• 36 •

43 10 3
                                    

Mereka berdua duduk hampir bertemu bahu.Mengatakan segalanya,mengungkapkan semua perkataan dan rasa hati dalam kesenyapan yang merajai suasana.Sama-sama membungkam lidah dan membiarkan waktu hanyut bersama aliran sungai yang tenang di hadapan mereka.

Ada terlalu banyak yang ingin diperkatakan Jeneral Shuo kepada pemuda di sebelahnya itu.Tentang permohonan maafnya kerana tidak dapat melakukan apa-apa tatkala Rumah Agam Moryo dan seluruh keluarga tersebut menghadapi tuduhan yang berat nan tidak tertanggungkan.Tentang permohonan maafnya apabila sang sahabat terpaksa membesar dalam keadaan yang pastinya sangat sukar.Juga tentang kelewatannya menemui pemuda tersebut.

Andai sahaja Jeneral Shuo tidak mahu warga yang lalu-lalang menatap mereka kehairanan,pasti telah didakap tubuh berbahu tegap itu ke dalam pelukannya.Melepaskan rindu yang sekian lama terbuku di dalam kalbunya selama belasan tahun.Rindu akan sahabat lama yang baru hari itu ditemuinya setelah mencarinya di mana-mana.Tidak pernah satu hari pun berlalu tanpa Jeneral Shuo mengharapkan untuk bertemu semula dengan Kinn.

"Tergamakkan Kinn buat begitu!"

Kinn terdiam.Masih cuba mengumpulkan kekuatan untuk berhadapan dengan Jeneral Shuo dalam pertemuan yang sangat mengejutkan itu.Dia tidak tahu mengapa tebing sungai tersebut adalah tempat pertama yang ditujuinya sebaik sahaja tiba ke ibu kota dan sedang dalam perjalanan menuju ke Pagoda Teratai Putih untuk menemui Reii dan Panglima Aredian.

Dan dia juga sama sekali tidak menyangka ketika dia mengatakan hal yang sama kepada kedua-dua kanak-kanak yang sedang berkelahi itu rupanya didengari oleh Jeneral Shuo.Hendak melarikan diri tatkala namanya diseru dengan suara yang gementar,kakinya terasa dipaku ke permukaan tanah.Wajah pias pemuda yang menatapnya dengan mata berkaca itu membuatkan dia tergamam.

"Fasal ke 10 Undang-Undang Ketenteraman Awam.Larangan untuk berhubung dengan anasir pengkhianat yang mengugat ketenteraman negara.Shuo lupa?"

Senyap-senyap Jeneral Shuo menggenggam penumbuknya.Butir suara berat dan dalam yang kedengaran dari rengkung pemuda itu dicerna satu persatu.

"Sekurang-kurangnya Kinn boleh sahaja memperkenalkan diri dengan nama sebenar semasa kejadian tempoh hari,bukan? Emrys dari Keluarga Fu..Cihhhhh!!"

" Dan membiarkan seluruh warga Klan Teratai Putih dicop sebagai pengkhianat?"

Kinn menjawab pertanyaan tersebut dengan pertanyaan yang lain pula seraya tertawa kecil namun tawa pemuda itu membuatkan hati kecil Jeneral Shuo seperti dicengkam dengan kejap.

Hanya bersandarkan kepada tuduhan yang tidak masuk akal,seluruh keluarga Kinn dibantai habis-habisan membuatkan sahabatnya itu kehilangan segalanya dalam sekelip mata.Tidak dapat dia membayangkan bagaimana kanak-kanak berusia lapan tahun itu menjalani hidupnya sehingga tumbuh menjadi seorang pemuda seperti Kinn yang berada di hadapan matanya ketika itu.

Patutlah ketika dia melihat garisan senyuman pemuda yang memperkenalkan diri sebagai Emrys itu,Jeneral Shuo seperti pernah melihatnya tetapi dia tidak ingat siapa dan di mana.Malahan sempat pula dia merasakan jengkelnya yang meruap ke ubun-ubun melihat Kinn bersama Reii tempoh hari.

Rupa-rupanya Emrys adala Kinn.Sahabat yang dicarinya selama ini !

Senyap lagi dan akhirnya Jeneral Shuo memanggung kepalanya ke arah Kinn." Ke mana sebenarnya arah perbualan kita ini?"

Mendengarnya,Kinn tertawa lepas buat kali pertama dalam seumur hidupnya.Belasan tahun dia menyembunyikan Kinn  di sebalik topeng Tuan Ishiin yang digeruni sebagai penguasa Lembah Hantu dan Menara Hitam.Di situ,hari itu dia kembali merasakan dada dan nafas yang dihelanya  menjadi ringan.Meninggalkan sementara Tuan Ishiin jauh-jauh bagi menikmati keberadaan Jeneral Shuo di sebelahnya ketika itu.

"Aku datang untuk membawa Reii pulang."

Seperti direnjat,terdetik rasa yang amat janggal dalam hati Jeneral Shuo sebaik sahaja nama tersebut muncul di celah-celah perbualan mereka.

" Dia masih belum cukup kuat untuk menempuh perjalanan yang jauh.Aku rasa kau pun tahu akan hal tersebut."

Kinn menahan nafasnya buat seketika.Dia cukup sedar akan kata-kata Jeneral Shuo tetapi dia tidak mahu berlama-lama di ibu kota.Seperti yang dikatakannya sebentar tadi.Dia tidak mahu seluruh Klan Teratai Putih terpalit sama dengan sejarah hitam yang menimpa Rumah Agam Moryo kerana dia cukup tahu betapa dahsyatnya kesan tersebut.Jeneral Shuo punya keluarga,reputasi dan nama baik yang perlu dijaga.

Berjaya menyenyapkan Kharon agar tidak membuka mulut tentang identiti sebenarnya,tidak bermakna rahsia tersebut akan dapat disimpan buat selama-lamanya.Kharon,si bajingan tengik yang membuatkan Reii dan juga Panglima Aredian nyawa-nyawa ikan itu akhirnya menemui ajal di tangan Kinn sendiri.Puas hatinya melihat lelaki itu meregang nyawa dengan mata terbeliak ketika mata pisaunya memutuskan saluran pernafasan Kharon dengan hanya satu kelaran pada lehernya.

" Tidak ada jaminan yang dia akan selamat walau berada di Pagoda Teratai Putih sekalipun."

"Ada jaminankah pula yang dia akan selamat jika kau membawanya pulang?"

Kinn mendadak mati kata.Bilah pertuturan Jeneral Shuo bagaikan satu tamparan yang membangunkan kesedarannya.Walaupun hatinya memberontak tidak terima,namun dia juga sedar akan kebenaran kata-kata Jeneral Shuo.Di Menara Hitam,bukan hanya sekali wujud ancaman terhadap Reii tetapi banyak kali.Dan kali terakhir,ia benar-benar membuatkan Kinn hilang akal ketika tidak melihat gadis tersebut di mana-mana.

"Walaupun tiada jaminan,tapi aku akan memastikan yang dia tidak akan apa-apa."

Seperti seorang ibu meraikan anak tunggalnya yang baru sahaja menyelesaikan tempoh wajib tentera,Jeneral Shuo memesan semua lauk kegemaran Kinn yang diingatinya.Hampir penuh satu meja dan dengan wajah cerah dia menyinsing lengan bajunya untuk menyiat isi ayam lalu diletakkan ke dalam mangkuk nasi Kinn.Memandangi Kinn yang menyuap nasi kacang itu dengan tatapan mata bersinar dan senyum yang mengembang.

Kinn yang lebih banyak mendiamkan diri hanya mampu memandang wajah pemuda yang satu itu dengan perasaan yang bercampur-baur.Setelah belasan tahun tidak berjumpa,Jeneral Shuo masih juga seperti yang pernah dikenali Kinn lama dulu.Hanya tidak ada Putera Jin dan juga....

Ketika Kinn balas meletakkan isi ikan yang telah dibuang tulangnya ke dalam mangkuk nasi Jeneral Shuo,senyumnya surut lalu digantikan dengan helaan nafas.Giliran Kinn pula yang tersenyum kerana menyedari tabiat Jeneral Shuo yang masih sukar untuk menyisihkan tulang daripada hidangan ikan yang dipesannya khusus untuk Kinn sendiri.

"Bayangkan seorang jeneral yang terbilang sehingga ke Kerajaan Selatan masih sahaja tidak tahu bagaimana menyisihkan tulang ketika makan."

Kinn tanpa sedar mengulum senyum ketika Jeneral Shuo menyorong mangkuk nasinya ke arah Kinn.Meminta untuk Kinn menyisihkan tulang untuknya sambil menjongketkan kening dan mempamerkan senyum senget.

Nasi kacang hitam yang selalu dinikmati Jeneral Shuo terasa luar biasa enaknya ketika melihat Kinn menyuap setiap kali dia meletakkan lauk pauk kegemaran Kinn ke dalam mangkuk.

Bahkan ketika mereka berjalan bersebelahan menuju ke Pagoda Teratai Putih,Kinn tahu Jeneral Shuo sengaja melambat-lambatkan langkahnya dengan menyinggahi gerai-gerai di tepi jalan untuk sekadar bertanya itu ini.

Melayani Jeneral Shuo yang tampak riang dan jauh lebih bersemangat,Kinn menyembunyikan rasa hatinya dengan tawa kecil ataupun sekadar segaris senyuman yang tidak pun mencecah matanya.

Akan begini lagikah Jeneral Shuo sebaik sahaja segala-galanya terbongkar? Bahawa dia adalah Tuan Ishiin si ketua kepada Klan Jinju dan penguasa Lembah Hantu itu?

Atau,masihkah pemuda itu memandangi Kinn dengan senyuman ketika mendapat tahu tentang kebenaran akan kematian Kharon semasa berada dalam tahanan itu?

Kinn tidak berani membayangkan sekiranya hal itu berlaku pada masa aka datang kerana dia tahu persis hati Jeneral Shuo seperti apa.Dari dulu pemuda tersebut sangat membenci pengkhianatan tetapi kini itulah yang sedang dilakukan Kinn kepadanya.

●                ●                ●

NEVER ENDING STORY:BOOK OF DESTINYWhere stories live. Discover now