Belum pun sempat bernikah, Khadijah terlebih dahulu menjejakkan kakinya di bumi Tarim.

Ternyatalah alasan demi alasan yang diberikan oleh Mak Cik Zulaikha dulu merupakan satu penolakan. Kenapalah dia langsung tak dapat menangkap bayangan yang telah diberikan sebelum ini?

Nafas panjang lagi berat dihela.

Tapi salahkah aku jatuh cinta?

Cinta yang berpaksikan iman, bermatlamatkan jannah. Cinta kerana Allah...

Muhammad imbas peristiwa sebulan sudah...

Sebulan terdahulu...

"MUHAMMAD... Maaf ya, Khadijah nak sambung belajar lagi." Zulaikha berkata.

"Saya tak pernah menghalang Khadijah nak belajar lagi, mak cik. Malah saya suka dengan orang yang cintakan ilmu."

"Tapi Khadijah akan pergi belajar jauh."

"Jauh? Ke mana?"

"Yaman..."

Muhammad tergamam. Jauh sungguh! Seketika, mulut terhenti dari berbicara tapi otak tetap bekerja. Memikir ayat yang harus keluar bagi membuktikan cinta.

"Masya-Allah! Bagus tempat tu, mak cik." Keluar ayat spontan hasil tindak balas otak yang diimbangi dengan perasaan. Ayat yang dapat difikir dalam tempoh masa terhad.

"Ada hadis sahih yang menerangkan tentang kelebihan Yaman. Beruntunglah Khadijah dapat peluang belajar di sana. Saya pun teringin juga nak pergi sana. Belajar iman dan hikmah dari orang-orang Yaman. Rasulullah juga mendoakan keberkatan negeri Yaman." Lancar saja ayat yang seterusnya keluar dari mulut. Hendak suruh dia nyatakan hadis bilangan keberapa dan riwayat daripada siapa pun dia boleh sebenarnya tapi tak perlu rasanya. Mak Cik Zulaikha dan Pak Cik Yusuf pun tentu dah tahu. Sebab itulah mereka menghantar Khadijah ke Yaman. Bahkan Abdul Rahman pun ada untuk dijadikan rujukan.

Zulaikha telan liur. Hati serba salah hendak berterus-terang mengatakan pinangan Muhammad ditolak. Tak sampai hati hendak mengecewakan sahabat kepada anak mereka itu. Kemudian Zulaikha pandang suaminya yang duduk di sebelah, dengan harapan suaminya itu yang menyampaikan. Lima saat dia menunggu tapi suaminya itu diam saja nampaknya.

"Begini Muhammad... Kami sangat berbesar hati dengan keinginan kamu hendak beristerikan Khadijah. Kamu mempunyai ciri-ciri yang sempurna untuk dijadikan calon suami. Tapi..."

Muhammad pandang Mak Cik Zulaikha yang tiba-tiba tak menghabiskan ayatnya. Muhammad tak dapat mengagak riak yang tersembunyi di sebalik kain nipis yang menutup wajah wanita itu. Namun apabila ayat berhalangkan tapi Muhammad dapat mengagak sesuatu.

Dap dip dup... Jantung Muhammad tiba-tiba berdegup laju.

"Khadijah belum bersedia... Dia nak fokus kepada pelajaran." Yusuf pula bersuara. Dia terus menyampaikan tanpa berkias. Direct to the point saja senang. Jelas dan Muhammad pasti faham.

SUNGGUH Muhammad tak menyangka pinangan secara tak rasminya ditolak.

Keluarga Khadijah dah lama kenal aku... Malah aku bersahabat dengan Abdul Rahman, kut?Namun hubungan baik dengan Abdul Rahman, iaitu abang kandung kepada Khadijah, bukanlah satu jaminan.

Apa lagi yang tak kena?

Tak cukup baikkah aku?

Jeda.

Atau tak cukup kaya?

Muhammad hela nafas. Berat lagi dalam. Hasrat hatinya tak kesampaian. Dan bohonglah kalau dia tak terkilan atau kecewa.

"Ya Tarim, ya Tarim... Syai lillah, syai lillah bijahi ba a'lawi, bijahi ba a'lawi (Dengan keberkahan Bani A'lawi), syai lillah, syai lillah. Habibunal karim, habibunal karim (Para kekasih kami yang mulia) Syai lillah, syai lillah..."

Qasidah Ya Tarim yang terhenti tadi disambung semula. Meskipun terkilan pinangannya ditolak namun jauh di sudut hatinya, Muhammad tetap mengharapkan yang terbaik buat Khadijah.

Qasidah Buat  Khadijah (Preview)Where stories live. Discover now