Bab 6

302 14 0
                                    

KAMUS terjemahan bahasa Arab-Melayu terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka itu dibelek sejak tadi. Helaian demi helaian diselak sedangkan Muhammad tak tahu apa perkataan yang dia cari sebenarnya. Muhammad hilang fokus.

Ah! Susah betul hendak buang ingatannya terhadap Khadijah.

Muka diraup. Kemudian buku latihan di sebelah dipandang. Muhammad mencari semula perkataan yang dia hendak cari dalam kamus tadi. Kerja asalnya mudah saja. Dapatkan kata dasar kemudian buka helaian kamus berdasarkan huruf pertama kata dasar. Tak perlulah belek kesemua helaian yang setebal hampir 6 inci itu.

Muhammad belek semula kamus. Ya Allah! Yang aku pergi cari dekat huruf nun buat apa?

Tadi dia sudah ingat perkataan yang dia hendak cari bermula dengan huruf lam. Nampaknya sudah melangkau ke halaman nun!

Muhammad menggeleng kepala. Inilah jadinya bila fikiran tak fokus. Helaian diselak semula ke belakang. Satu per satu dia selak kerana tak mahu melangkau jauh sangat sampai masuk ke halaman huruf kaf pula nanti.

Tiba saja ke helaian yang sepatutnya, cepat-cepat jari telunjukknya menuding. Satu per satu kata dasar yang dia mahukan dicari. Sebaik saja jumpa, Muhammad membaca apa yang tertulis dan kemudian cuba fahamkan ayat Arab dalam buku latihan.

Macam manalah agaknya Khadijah dekat Yaman tu?

Tentulah seronok... Soalannya itu Muhammad jawab sendiri.

Muhammad pandang pula jam loceng miliknya. Jarum jam menunjukkan pukul 10.

Hermmm... Malam di sini tapi siang di sana.

Malaysia cepat lima jam berbanding Yaman. Maknanya dekat Yaman sekarang ini pukul 5 petang. Otak Muhammad pantas mengira.

Mesti Khadijah sudah habis kelas. Muhammad meneka-neka pula.

Aku pula tak habis-habis lagi homework...

Tiba-tiba latihan yang ustaz beri siang tadi terasa sukar hendak disiapkan.

ABDUL Rahman memerhatikan sahabat karibnya, Muhammad yang sedang duduk sendirian. Kamus tebal di depannya. Melihat Muhammad menelaah bukanlah perkara yang janggal. Muhammad memang rajin. Sebab itulah setiap tahun dia memperolehi keputusan Mumtaz seterusnya menyandang anugerah pelajar terbaik. Dan sebab itu jugalah dia disayangi oleh para guru terutamanya mudir mereka.

Khusyuk sungguh Muhammad menelaah sehingga tak menoleh kiri dan kanan. Ke belakang pun tidak.

Dua saat, tiga saat, empat saat... Sehingga hampir sepuluh saat Abdul Rahman memerhatikan Muhammad. Tak bergerak-gerak.

Hermmm... Menelaah kamus? Dahi Abdul Rahman sudah berkerut. Membuka kamus untuk membuat kerja rumah yang ustaz beri bukanlah perkara aneh. Yang anehnya ialah apabila kamus cuma ditenung tak sudah-sudah.

Abdul Rahman menggeleng kepala. Mengelamun lagi sahabatnya itu. Dalam kelas mengelamun, dalam dorm pun mengelamun. Parah ni! Tak boleh dibiarkan.

Langkah diatur, ke arah sahabat karib.

"Assalamualaikum, bro." Doa kesejahteraan diberi. Seraya itu tangan kanannya menepuk bahu kiri Muhammad. Terjongket sedikit bahu Muhammad dek terkejut.

"Waalaikumussalam." Muhammad membalas. Memberi salam itu sunat tetapi menjawabnya wajib. Sesudah itu, barulah dia menoleh. Sebaik sahaja terpandangkan Abdul Rahman, terus dia larikkan senyuman.

Tanpa disuruh, Abdul Rahman melabuh duduk di sisi Muhammad. Sahabatnya itu kemudian ditenung seketika. Meski bibirnya melakar senyum namun Abdul Rahman tahu senyuman itu dibuat-buat bagi menyembunyi gundah. Dalam erti kata lain, senyuman palsu. Menurut umi, yang dulunya mengambil jurusan psikologi, senyuman ikhlas yang datang dari hati dapat dibaca melalui mata di mana mata akan mengecil sedikit tatkala seseorang itu senyum. Manakala tepi mata akan kelihatan kedutan yang dipanggil 'crow's feet'. Kata umi lagi, sebab itulah orang tua-tua selalu berkata, apabila seseorang itu benar-benar bahagia, matanya yang akan tersenyum.

Qasidah Buat  Khadijah (Preview)Where stories live. Discover now