Zaril membuka matanya. Siling kapal ditenungnya lama sebelum satu nafas berat dilepaskan. Dia bangun dari pembaringan lalu melangkah ke arah mejanya. Jari-jemari ligat menekan sendi-sendi yang lenguh akibat bangun dari tidur. Punat monitor ditekan untuk menyalakan skrin.
"Mental Health Assessment, Day 25," tuturnya perlahan di hadapan monitor komputer itu sambil menggosok kelopak mata. Seraya itu, skrin berubah menjadi ilustrasi gelombang audio yang bergelora sambil suara seorang wanita dikeluarkan.
Usai pemeriksaan kesihatan mental, Zaril bangun dan melangkah keluar dari biliknya, menuju ke arah Kawasan Rekreasi. Kelihatan kawasan itu lengang, hanya ada Bainun dan juga seorang wanita peserta misi yang lain. Wanita itu berambut pendek, kemungkinan berbangsa cina. Zaril mencari kerusi yang berdekatan dengan tingkap kapal sebelum melabuhkan punggungnya.
Zaril membuang pandangannya ke luar, di mana hanya kegelapan yang nyata kelihatan. Tiada langsung bintang-bintang seperti mana filem-filem Hollywood tayangkan.
Bainun meminta diri untuk beredar kepada temannya itu. Lantas, dia mengatur langkah menuju ke arah Zaril.
"Hai," sapa Bainun, mesra.
Zaril hanya membalas dengan senyuman ringkas. Pandangannya berbalik semula ke arah angkasa yang gelap. Bainun tersenyum kekok sebelum duduk di atas kerusi bersebelahan Zaril.
Suasana menjadi hening dan bertambah kekok apabila tiada antara mereka yang berkata apa-apa. Bainun cuba membuka topik perbualan, tetapi Zaril bersuara dahulu.
"Kau pernah rasa kerdil tak, bila kau nampak betapa luasnya alam ni,"
Bainun tergamam dengan soalan eksistensialisme yang tiba-tiba diajukan kepadanya. Apa benda mamat ni, bisik Bainun di dalam hati. Namun, terasa suatu tekanan yang datang sekali dengan soalan itu. Kemungkinan kerana suara Zaril yang mendatar dan langsung tidak dipandang mata Bainun.
Bainun berdehem kecil. "Pernah, selalu juga. Even sekarang pun," jawab Bainun ringkas.
Zaril turut berdehem kecil sebelum membalas, "Apa expectation kau bila sampai planet tu nanti?" Ketika itu, kepalanya sudah ditoleh ke arah Bainun, namun Bainun memandang kosong meja dihadapan mereka. Jelas sinar di dalam mata Zaril. Bagaikan dapat melepaskan rindu bentuk perbualan yang biasa dikongsi dengan sahabat karibnya.
Bainun diam sebentar, menyusun perkataan. Sejujurnya, Bainun sendiri tidak pasti dan mempunyai perasaan yang bercampur baur. Tetapi dia mahukan dunia yang cantik, yang segar. Maka itulah jawapan yang dia beri kepada Zaril.
"Saya expect something beautiful. Yang walaupun tengah dalam misi, kita boleh enjoy masa kita."
Zaril mengangguk kecil. Senyuman nipis diukir. Enjoy. Satu terma yang sudah lama tidak hinggap di benaknya. Selepas selesai peperiksaan SPM pada umur 17 tahun, Zaril terus mendaftar masuk ke Pusat Persediaan Angkasa Negara selama tiga tahun. Kemudian, disambung pula dengan dua tahun di ILEAM. Satu fasa yang cukup panjang untuk buat Zaril lupa akan erti enjoy.
Perbualan kosong antara mereka berdua disambung. Kebanyakannya hanya tentang perkara yang mereka mahu lakukan apabila tiba di planet yang diberi kod nama 'Dirgahayu'. Seketika, Zaril ketawa, menyebabkan Bainun kaget sebentar.
"Lama saya tunggu senyuman awak." Bainun mengaku. Muka Zaril merah padam. Dahinya berkerut dan satu dehem kecil kedengaran.
"Aku takde sebab nak senyum sebelum ni," balasnya sambil memandang ke luar tingkap.
Bainun ketawa. Geli hatinya melihat gelagat lelaki itu yang malu apabila diusik sebegitu. Jauh dibenaknya, dia berbisik, 'aku sebab dia senyum!'
Sedang rancak mereka berbual, seorang lelaki keluar dari dinding atas Kawasan Rekreasi. Kerana reka bentuk kapal Homeworld yang unik, kapal tersebut mempunyai pelbagai laluan dan hanya beberapa kawasan sahaja yang dilengkapi teknologi graviti buatan. "Oh, hai, Bainun," sapa lelaki itu. Bainun membalas dengan lambaian tangan. Zaril hanya mendiamkan diri. Tiada sebarang sapaan, seperti biasa. Baginya, tiada guna lagi diacuba untuk berbaik dengan lelaki tersebut, Adam Aidil.
YOU ARE READING
MISSION: SURVIVE
Science FictionKemajuan manusia dalam teknologi tidak boleh disangkal lagi. Inovasi and ciptaan baharu menyumbang kepada perkembangan pesat tamadun manusia hingga berjaya menjejakkan kaki ke bulan. Namun, masalah 'overpopulation' tetap menjadi masalah besar. Zari...