September, 2014.
"UMI memang tak sayang kita. Umi lebih sayangkan Faty." Suara Khadijah kedengaran sebak di hujung talian.
"Mana ada... Umi sayang anak-anak umi sama rata." Fatimah menafikan kata-kata kakaknya itu.
"Eleh, kalau umi sayang kita, kenapa umi hantar kita jauh-jauh?" pertikai Khadijah.
"Kan abi dah beri kakak pilihan? Kalau kakak tak nak belajar, kakak tak payah pergi."
"Yalah tu... Pilihan apa kalau kita kena kahwin? Pilihan tahi kucing!" Sungguh Khadijah tak puas hati dengan pilihan yang diberikan kepadanya. Langsung tak membantu. Menyakitkan hati lagi adalah!
"Hik hik hik..." Fatimah mengekek galak. Dalam pada marah pun kakaknya itu masih nak buat lawak.
"Kenapa kakak tak nak kahwin?" Fatimah ajukan soalan setelah tawanya reda. Ingin juga dia tahu apa alasan Khadijah menolak cinta Muhammad sampai sanggup ke Yaman sedangkan pada awalnya macam-macam kerenah dia buat agar dapat berhenti dari madrasah. Manalah tahu kakaknya itu sudah punya calon sendiri.
"Kita nak belajar lagilah! Ingat ini zaman Jepun ke nak kena kahwin muda?" Pic suara Khadijah sudah ternaik. Bercerita tentang keputusan umi dan abi hanya mencetuskan semula amarah.
"Tapi bakal maulana tu, kak." Fatimah masih dalam mod mengusik meskipun nada suara kakaknya sudah kedengaran tegang.
"Maulana ke malaun?" Geram Khadijah masih bersisa. Bukan dengan umi dan abi saja dia marah, mamat miang yang nak kahwin dengan dia itu pun dia marah sekali. Khadijah benci dengan kawan along itu! Nak belajar buatlah cara nak belajar. Ini tak, sibuk nak kahwin. Mampu ke nak tanggung anak orang?
"Eh, dia baik orangnya, kak... Kawan along, kut? Rugi kakak tolak cinta Abang Muhammad." Fatimah menyebelahi Muhammad meskipun dia tak kenal siapa orangnya. Memandangkan Muhammad itu kawan baik kepada along dan mereka sama-sama belajar kitab, Fatimah yakin Muhammad itu baik orangnya. Lagipun dia seorang hafiz. Takkanlah seseorang yang mempunyai 30 juzuk al-Quran dalam dada tak menjaga akhlak? Apatah lagi dia sudah tahun ketujuh dalam pengajian kitab. Sudah banyak ilmu agama dipelajarinya. Mesti dia tahu tanggungjawab seorang suami.
"Orang kata kan, kak? Kalau kita nak kahwin, pilih lelaki yang betul-betul sayangkan kita. Insya-Allah dia akan setia dan sayangkan kita sampai bila-bila," lanjut Fatimah lagi.
"Macam inilah... Apa kata kalau Faty aje yang kahwin dengan mamat tu?"
"Eh, kita pula!"
"Dah tu, beria-ia sangat memujinya!"
"Benda betul, kita pujilah..."
"Sekelumit pun kakak tak hairan! Kalau Faty dah gatal sangat, Faty pergi offer diri dekat dia!" Tak sudah-sudah Fatimah nak sebut pasal mamat itu. Kan dah dapat tengkingan secara percuma?
"Hik hik hik..." Mengekek lagi Fatimah. Sikit pun dia tak ambil hati dengan sikap Khadijah. Masak sangat Fatimah dengan perangai Khadijah itu. Bila tengah marah, memang kakaknya itu main cakap lepas saja. Walhal bukan Khadijah tak tahu yang adiknya belum cukup umur untuk berkahwin. Dan mustahil sangatlah Fatimah nak tawar diri jadi pengganti Khadijah.
"Kita baru empat belas tahunlah, kak! Undang-undang dekat Malaysia tak benarkan. Lainlah kakak... Sweet seventeen. Ibarat bunga yang sedang mekar gitu. Dah sampai masanya untuk dipetik orang." Lagi kakaknya itu marah, lagi galak Fatimah mengusik.
"Oh, please! Nak muntah, okey?"
Fatimah gelakkan kakaknya lagi. Seronok dia mendengar Khadijah marah-marah di hujung talian. Sudah 2 minggu kakaknya itu pergi meninggalkan tanah air. Terasa sunyi pula hidup Fatimah kerana tiada teman bercerita dan bergaduh mulut. Jadi bergaduh di telefon pun boleh untuk melepas rindu dan rasa bosan.
YOU ARE READING
Qasidah Buat Khadijah (Preview)
General FictionGara-gara pinangan Muhammad, Khadijah kini tercampak jauh di Tarim yang dikenali sebagai Bumi Seribu Wali.