Dia telah ditawarkan untuk menyertai Alpha Team beberapa tahun lepas. Menurut Tuan Zain, hanya beberapa orang sahaja yang dipilih berdasarkan kriteria-kriteria tertentu. Malah, dia juga menegaskan bahawa tugasnya nanti mungkin akan sedikit berbeza dengan tugas-tugas yang dia telah lakukan di unit lamanya.
Satu perkara yang paling penting, dia tidak boleh mendedahkan kepada sesiapa sahaja di unit mana dia berada. Call sign Viper yang diwarisi sewaktu dia di dalam GGK masih lagi digunakan. Cuma, mereka beroperasi secara berlainan.
Dia masih ingat sewaktu dia dipanggil untuk berjumpa dengan Tuan Zain. Dia 'dijemput' oleh seseorang di dalam sebuah kereta yang bercermin gelap. Perbincangan hanyalah di tempat duduk belakang kereta sahaja, di sebuah lokasi rahsia.
"Viper..."
Tuan Zain memulakan perbualan mereka secara tidak formal, dengan senyuman mesra di bibir. Tiada tabik hormat ataupun protokol, tetapi perbualan itu bukanlah perbualan biasa.
Dia tidak pernah mengenali lelaki itu, namun lelaki berusia dalam separuh abad itu mempunyai semua maklumat mengenai dirinya, termasuklah perkara-perkara yang orang lain tidak tahu.
Tentang kehidupannya di Rumah Kasih Sakinah, tentang keluarganya, apa yang dia suka dan tidak suka, malah tentang sahabat baiknya, Leopard. Senang cerita, setiap data dan maklumat mengenainya sudah berada di dalam genggaman Tuan Zain. Ia seperti memberitahunya bahawa 'Aku tahu siapa kau, Viper. Join me or you die.'
Dia diyakinkan bahawa mereka juga sebahagian daripada pihak Kerajaan, cuma unit yang akan disertainya adalah unit rahsia yang lebih rahsia berbanding unit-unit rahsia yang sedia ada. Orang awam langsung tidak mengetahui tentang kewujudan mereka. Mereka ada identiti yang lain.
Viper sudah tertarik apabila diberitahu bahawa hanya yang terpilih sahaja yang akan dapat menyertai mereka. Semuanya adalah 'handpicked' oleh Tuan Zain.
Unit mereka adalah segala-galanya bagi Tuan Zain. Dia sanggup gadaikan nyawa orang lain untuk menyelamatkan tim mereka. Tetapi pada hari kejadian, dia tidak mampu untuk melihat sahaja sahabat-sahabat dari unit lain terkorban.
Dia ambil keputusan tersebut setelah mengambil kira semua faktor. Mereka tiada waktu untuk dibazirkan. Dia perlu berfikir dengan cepat dan bertindak dengan pantas. Satu saat yang dibazirkan akan menyebabkan banyak nyawa yang akan melayang.
Sudahnya, helikopter Nuri yang telah uzur dikorbankan. Yang peliknya, ia telah menjadi satu isu besar. Bukankah TUDM dah nak gantikan helikopter tersebut? Mengapa masih menjadikan ia satu isu yang besar, apabila tindakannya telah menyelamatkan nyawa anggota-anggota yang berada di tempat kejadian?
"Aku tak nak ada orang yang sengaja cari pasal," kata Tuan Zain, akhirnya bersetuju dengan rasional yang diberi oleh Viper.
"Dia orang nak gantung kau dari tugas buat sementara waktu."
"Tuan..."
Ia merupakan satu perkara yang tidak baik. Ia akan beri imej yang buruk pada rekodnya. Sebenarnya, dia pun tidak tahu bagaimana ia dikira di sini, kerana mereka hanya lakukan apa yang perlu berdasarkan arahan tertentu sahaja. Seterusnya, mereka lakukan latihan untuk memantapkan persiapan diri mereka untuk sentiasa bersedia.
"Kau didenda."
Viper sudah berdebar. Denda yang bagaimanakah untuk kesalahan seperti itu?
"Viper, aku terpaksa gantung kau dari tugas. Tapi... tak bermaksud kau tak boleh buat bom."
Tiba-tiba wajah Jed yang muram dan suram tadi sudah bertukar ceria. Itu jauh lebih baik daripada dibuang ke unit lain. Dia sayang Alpha. Di situ, dia rasa lebih bebas.
"Aku hantar kau untuk beri latihan. Ajar dia orang apa yang kau tahu. Kat sana nanti, kau nak letup apa-apa pun, ikut suka hati kaulah. Jangan kau ajar dia orang ilmu sesat sudah! Dan jangan menonjol sangat. Stay low."
Viper yang suka memanipulasi dan pandai membuat pelbagai jenis bahan letupan dari pelbagai perkara itu memang tidak dinafikan hebat skilnya. Dia pakar bahan letupan yang terbaik. Dia bukan sahaja pandai mematikan bom, Viper terlebih kreatif. Cuma kadang-kadang dia tak dapat mengawal perangai gila-gilanya itu.
"Nanti, pesan kat dia orang... bila dah pandai buat bom sendiri, jangan suka-suka hati nak letupkan harta kerajaan." Sinis sekali pesanan Tuan Zain kepada Jed.
Jed tersengih malu, terasa pedasnya sindiran Tuan Zain, biarpun dituturkan dalam nada yang sangat lembut.
"Baik, tuan!"
Perasaan lega yang tidak dapat digambarkan terbang dari dadanya bersama helaan nafas lega. Dia ingatkan dia akan diberi tindakan disiplin, balik ke unit atau tindakan lain yang lebih berat.
"Di samping itu, aku nak kau cari maklumat tentang kes ni." Tuan Zain kembali ke meja, ambil sebuah fail dan hulurkan kepadanya.
"Siasat tentang kematian kadet ni. Laporan mengatakan bahawa dia meninggal di dalam latihan. Tapi ada bukti yang mengatakan bahawa ia sangat suspicious. Ibu bapa mereka nak perkara ini disiasat betul-betul. Perkara ni pun dah jadi viral satu Malaysia. Aku nak kau buat senyap-senyap, jangan sampai ke pengetahuan sesiapa."
"Kes ni... bukan ke pihak polis yang uruskan?" Dia bertanya kerana kes itu telah menjadi kes polis dan dah diperkatakan serata Malaysia. Terpampang di segenap muka surat khabar dan media sosial. Kes tentang seorang pegawai kadet UPNM yang mati sewaktu latihan abseiling dan rappelling.
Sebelum ini, berlaku kes dera sehingga ada yang meninggal. Sekarang ini, kes kematian yang diragui pula. Viper hela nafas. Kematian sewaktu latihan bukanlah perkara luar biasa, namun kes ini menjadi viral pula dan ia telah memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuklah pihak UPNM sendiri.
"Pihak UPNM dan polis telah ditekan untuk menyelesaikan siasatan. Kadet tersebut merupakan anak seorang peguam. Dia dah ambil tindakan undang-undang terhadap universiti dan pihak kerajaan. ATM berasakan bahawa kes-kes seperti ini akan memberi imej yang buruk kepada universiti serta imej ATM sendiri." Terang Tuan Zain dengan panjang lebar.
"Kau ke sana, kau cari maklumat yang berkaitan. Mereka nak perkara ini dilakukan dalam diam."
"Yes, sir!"
YOU ARE READING
VIPER
ActionViper, iaitu salah seorang ahli Alpha Team telah digantung dari tugasnya kerana telah melanggar perintah di dalam satu operasi. Dia telah didenda dan dihantar untuk memberi latihan ketenteraan kepada perajurit dan kadet. Di sana, dia bertemu dengan...