Viper muncul di pekarangan PUSASDA dengan Aprilla RS660 berwarna merah dan hitam dengan helmet senada warna. Jaket kulit hitam melengkapkan gaya lelaki bertubuh sasa itu. Dia lihat beberapa pelatih lelaki dan juga wanita memberi perhatian kepadanya, atau mungkin lebih tepat kepada motosikal kuasa besar yang gagah dan seksi.
Ada yang secara terang-terangan menunjukkan rasa kagum dengan Aprilla tersebut, ada yang curi-curi pandang supaya tidak ketara. Dia biarkan sahaja mereka menikmati motosikal kesayangannya, satu-satunya harta yang dia ada. Ia bukanlah motosikal terbaik atau pun yang termahal di dunia, tetapi ia adalah motosikal kesayangannya. 'Awek' kesayangan yang dijaga rapi.
"Assalamualaikum!" Viper menegur dahulu sebaik sahaja melihat sengihan lebar pada wajah sahabat lamanya.
Dia jabat tangan yang dihulur oleh Sarjan Norman, salah seorang jurulatih yang terlibat. Sarjan Norman serta jurulatih-jurulatih lain sudah bersedia dengan pakaian PT masing-masing.
"Viper, selamat datang!" ucap Sarjan Norman bersama senyuman yang mesra dengan girang sekali.
Mereka telah lama kenal, jadi dia tidak menggunakan panggilan rasmi. "Terima kasih kerana sudi datang!" katanya dengan suara yang sangat ceria.
"Ya Allah... dah lama tak jumpa. Sihat?"
"Alhamdulillah, sihat. Kau Norm... sihat ke?"
"Sihat, Alhamdulillah."
"Macam mana kerja?"
"Macam biasalah aku... macam mana lagi? Kalau tak training kat sini, training tempat lain." Sarjan Norman ketawa senang.
Mereka beraku-engkau sahaja. Sarjan Norman yang sudah berkhimat berpuluh tahun dengan Angkatan Tentera Malaysia selesa dengan tugasnya sebagai jurulatih. Melatih anak-anak bangsa yang ingin berkhidmat di dalam bidang ketenteraan. Bukan semua yang datang berminat untuk menjadi askar, namun ia merupakan satu bidang yang akan memberikan satu pengalaman yang mungkin tidak akan didapati dari mana-mana tempat.
Viper diperkenalkan kepada jurulatih-jurulatih lain yang sudah teruja untuk mengenalinya. Mereka diberitahu bahawa lelaki itu merupakan jurulatih jemputan yang akan membantu mereka di dalam latihan untuk sesi kali ini. Sesi suai kenal yang tidak rasmi berlangsung, disulami dengan cerita-cerita lama.
"Disebabkan kehadiran seseorang yang sangat istimewa kali ini, akan terdapat satu sesi khas yang akan dikelolakan oleh beliau. Beliau lebih suka dipanggil Viper. Call sign beliau..."
Sarjan Norman memberi tumpuan kepada Viper dengan satu senyuman manis sebelum menyambung, "Beliau merupakan komando terlatih, yang juga merupakan explosive expert. Kami berbangga kerana dapat bersama-sama dengan seorang pakar bahan letupan pada kali ini. Viper, mohon beri tunjuk ajar!"
Viper beri senyuman manis kepada Sarjan Norman sebelum memberi sepatah dua kata. Di sebalik senyumannya, dia menggumam di dalam hati dengan rasa segan.
'Kalaulah mereka tahu bahawa dia sebenarnya didenda dan dipaksa untuk datang ke sini pada kali ini, tentu mereka akan hilang rasa hormat pada aku.'
Pujian sahabat-sahabat seperjuangan yang melambung tinggi dibalas dengan senyuman dalam kadar merendah diri sahaja. Baginya, tidak perlulah untuknya terlalu mendabik dada dengan skilnya kerana masih ramai lagi yang bagus. Malah, lebih bagus daripadanya dari pelbagai segi.
"Kami dah tak sabar nak mula ni..." celah salah seorang jurulatih.
"Semoga kita akan dapat bekerjasama!" Viper akhiri kata-kata aluannya. Dia sudah tidak sabar untuk berkongsi pengalaman.
Jurulatih-jurulatih dari Angkatan Tentera Malaysia mengangguk dengan senyuman yang melintang di wajah masing-masing. Semuanya nampak bersemangat dan sangat ramah. Dia juga seronok.
Sekali-sekala beraksi sebagai jurulatih merupakan perkara yang ditunggu-tunggu. Kerja senang! Melatih anggota-anggota baru dan lama dengan ilmu yang telah lama dipelajari dan dipraktikkan umpama satu percutian baginya, cuma apabila dikenakan tindakan disiplin begitu, dia tidak sedap hati.
Dia berharap Tuan Zain akan lakukan apa yang perlu untuk kekalkannya di dalam Alpha.
"Mari, kami brief jadual," kata Sarjan Norman, yang masih lagi menayang wajah gembira.
"Kali ini, kita adakan sedikit pembaharuan untuk sesi latihan. Selain dari latihan biasa, kami ingin dedahkan mereka dengan perkara lain. Ia antara usaha kami untuk menggalakkan penglibatan anak-anak muda untuk menyertai special force." Cikgu Dollah pula berkongsi berita. Dia pun sama-sama bersemangat untuk melatih anak bangsa.
"Ooo... bagus tu. Saya gembira jika saya dapat membantu.""Mestilah... jom!"
Ketika meronda sambil berbincang tentang pelbagai perkara, mereka lalu di hadapan sekumpulan anggota yang sedang menjalani latihan. Mereka kelihatan masih muda. Berambut pendek yang hampir botak.
Langkah Viper langsung terhenti. Jurulatih yang sedang bersemangat memberi arahan dipandang dengan penuh minat. Suaranya, bukan main! Kuat dan garang umpama singa betina. Lebih mengejutkan apabila dia lihat jurulatih wanita itu sewenang-wenangnya menendang dan menyepak setiap seorang pelatih di dalam latihan.
Sepakan kakinya padu. Tumbukannya juga bertenaga, mampu menumbangkan anggota lelaki. Bagaimana jika ada antara pelatih-pelatih tersebut yang berpangkat pegawai? Viper masih ralit memerhati setiap tingkah laku dan gerakan jurulatih wanita tersebut.
"Kapten Puteri Thalia Amanda."
Viper pandang Sarjan Norman yang bercakap dalam lagak seperti berbisik dengan penuh pertanyaan.
"Itu... jurulatih yang kau tengok tu, ialah Kapten Thalia. Cakap je Kapten Thalia, mesti semua orang kenal. Cantik. Sangat berwibawa dan berani. Anggota dan pegawai lelaki pun takut pada dia." Sengihan dengan satu makna mengakhiri ayat Sarjan Norman.
"Oh ya?"
Kepala Viper masih terpusing ke arah padang, di mana sekumpulan lelaki 'dibuli' oleh jurulatih perempuan. Setiap seorang daripada mereka hanya membiarkan sahaja tubuh mereka ditendang, disepak atau ditumbuk oleh jurulatih. Memang itu cara mereka. Jurulatih akan berkuasa di tempat latihan, tidak kira pangkat mereka.
"Bukan calang-calang tu... kita orang gelar dia Singa Betina," Sarjan Norman berbisik perlahan. "Kau jangan cakap kat dia dah!"
"Oh..."
"Kau hati-hati tau!" Sarjan Norman berpesan kepada Viper dalam berseloroh. "Singa jumpa Viper, aku tak tahu siapa yang akan menang!" Dia ketawa dengan gurauannya sendiri.
Cikgu Dollah yang mengiringinya juga tersenyum panjang.
Viper kerling sekilas ke arah Kapten Thalia. Bukan sembarangan perempuan rupanya. Si dia benar-benar kelihatan seperti seekor singa betina. Garang!
YOU ARE READING
VIPER
ActionViper, iaitu salah seorang ahli Alpha Team telah digantung dari tugasnya kerana telah melanggar perintah di dalam satu operasi. Dia telah didenda dan dihantar untuk memberi latihan ketenteraan kepada perajurit dan kadet. Di sana, dia bertemu dengan...