“Emaziana. Itu nama you kan?”
“Err… ya. Saya.” Dia segera mendekati gadis itu. Bungkusan makanan dihulurkan kepada gadis itu.
“I tak lapar. I sengaja suruh you datang sini sebab nak berkenalan dengan you.”
“Kenal dengan saya?” Hampir bertaut kening Ema. Sah, ada yang tidak kena.
“Mestilah I nak kenal sangat dengan you. I nak tahu apa lebihnya you berbanding I. Sampai Karl terlalu sayang nak lepaskan you walaupun kami bakal disatukan tak lama lagi.”
Tergamam Ema. Kakinya terundur ke belakang. Dadanya berdegup laju.
“Terkejut ke?”
Pucat wajah Ema. Lidahnya tiba-tiba menjadi kelu. Banyak soalan yang ingin ditanya tapi sukar untuk dia luahkan kepada gadis itu.
“I Airin. You mesti nak sangat tahu tentang I kan. Sabar. Hari ni you akan kenal siapa lelaki yang you anggap baik.”
Tubir mata Ema semakin hangat. Dia akui semakin takut untuk mengetahui kenyataan sebenar. Tiba-tiba Airin hulurkan bingkai gambar yang ada di atas meja. Terketar-ketar tangannya menyambut huluran itu.
Sebaik saja dia melihat gambar itu, bungkusan makanan yang dipegangnya sejak dari tadi, terlepas dari tangannya. Gugur juga air matanya ketika ini.
“Itu tunang I. Megat Khalish.”
Dup!
Megat Khalish...
Karl?
Ema beranikan diri memandang wajah Airin. Kini dia sudah ingat dari mana dia melihat pakaian yang dipakai oleh gadis itu. Pakaian yang ditemuinya di dalam kereta Karl.
Hampir saja tubuh Ema melurut jatuh ke lantai. Mujurlah dia sempat berpaut di sofa yang ada di situ.
“I tahu yang dia masih berhubung dengan you. Dia tak sampai hati nak beritahu pasal hubungan kami. Yalah. Kami kan dah nak kahwin. Dah tentu dia berat hati nak lepaskan you.”
“Jadi, awak nak cakap… saya yang jadi orang ketiga?”
Tergerak-gerak rahang Ema. Dek terlalu marah, tubuhnya menggigil kuat. Pertama kali dia rasa dirinya dikhianati dengan begitu teruk. Tergamak Karl menipunya selama mereka berkawan.
“Itu memang kenyataan. You boleh dianggap sebagai orang ketiga dalam hubungan kami. Kami dah nak kahwin. Tujuan I panggil you ke sini, sebab nak bantu Karl. I kesiankan dia. Dia sampai sekarang tak berani nak beritahu you perkara sebenar.”
Terpejam rapat kedua mata Ema. Bibirnya digigit kuat.
“Ooo… satu lagi I nak sedarkan you. You dan dia memang tak sepadan. Karl anak kepada pemilik syarikat ni. Dan tak lama lagi dia bakal mewarisi syarikat besar ni. You rasa, diri you layak ke dengan dia.” Atas bawah Airin memandang penampilan Ema.
Ema tergelak kecil. Jelas ketawanya sengaja dibuat-buat. Barulah dia jelas tentang perubahan diri Karl selama setahun ini. Patutlah lelaki itu semakin sibuk. Rupa-rupanya, ada rahsia yang disembunyikan.
“Karl sekarang ada di London. You mesti tak tahu kan?”
YOU ARE READING
Masih Terus Berharap (Tajuk asal Berhenti Berharap)
RomanceReady stock kisah Karl dan Ema