PROLOG

19 2 0
                                    

Zaril berdiri di hadapan kaunter surat menyurat hostel kediamannya. Tertera di meja kaunter tersebut 'Pusat Persediaan Angkasa Negara'. Tangannya lencun dibasahi peluhnya sendiri sementara menunggu surat yang sedang dicari petugas. Ini merupakan kotak ketiga yang dibuka petugas itu di belakang kaunter surat menyurat.

"Jumpa tak, cik?" duga Zaril sambil menggosok belakang tengkuknya. Sekali-sekala dia mengerling ke belakang untuk memandang barisan yang semakin panjang kerana menunggunya.

"Kejap ya, dik. Surat makin banyak sejak dua menjak ni," balas petugas wanita bertudung biru itu. "Haih, saya pun tak faham la, dik. Zaman dah teknologi tinggi nak hantar manusia ke sana ke mari, tapi benda macam ni pun tak e-mel saja pada calon," petugas itu mengomel sambil tangannya masih ligat menyelak surat-surat di dalam kotak itu.

Zaril hanya mengangguk perlahan. Tangan kanannya diangkat mencari paparan jam. 'Dekat pukul 4 dah ni...' bisik Zaril sendiri.

"Haa, jumpa pun. Zaril Zafran, kan?" ujar petugas wanita itu separuh menjerit. Zaril mengangguk laju seraya mengambil surat tersebut dan terus berlalu pergi. Wang kertas bernilai RM5 ditinggalkan di atas kaunter.

"Eh, dik! Tak payah bayar!" Petugas itu menjerit dari belakang kaunter. Zaril yang sudah memanjat anak tangga hanya menjerit kuat, 'Tips!'. Petugas itu hanya tersenyum sambil menggeleng dan bersedia melayan calon yang seterusnya.

Anak tangga yang terakhir dipijak Zaril. Telefon pintarnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Lagu "Pelangi Dan Kau" dari Hujan dimainkan. Zaril terus mengeluarkan telefon pintarnya sambil melangkah laju ke biliknya.

"Helo? Ya, bu. Baru je dapat surat ni. Tadi dia cari lama betul." ujar Zaril sambil membuka tombol pintu. Kelihatan rakan sebilik Zaril sedang leka bermain telefon di atas katilnya.

"Iya, Zaril tak buka lagi. Baru nak buka ni. Haa video call pun lawa juga, bu." kata Zaril lagi sambil menarik kerusi lalu dilabuhkan punggungnya.

Panggilan ditamatkan sebelum telefon pintar Zaril berbunyi lagi. Kali ini, wajah ibu dan ayahnya kelihatan di skrin.

"Cepat buka, Zaril. Ayah kamu ni tak sabar dah ni," ujar Mak Kalsom, ibu Zaril. Zaril hanya mengangguk laju. Pisau di hujung meja dicapai lantas surat tersebut dipotong. Isi surat itu dikeluarkan lalu lipatan itu dibuka.

Zaril tersenyum manis sebelum memusingkan kertas itu kepada orang tuanya. Senyuman gembira terukir di wajah mereka sebelum ucapan 'Alhamdulillah' dilepaskan.

***

Bunyi siren yang kuat mengejutkan Zaril yang bahagia diulit mimpi. Matanya terpisat-pisat sambil tangannya mencari telefon bimbit untuk melihat waktu. Skrin memaparkan pukul '5:30 pagi'. Zaril mengambil nafas sedalam mungkin sebelum duduk di hujung katil. Notifikasi yang keluar semasa dia tidur diperiksa satu persatu. Hari ini merupakan hari penting. Hari ini merupakan hari keluar keputusan peperiksaan akhir Institut Latihan Eksplorasi Angkasa Malaysia, ILEAM.

Untuk tiba ke hari ini bukannya mudah bagi Zaril. Dari hari pertama dia menjejakkan kaki di Pusat Persediaan Angkasa Negara, hinggalah ke hari ini memerlukan disiplin dan daya ketahanan yang tinggi dalam diri Zaril. Tidak terkecuali juga perasaan patriotik yang sangat mendalam.

Zaril melangkah keluar dari bilik mandi hostel. Masing-masing mengucapkan selamat berjaya antara satu sama lain. Mana tidaknya, program ini merupakan program terbesar di negara yang hanya dilakukan sekali sahaja. Sudah tentu ramai anak muda yang ingin menjadi sebahagian daripadanya.

ILEAM bertujuan melatih anak muda Malaysia untuk menjalankan misi eksplorasi angkasa lepas bagi mencari planet kedua sebagai pengganti Bumi.

"Zaril!" daun pintu ditolak kuat. Zaril yang sedang memakai baju melompat terkejut.

"Ketuk pintu dulu, woi!" jerit Zaril, kuat.

"Opps... maaf" ucap Ikhmal sambil dia melangkah masuk dengan selambanya.

"Pastu, masuk gak, haih."

Ikhmal duduk di penjuru katil Zaril. Di sini, setiap calon mendapat bilik masing-masing, walaupun bilangan calon di sini hampir mencecah seribu orang. Ikhmal membuang pandangannya ke arah tingkap.

"Kau apasal. Senyap pulak tadi happy betul terjah bilik aku," ujar Zaril, menyedari perubahan atitud rakannya itu.

Ikhmal tersengih kambing. "Takde la, dekat dua tahun kita duduk sini. Dah dekat lima tahun kita kawan. Tapi hari ni hari last kita kat sini."

Zaril ketawa kecil. "Emo je kau ni. Chill, nanti kita lepak la lagi sama-sama. Ada chance punyalah."

"Pandai je kau ni. Silap-silap dia yang berjaya join misi."

Zaril ketawa kecil lagi. Ikhmal sudah jadi sahabatnya dari hari pertama di Pusat Persediaan lagi. Masih segar di ingatan Zaril bagaimana Ikhmal menegurnya dari belakang di kafeteria. Zaril seorang yang sukar bergaul dengan orang baru, perlu orang lain tegur dahulu baru boleh bersuara.

Tersenyum dia teringatkan kenangan awal pertemuan itu. Sejak daripada hari itu mereka memang seperti belangkas. Hampir setiap masa bersama.

"Senyum, senyum, jett kepala satgi. Jomlah dah lambat dah ni," ujar Ikhmal seraya berjalan ke arah pintu. Zaril dengan pantas mengetatkan tali pinggangnya dan mencapai dog tag di atas mejanya.

Zaril melangkah laju mengejar Ikhmal yang sudah berada jauh di hadapan. Mereka bergerak ke lokasi yang sama seperti calon lain, Dewan Utama. Situasi yang sangat nerve-racking bagi kesemua calon kerana daripada 1024 orang calon, hanya lapan orang sahaja yang akan terpilih menyertai misi eskplorasi negara ini.

Zaril dan Ikhmal masing-masing duduk di atas salah satu kerusi yang disediakan di dewan itu. Sambil menunggu, Zaril mengeluarkan telefon pintarnya lalu mengambil satu swafoto. Jari telunjuk dan jari hantu dinaikkan melambangkan simbol peace.

"Untuk girlfriend ke tu?" soal Ikhmal tiba-tiba. Zaril membuat muka menyampah sebelum menghantar gambar tersebut ke ibunya. 'Zaril dah dalam dewan :)' dijadikan kapsyen.

Ikhmal hanya tersenyum nipis. Pandangan dilontarkan ke depan semula.

Zaril menyimpan telefon bimbitnya ke dalam poket sebelum seorang wanita berambut ikal menegur. "Seat ni kosong?" soalnya, sambil sekuntum senyuman manis diukir.

Zaril hanya mengangguk perlahan. Wanita itu kemudian melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah Zaril. "Nama saya Bainun," ujarnya hanya ingin berbasa-basi. Zaril mengangguk lagi sebelum membalas 'Saya tahu' kepada Bainun. Bainun tersenyum ringkas sebelum memandang ke hadapan.

Tidak lama selepas itu, lampu dewan dimalapkan. Tanda acara akan dimulakan tidak lama lagi. Sorakan dan tepukan berselang-seli, sesuai dengan tenaga dan vibe yang dikeluarkan juruacara. Juruacara yang bertuah, dapat handle majlis yang dijalankan hanya sekali sepanjang zaman, bisik Zaril dalam hati.

Juruacara tersebut kemudian menjemput Dr. Khuailid, Pengarah ILEAM untuk menyampaikan nama lapan orang yang terpilih menjalankan misi eksplorasi angkasa lepas.

Beberapa nama yang disebut disambut dengan tepukan yang sangat gemuruh. Tuan kepada nama-nama tersebut juga berdiri dan berjalan dengan keyakinan yang sangat tinggi. Calon yang berjaya ini merupakan calon yang cemerlang dari segi akademik, latihan serta keperibadian mereka.

Zaril dan Ikhmal menepuk tangan mereka tanda sokongan kepada calon yang berjaya, sama seperti calon lain yang masih di kerusi. "Hebatnya diorang" ujar Zaril sambil memandang calon-calon yang gah berdiri di atas pentas dewan.

"Peserta ketujuh, Bainun Natasha." Dr. Khuailid menyebut. Seraya itu, wanita di sebelah Zaril berdiri. Sempat juga dia memberi senyuman nipis kepada Zaril sebelum melangkah ke arah pentas.

Pingat berwarna emas disangkutkan di leher Bainun. Bainun kemudiannya berdiri di mana calon lain yang berjaya berdiri. Dr. Khuailid berdehem dua kali sebelum menyambung, "...dan peserta terakhir yang akan menyertai misi eksplorasi ke sistem bintang Dirgahayu adalah..."

Kesemua calon menunggu depan penuh debaran. Jantung berdegup kencang mengharapkan nama mereka yang bakal disebut Dr. Khuailid.

"...Ikhmal Saifuddin."

MISSION: SURVIVEWhere stories live. Discover now