"Kau buat apa sekarang ni, Viper? Tak ada operasi ke?" Sarjan Norman bertanya ketika mereka habis sesi latihan.
"Aku diminta beri latihan kat sini. Buatlah mana yang patut."
"Lama tak dengar khabar."
"Sibuk, bro."
"Viper, kau dah bersara nanti... bolehlah jadi jurulatih? Kau dah biasa beri latihan, mesti tak ada masalah."
"Boleh dipertimbangkan."
"Ke... kau nak jadi bodyguard? Lagi masyuk!"
Gaji seorang pengawal peribadi sememangnya lumayan, bersesuaian dengan risiko yang diambil.
"Lambat lagi Norm... aku nak kahwin dulu."
Hahaha! Mereka berdekah. Macam mana nak fikir untuk bersara, kalau hal yang satu itu belum tertunai?
"Kahwinlah cepat-cepat! Nak tunggu apa lagi?"
"Belum ada calon... macam mana nak kahwin?"
"Nak aku perkenalkan ke? Tak pun... kau boleh try Kapten Thalia tu..."
"Ish, kau ni Norm... macamlah dia nak kat orang macam aku ni? Pandang aku pun tidak."
"Ah, dia memang macam tu. Ramai peminatlah katakan. Tapi bukan semua yang berani nak dekat. Usyar dari jauh je dia orang tu. Ada berani?"
Viper ketawa kecil. Dia pun tak berani nak lawan. Tapi, sejak melihat gadis itu, dia asyik terbayangkan wajahnya. Ah, satu hal pulak!
"Norm, kau tak bosan ke buat kerja yang sama?" Sengaja Viper bertanya untuk menukar cerita.
"Bulan lepas aku pergi kursus untuk jurulatih. Jurulatih pun kena berkursus juga supaya kemahiran mantap. Sesekali kita yang dilatih, seronok juga. Jadi, tak adalah bosan sangat..." Sarjan Norman ketawa, sengaja lepas rasa seronok dapat berjumpa dengan teman lama.
Viper sambut tawa Norman. "Betul tu bro. Tukar angin sekali sekala."
"Azrai buat apa sekarang ni? Dengar cerita dia tak ada kat sini lagi?" Viper bertanya."Dia joined UPNM. Jadi jurulatih kat sana. Minggu depan rasanya dia start."
Cikgu Dollah mencelah, bertanya kepada Shahril. "Ril, kau kat ATMA dulu kan? Apa beza ATMA dan UPNM ni?"
"UPNM ni ATMA yang dah diupgrade. Dia orang buat degree."
"Ooo..." Cikgu Dollah bertanya lagi, "Kat sana, ada student biasa, kan? Dia orang kena buat latihan tentera juga, ke?"
"Kena, tapi yang senang-senang je. Tak macam kadet. Kalau masuk sana sebagai pegawai kadet, kena buat latihan tentera selepas habis kelas dan hujung minggu. Cuti semester pula... dia orang buatlah latihan kat mana-mana. Selalunya kat unit masing-masing. Ada yang pergi Lumut, kalau TLDM... macam tulah."
Sarjan Norman pula mencelah. "Untung pegawai kadet ni, dah grad, terus jadi pegawai. Lepas grad, dah jadi leftenan muda. Tak adalah nak tanggung azab 6 bulan."
"Azab 6 bulan tu belum habis lagi...dah masuk unit, masuk bilik bujang, sambung kat situ pulak!" Viper menokok tambah sambil geleng kepala. Teringat kisah lama.
"Yelah... kalau ada anak yang berminat nak masuk tentera, boleh apply sana. Ada macam-macam kursus," celah Sarjan Norman. "Eh, anak Zahari masuk UPNM, kan? Anak sulung dia?"
"Dengar cerita macam itulah. UPNM ni nak masuk macam uni awam juga, cuma banyak faedah dia. Makan minum percuma, pengajian percuma... cuma kena buat latihan tentera la. Apa-apa pun, kalau dah minat, mana-mana pun boleh."
"Kalau minat, tak ada masalah. Dapat jadi PALAPES. Kalau tak minat yang haru..."
Latihan ketenteraan adalah diwajibkan kepada semua pelajar UPNM, sama ada mereka kadet ataupun pelajar awam cuma pelajar awam tidak perlu melalui latihan yang menyeluruh seperti kadet. Pelajar awam yang berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringkat Sarjana Muda akan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Pasukan Simpanan selepas tamat latihan ketenteraan.
Cerita tentang pengalaman menjalani latihan sebagai rekrut tidak habis di situ. Masing-masing seronok berkongsi pengalaman pahit yang akhirnya dikenang sebagai kenangan paling manis. Berdekah-dekah mereka ketawa.
Sambil bercerita dan ketawa, sambil merokok. Viper bukan seorang perokok, jadi dia menjadi tukang sedut asap rokok sahaja. Walaupun menjadi secondary smoker adalah jauh lebih berbahaya dari merokok, dia tiada banyak pilihan. Itulah yang dinamakan bersosial.
Dia tak merokok kerana merokok mengingatkannya pada geng Bob dan Rizal di Rumah Kasih Sakinah. Entah mengapa, ia masih meninggalkan trauma kepadanya. Kerana mereka juga, dia telah kehilangan abang tersayang. Dia boleh hidup tanpa merokok.
"Teringat lagi waktu change parade, kena berlari ulang alik ke bilik untuk tukar baju dari nombor 1 ke 10. Memang haru! Bersepah semua! Baju nombor 1 dah tercampur dengan kasut nombor 4, dah pening semua! Hahaha!"
Viper ketawa sakan dengan cerita sahabat-sahabat.
"Eh, kau pernah kena bed show parade tak? Kalau cerita, mesti tak percaya!" kata Amir pula. "Roll call tu, aku rasa macam nightmare je dulu!"
Latihan yang kelihatan seperti satu bentuk pembulian itu direka untuk melatih mereka bergerak dengan cepat dan tangkas. Ia melingkungi beberapa perkara asa seperti change parade, show parade, battle order dan pelbagai lagi, yang jika difikir, sungguh tidak masuk akal.
"Kau ingat Stap Don? Huh, dengar bunyi Kawasaki dia pun dah meremang bulu tengkuk! Yang dia tahu, nak bantai orang je." Hasril bertanya.
"Waktu tu, memang geram je. Ikut kepala dia je nak buat apa. Sial betul!" Amir menambah.
"Aah... itu baru sikit. Waktu rekrut, tak teruk mana... bila masuk unit nanti, huh, azab! Tambah-tambah kalau lapor masuk infantri. Kalau unit KOR tak teruk sangat..." Sarjan Norman memberi pandangan peribadi tentang tahap-tahap buli yang perlu diterima.
"Menangis jugakla nak hadap sampai habis edah ragging. Tak habis-habis, bersambung-sambung. Terpaksa serah dirilah..." Viper menambah.
Semua pakat ketawa.
Teringat akan pengalamannya dahulu. Daripada orang awam, bertukar status menjadi tentera, dia terpaksa melalui pelbagai perubahan. Memang boleh menangis, tambah lagi apabila dah masuk basic commando. Rasa nak menyerah kalah pun ada, tapi dia segan dengan Kimi yang selalu memberinya semangat.
Kadang-kadang, dalam sembunyi dia menangis juga. Sebelum dapat beret hijau tu, entah berapa kali dia menitiskan air mata. Lama-kelamaan, dia dah biasa.
"Tu belum masuk komando lagi, kan?" Pertanyaan Amir dituju kepada Viper. "Latihan basic pun dah azab!"
YOU ARE READING
VIPER
ActionViper, iaitu salah seorang ahli Alpha Team telah digantung dari tugasnya kerana telah melanggar perintah di dalam satu operasi. Dia telah didenda dan dihantar untuk memberi latihan ketenteraan kepada perajurit dan kadet. Di sana, dia bertemu dengan...