DENGAN membawa cawan berisi kopi di tangan kanan, piring berisi karipap di tangan kirinya, Nafisah mendekati Muhammad yang sedang duduk bersendirian di ruang tamu. Begitu khusyuk sekali anaknya itu menaip pada komputer riba. Sebaik saja tiba dekat, Nafisah reling skrin. Dia ingin membaca apa yang Muhammad taipkan di situ. Khusyuk benar gayanya sampaikan tak sedar langsung emaknya berdiri di belakang.
Selamat Tinggal Dunia.
Ayat itu yang Nafisah nampak dulu sebab tulisannya lebih besar dan lebih gelap berbanding ayat-ayat di bawahnya. Nampak macam sebuah tajuk. Ayat-ayat seterusnya Nafisah tak baca kerana tajuknya saja sudah cukup membuatkan hatinya tersentak dan serta-merta bebola matanya berlari ke arah Muhammad.
Biar betul anak aku ni!
Dahi berkerut. Otak pula mulai memikir tentang ayat yang baru dibacanya sebentar tadi. Kemudian skrin komputer riba kembali direling. Pada penglihatan matanya yang sudah tak berapa nak cerah itu, hanya beberapa baris ayat saja yang ditaip. Mungkin tak selesai lagi kerja Muhammad. Ayat-ayat yang tertera cuba diamati namun belum pun sempat dia membacanya, Muhammad tiba-tiba menoleh. Dengan segera pandangan matanya dialih. Dari skrin terus ke muka Muhammad. Buat bersahaja, kononnya dia tak nampak apa-apa.
"Apa tu, mak?" sapa Muhammad saat dia terpandangkan piring di tangan emaknya.
"Karipap."
"Sedapnya!" Muhammad segera menyambut cawan dan piring. Sesudah itu dia letakkan kedua-duanya di atas meja. Sebiji karipap diambil lalu disuapkan ke mulut. Sebelum itu dia membaca basmallah terlebih dahulu bagi menghindari syaitan dari turut menyantap makananan itu sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim dan Ahmad.
Nafisah berganjak ke depan. Kali ini posisinya betul-betul berdepan dengan Muhammad. Kemudian duduknya dilabuhkan di atas kerusi rotan yang ada di ruang tamu itu. Sejurus, bebola matanya terpandangkan sebuah kitab yang terletak di sebelah komputer riba. Nipis saja kitab itu pada pemerhatiannya.
"Banyak ke kerja yang mudir bagi?" tanya Nafisah. Dia dan suaminya menggalakkan Muhammad membuat kerja-kerja penterjemahan memandangkan terlalu sedikit kitab-kitab terjemahan di pasaran. Nak baca kitab karangan asal yang berbahasa Arab bukannya semua orang faham. Dia dan suaminya sendiri pun tak tahu berbahasa Arab.
"Adalah juga, mak... Tapi mudir taklah mendesak sebab dia tak nak ganggu pembelajaran abang." Muhammad menjelaskan. Kemudian dia capai cawan di atas meja. Setelah habis sebiji karipap ditelan, salur trakea rasa tercekik pula.
Muhammad menggelarkan dirinya abang sebaik sahaja Salman lahir. Bukan adik-adiknya sahaja yang memanggil Muhammad dengan panggilan itu, Nafisah pun terikut sama. Pendek kata, suami dia panggil abang, anak pun dia panggil abang. Pernah juga berlaku di mana kedua-duanya terkeliru dia memanggil siapa sebenarnya. Namun begitu, sesekali Nafisah panggil juga anak sulungnya itu dengan panggilan nama penuh. Bukan panjang pun nama Muhammad. Sekadar satu nama saja, Bukan Muhammad Izhar atau Muhammad Affan ke. Muhammad semata-mata, sempena nama junjungan Nabi yang mulia.
Nafisah bingkas dari duduknya lalu mengambil kitab di tepi komputer riba. Sebaik sahaja sudah berada di tangan, Nafisah duduk semula. Mata membaca apa yang tertulis pada muka depan kitab. Dia baca dalam hati cuma.
Diwan.
Al-Imam As-Shafie.
Meskipun Nafisah tak faham bahasa Arab tapi dia masih boleh membaca tulisan Arab. Cuma kalau ayat Arab itu tak berbaris, merangkaklah sikit dia membacanya. Kadang-kadang ada juga yang dia tak boleh baca langsung.
Helaian kitab diselak. Kandungan dalam setiap helaian pendek-pendek saja nampaknya, tak macam kitab-kitab milik Muhammad yang lain. Namun begitu, sepatah habuk pun Nafisah tak faham. Apa yang dia pasti, kitab di tangannya itu karangan Imam Syafie, iaitu salah seorang dari imam mazhab yang empat.
YOU ARE READING
Qasidah Buat Khadijah (Preview)
General FictionGara-gara pinangan Muhammad, Khadijah kini tercampak jauh di Tarim yang dikenali sebagai Bumi Seribu Wali.