Bab 2

759 33 2
                                    

RUANG dewan bergema dengan suara para pelajar Darul Zahra berqasidah. Siap dengan pukulan gendangnya sekali. Terdapat sekumpulan pelajar yang menganggotai kumpulan gendang. Pelbagai jenis qasidah mereka mahir. Dari segi bahasa, qasidah bermaksud syair Arab yang dilagukan atau dinyanyikan.Alunan qasidah mempunyai ciri-ciri tersendiri dari segi muzik dan bait-bait katanya. Bait-bait qasidah berbentuk syair yang bertemakan Islam seperti ucapan puji-pujian kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Pada setiap hari Jumaat, para pelajar Darul Zahra akan berkumpul di dewan seawal pukul 5 pagi. Usai solat subuh, mereka mendendangkan 10 fasal qasidah burdah karangan Imam al-Bushiry. Dari awal pagi sehinggalah naik matahari barulah selesai. Ini bermakna hampir dua jam jugalah para pelajar berqasidah.

Apakah kerana mengingat para kekasih di Dzi Salam sana?Engkau deraikan air mata dengan darah duka.Ataukah kerana hembusan angin terarah lurus berjumpa di Kadhimah.Dan kilatan cahaya gulita malam dari kedalaman jurang IdhamMengapa kedua air matamu tetap meneteskan air mata? Padahal engkau telah berusaha membendungnya.Apa yang terjadi dengan hatimu?

Padahal engkau telah berusaha menghiburnya.

Indah kata-kata yang ditulis oleh Imam al-Bushiry dan sedap suara pelajar yang menyanyikan syair itu. Namun iramanya membosankan pada Khadijah. Daripada sepuluh fasal yang ada, fasal kedua sajalah yang Khadijah boleh terima kerana iramanya sedikit rancak. Khadijah sebenarnya tak minat qasidah. Meskipun bait-bait katanya memuji-muji Allah ataupun Rasul tapi Khadijah tetap tak minat. Ini bukanlah bermakna hatinya hitam sampai qasidah pun tak memberi bekas. Dah dia tak minat genre muzik sebegitu, nak buat macam mana?

Khadijah menekup mulutnya dengan telapak tangan kanan. Masuk kali ini sudah 10 kali dia menguap. Ikutkan hati, mahu saja dia merebahkan tubuhnya di atas karpet dan tidur dengan nyenyak. Namun apakan daya, acara qasidah burdah merupakan acara wajib di Darul Zahra.

'Ya Allah! Bila nak habis ni?' Rungutannya cuma bergema dalam hati.Lehernya yang berbalut tudung digaru. Mata dijegil besar-besar. Konon hendak buang kantuk. Huwargghh!

Khadijah menguap lagi. Bunyi gendang yang dipalu tetap tak mampu mencerahkan dua biji matanya.

Khadijah tampar pula pipinya. Namun usahanya itu berkesan beberapa minit saja. Sudah macam-macam cara dia ikhtiar tapi kelopak mata masih lagi berat.

Pap!

Khadijah terkejut daripada lena apabila bahunya ditepuk orang. Lekas-lekas dia menoleh. Seorang pelajar berbangsa Arab tersenyum kepadanya.

"La takkhudzuhu sinatuw wala naum. (Dia (Allah) tidak mengantuk dan tidak tidur)." Pelajar itu memetik potongan ayat dari Ayatul Qursi yang dijadikan doa apabila berasa mengantuk. Khadijah membatu. Kelopak mata terkebil-kebil, merenung muka pelajar yang bersuara.

"Awak berqasidahlah sama-sama. Insya-Allah, awak tak rasa mengantuk." Pelajar itu bersuara lagi dalam nada suara perlahan. Mungkin kerana dia tak mahu mengganggu acara.

Fasal bertukar.

"Maulaya salli wasallim daaiman abadaa. A'la habibika khoiril khalqi kullihimi."

Kali ini Khadijah menyertai syair yang didendangkan. Bahagian itu sajalah yang dia hafal pun sebenarnya. Bahagian itu umpama korus yang sering diulang-ulang setiap kali masuk ke fasal yang seterusnya.

Pelajar tadi melarik senyum.

KHADIJAH menelusuri ruang koridor. Sebenarnya dia tiada tempat tuju yang khusus. Dia turutkan saja ke mana kakinya menapak. Janji bukan balik ke dorm. Dia belum hendak balik ke dorm sementelah rasa mengantuknya tiba-tiba hilang lepas kena lepuk dengan budak Arab tadi.

Qasidah Buat  Khadijah (Preview)Where stories live. Discover now