• 06 •

88 13 1
                                    

Kinn memerhatikan gadis yang sedang terbaring di atas katil itu dengan saksama.Menyeluruhi inci wajahnya namun perahlah ingatannya bagaimana sekalipun,dia tidak pernah melihat gadis itu sebelum ini.Bukan sebarangan orang pula yang boleh memasuki anjung timur Menara Hitam lebih-lebih lagi ruangan paling peribadi yakni kamar permandiannya.

Dan tahu-tahu sahaja,para pembantu yang bertanggungjawab membersihkan ruangan itu menemui gadis tersebut di dalam tab mandi dalam keadaan luka-luka dan berantakan.

Belum Zeven,dia pasti sudah menghabisi gadis itu jika bukan kerana dia menyebutkan nama tersebut yang membuatkan Kinn tergamam. Berada dalam tab mandinya pasti membuatkan gadis tersebut melihat Empat Paku Jiwa yang tertanam di tubuhnya yang sehingga kini menjadi rahsia terbesar yang disembunyikan Kinn hatta daripada Zeven sekalipun.Itu sudah cukup untuk Kinn membunuhnya.

Empat Paku Jiwa bermakna dia sedang beada di ambang maut dan alasan tersebut pasti diambil oleh para musuh untuk menggulingkan dan membunuhnya tanpa ampun.

Ketika gadis tersebut menyebutkan nama Kinn yang sebenar dalam keadaan tidak ada sesiapa pun di Lembah Hantu yang mengetahuinya selain daripada ayah angkat yang membelanya iaitu ketua asal Klan Jinju.Bahkan dia sendiri tidak mahu mengingati nama itu dan tidak mahu dikenali dengannya.Nama yang ingin dibuang jauh-jauh dari ingatan.

Baginya nama Kinn hanya akan mengingatkannya semula kepada tragedi berdarah yang mengubah seluruh hidupnya hanya dalam sekelip mata puluhan tahun silam.

Rumah Agam Moryo.Walaupun samar-samar,dia masih ingat semuanya.Bau roti dan masakan yang menguap dalam udara pagi,kelibat para pembantu,helaian-helaian kain yang berkibaran di tiup angin pada ampaian di kawasan belakang serta kelibat ayahnya yang berangkat ke istana setiap pagi sebagai antara orang penting kerajaan
dan perlu menghadiri perjumpaan pagi dengan baginda maharaja.

Lalu berselang beberapa minit,dia akan dihantar oleh pembantu ke akademi diraja bagi mengikuti pembelajaran dengan anak -anak para bangsawan.Jauh menyenangkan daripada semua itu ialah dia dapat bertemu dengan sahabat-sahabat karibnya.Putera Jin,Puteri Ammara dan juga Shuo.Tiga orang rakan karib yang berkongsi kenaifan,kebodohan dan kenakalan waktu kecil.

Ketika petang,para putera diraja dan Shuo pula akan mendatangi pula Rumah Agam Moryo untuk mempelajari seni bela diri daripada ayahnya yang cukup terkenal sebagai seorang panglima perang handalan kerajaan sebelum melepaskan gelaran dan diamanahkan untuk menjawat jawatan Menteri Peperangan oleh baginda raja sendiri.

Namun,kemanisan zaman kanak-kanaknya tidak berlangsung lama.Pada suatu hari yang mendung,segerombolan tentera berpakaian perang mendatangi Rumah Agam Moryo dan tanpa sebarang kata mereka anak beranak dikumpulkan di halaman dan di hadapan matanya sendiri,para pembantu dibantai tanpa belas kasihan.Hari itu,rumah agam tersebut bermandi darah.

Sang ayah yang terbilang sebagai pejuang tangguh mempertahankan keluarganya sehingga ke titisan darah yang terakhir.Dalam keadaan huru-hara begitu,ayahnya hanya sempat mengatakan sepatah perkataan dengan mulut yang melelehkan darah.

Pergi!

Dalam keadaan berdarah dan terluka,seorang daripada pembantu rumah agam memanggulnya ke bahu dan berlari sekuat-kuatnya meninggalkan rumah agam yang riuh-rendah dengan bunyi dentingan pedang serta jerit pekik.Asap mengepul.Kuda-kuda perang meringkik.Bau hamis darah mencekik.

Para tentera mengejar mereka sehingga jauh ke dalam hutan di sebelah barat Rumah Agam Moryo.Dalam cungapnya,pembantu rumah agam tersebut menyembunyikannya di dalam lubang sebatang pokok besar yang buruk dan kemudiannya berlari pontang-panting ke arah yang bertentangan.Hanya beberapa ela,Kinn melihat sendiri bagaimana pembantu tersebut dipanah tepat di belakang .Tidak ada suara,Kinn menjerit dalam kesenyapan lalu akhirnya gelap merajai penglihatan.

NEVER ENDING STORY:BOOK OF DESTINYWhere stories live. Discover now