ZULAIKHA memerhatikan Abdul Rahman menikmati hidangan. Berselera sungguh nampaknya anak sulungnya itu.
"Rindu betul dengan masakan umi." Bagaikan mengerti renungan mata umi, Abdul Rahman berkata. Kemudian dia tertawa kecil.
Zulaikha turut tertawa sama. Selain penghargaan daripada suami, penghargaan daripada anak pun sudah membuatkan seorang wanita itu rasa bahagia. Hilang terus segala rasa penat menguruskan rumah tangga.
Abdul Rahman capai gelas yang berisi sirap. Kemudian dia teguk perlahan-lahan. Apabila tekaknya sudah berasa, dia letakkan semula cawan ke atas meja.
"Khadijah macam mana, umi? Okey ke dia dekat Yaman tu?" Abdul Rahman bertanyakan tentang adiknya. Kalau tak silap perhitungannya, sudah lebih sebulan Khadijah pergi.
"Hermmm... Masih merajuk lagi," adu Zulaikha.
Uminya dipandang. "Merajuk?"
"Sejak dia pergi sana, sekalipun Khadijah tak pernah bercakap dengan umi."
"Dia langsung tak call?"
"Ada la call tapi cakap dengan Fatimah aje."
"Dengan abi?"
"Dengan abi pun tak."
Menggeleng Abdul Rahman mendengarkan cerita umi.
"Perangai macam budak-budak, Khadijah ni!" bebel Abdul Rahman kemudiannya. Geram pula dia mendengarkan perangai Khadijah yang masih tak berubah. Sampai hati dia tak nak bercakap dengan umi dan abi. Takkanlah tak rindu? Sedangkan dia yang duduk dekat pun kalau boleh setiap hari nak tengok muka umi dan dengar suara umi berceloteh.
"Biarlah dia... Umi nak tengok setakat mana dia nak menyombong dengan umi."
Abdul Rahman tersengih. Masak sangat dia dengan perangai Khadijah. Keras kepala dan suka memberontak tapi hujung-hujung hadapkan bantuan daripada umi dan abi juga.
"Khadijah tak mengadu apa-apa ke dekat Fatimah?" tanya Abdul Rahman.
"Setakat ni tak adalah dia mengadu apa-apa. Jadi umi anggap dia okeylah."
"Insya-Allah, umi... Kita doa ajelah untuk dia. Mudah-mudahan Khadijah mendapat pentarbiahan yang baik di sana."
"Insya-Allah... Amin."
Zulaikha hulurkan mangkuk nasi apabila dilihatnya nasi di dalam pinggan Abdul Rahman sudah hampir licin.
"Tambah lagi," tuturnya.
Abdul Rahman ambil mangkuk nasi yang dihulur. Kalau makan tak bertambah, memang tak sah. Cuma tidaklah dia bertambah sampai tiga, empat pinggan. Selepas tambah nasi, dia tambah kuah pula. Kemudian cubit sikit ikan ke atas pinggan.
"Along, umi nak tanya sikit ni..."
"Tanya apa, umi?" tanya Abdul Rahman setelah dia menoleh ke arah uminya semula.
"Along dengan Muhammad macam mana?" Sejak Khadijah ke Yaman, lama juga Zulaikha tak dengar berita tentang Muhammad. Abdul Rahman pun senyap aje. Tak bercerita apa-apa.
"Macam mana apa, umi?" Abdul Rahman kabur.
"Tak... Kut la Muhammad merajuk Khadijah tolak pinangan dia..." Zulaikha menjelaskan maksud pertanyaannya.
"Tak adalah, umi... Tak ada maknanya Muhammad nak merajuk."
"Jadi hubungan kamu dengan dia okeylah?" Zulaikha ingin tahu lebih lanjut.
"Orang lelaki, umi... Hati kena kental. Takkanlah disebabkan perkara kecil pun nak putus kawan?"
"Eloklah kalau macam tu... Risau juga umi kalau dia sangka yang bukan-bukan."
YOU ARE READING
Qasidah Buat Khadijah (Preview)
Ficción GeneralGara-gara pinangan Muhammad, Khadijah kini tercampak jauh di Tarim yang dikenali sebagai Bumi Seribu Wali.