Dia hanya bertembung dengan Kapten Puteri Thalia Amanda atau nama singkatnya Kapten Thalia, sewaktu roll call dan latihan sahaja. Itu pun, hanya berselisih bahu. Tidak lebih dari itu.
Kapten Thalia bukanlah seorang yang ramah dan suka bersosial dengan semua orang. Jadi, dia tiada kesempatan untuk menegur. Malam ini merupakan malam minggu, mereka dibenarkan keluar. Mereka keluar makan bersama-sama di pekan yang berdekatan.
Ketika mereka sedang enak makan sambil berkumpul, dia dapat rasakan mata lelaki-lelaki yang berada di satu meja dengannya asyik memandang ke meja yang terletak selang satu meja dengan mereka. Memandangkan meja mereka tidak terlalu jauh, jadi dia dapat melihat dengan jelas apa yang sedang dilihat.
Rupa-rupanya Kapten Thalia sedang menjadi target mata-mata gatal lelaki. Ah, biasalah lelaki, apabila ternampak perempuan cantik. Tambah pula sesama mereka, anggota-anggota serta pegawai-pegawai lelaki akan saling berebut rekrut atau kadet baru untuk dijadikan pasangan. Inikan pula pegawai muda seperti gadis itu.
"Kau dah tackle dia ke belum?" tanya Hasril pada Bunyamin, sambil menyiku rakannya yang duduk di sebelahnya.
"In progress..." Lelaki berkulit cerah yang agak menarik rupa parasnya berkata dalam nada tidak yakin.
"Ramai peminat tu..." celah Amir pula.
"Dah cun macam tu... siapa tak nak? Aku pun nak..." kata Abang Osman, lalu ketawa besar.
"Bini kat rumah, nak letak mana?" balas Amir.
"Ada tiga kuota lagi!" jawab Abang Osman sambil mengekek nakal.
"Eleh... kat sini je berani. Sampai rumah, sayang... sayang... menikus teruk! Bini panggil suruh basuh berak anak pun, tak kata apa-apa dah! Yes, ma'am. Yes, ma'am." Amir mula membahan kawannya yang berani-berani takut.
"Beras kita beli..." balas Abang Osman.
Baru sahaja Amir ingin menokok tambah, tiba-tiba telefon Abang Osman berbunyi. Terus dia menjawab panggilan pada deringan pertama. Kawan-kawan semeja semua ketawa terbahak-bahak melihat aksi pantas Abang Osman menekan butang hijau telefon.
Nak tambah kuota konon! Beras kita beli konon! Mereka ketawa berdekah-dekah.Jed memerhati lagak teman-teman semeja, sesekali mata melirik ke arah kapten cantik yang sedang hangat menjadi topik perbualan malam itu.
"Ha! Bini suruh balik ke?" tanya Amir setelah Abang Osman mematikan panggilan.
Mereka ketawa berdekah-dekah lagi. Viper tersenyum, mengambil bahagian yang agak pasif dalam aktiviti mengusik mereka. Dia baru sahaja berkenalan dengan mereka semua. Dia lebih selesa memerhati dan melihat dahulu. Menokok tambah apabila perlu sahaja. Lagipun, dia ingat pesanan Tuan Zain.
"Viper, kau dah kahwin ke belum?" Tiba-tiba Abang Osman bertanya.
"Aku? Err... belum." Viper menjawab malu-malu.
Dia tidak mahu topik kahwin ditanya kepadanya. Sukar untuk dia menjawab. Dia antara sahabat-sahabat yang lambat menamatkan zaman bujang. Malah, dia tak pernah ada teman wanita. Tak tahu kenapa, tapi dia tak pernah berjaya.
Mungkin kerana sewaktu awal-awal pembabitannya di dalam bidang ketenteraan, dia agak pemalu dengan perempuan. Kemudian, dia menjadi terlalu sibuk dengan latihan dan urusan kerjanya. Peluang untuk mengayat perempuan pun sudah terbatas.
"Kau tak nak try tackle ke?"
"Err... siapa?"
"Siapa lagi? Kapten Thalia itulah..." Abang Osman kerling mata ke arah Kapten Puteri Thalia Amanda sebagai signal.
"Itu... Puteri bukan sebarang puteri. Itu, tuan puteri Anak Panglima Operasi Udara, Jeneral Tan Sri Emery Akram. Terhangat di pasaran! Siapa yang dapat, memang menang sabutlah..." kata Sarjan Norman sambil tersenyum penuh makna.
Kapten Thalia berada di hujung meja, agak jauh dari tempatnya duduk. Namun dia masih dapat melihat iras wajah gadis itu. Masih muda. Dan cantik. Berkulit cerah, hidung mancung yang terletak dengan pipi pauh dilayang. Satu definasi kecantikan yang klasik. Sememangnya dia memang cantik natural. Dengan rambut yang ditoncang kuda pun dia masih nampak cantik.
Rambut hitam lurus yang panjang melepasi bahu diikat tinggi. Cuma gadis itu kelihatan sedikit kasar orangnya, mungkin kerana sikapnya yang tegas, telah menenggelamkan semua sifat lemah lembut seorang wanita.
Ketika berada di dalam sesi latihan, gadis itu mengenakan tudung seperti yang dikehendaki. Di luar, dia melepaskan rambutnya. Diikat toncang, dengan bang yang hampir menutupi matanya. Lain sangat dari rupanya di dalam uniform JL.
Dari sisi, dia nampak alis kening wanita itu, apabila tangan Thalia menyelak rambut yang hampir memasuki mata ke tepi. Hitam pekat, dengan bentuk yang cantik sehingga ke hujung mata. Buat seketika, dia terpukau!
"Viper!"
Seseorang memanggil, membawanya ke ruang realiti. Beberapa saat tadi, dia langsung tidak mendengar suara gelak ketawa rakan-rakan jurulatih lain yang bersama dengannya.
"Kau dengar tak ni?"
"Err... kau cakap apa?"
"Kami tanya, kau nak join kami ke, esok malam?" Sarjan Norman menyatakan tujuan mereka.
"Oh, okey. Aku tak ada hal, inshaAllah boleh."
Kelopak mata dijatuhkan ke atas asam pedas claypot. Sudu dicapai, dicelup ke dalam kuah asam pedas lalu dibawa ke mulut. Dia harap, tiada sesiapa yang perasaan saat dia diserang 'love cupid' tadi.
Ah... takkanlah dia berminat. Jurang antara mereka, seluas jarak antara langit dan bumi. Perbezaan pangkat mereka pun sudah buat dia kurang selesa. Belum cerita apabila meletak gadis itu di sebelahnya yang berwarna coklat terbakar ini, memang ketara sangat beza dengan kulit putih mulus kapten muda itu. Wanita secantik itu, pasti sudah berpunya.
Kapten Puteri Thalia Amanda. Namanya sahaja beraura mahal. Orangnya pun, seperti jual mahal. Langsung dia tidak mengendahkan pandangan-pandangan mengusik lelaki-lelaki di situ.
"Single lagi." Tiba-tiba Hasril berbisik, antara serius dan seloroh. Matanya dikerdip nakal.
"Aku? Ya, aku masih single."
Viper membalas, dalam usaha untuk menyembunyikan rasa segan akibat ditangkap berkhayal kerana seorang perempuan. Rusuk lelakinya ini, masih bergetar. Jantungnya pun masih galak bergendang. Dia cuba tunjukkan rupa 'tidak berminat' dengan usikan mereka.
Sarjan Norman tersenyum penuh makna. "Cik Kapten kita tu... susah! Bukan mudah nak dapat. Banyak saingan. Sebab tu masih single."
Kali ini Sarjan Norman tersenyum lebih lama. Ketara sangat yang dia tahu apa yang sedang bermain di hati lelaki bujang seorang Viper.
"Ohh..."
"Jangan pandang lama-lama sangat." Sarjan Norman berbisik di telinga Viper dalam nada bergurau pula.
Terasa panas pula wajahnya. Dia sudah terkantoi! Viper hanya tersenyum sebagai jawapan. Dalam diam, matanya melirik ke hujung meja. Gadis itu hanya duduk, makan di mejanya dalam keadaan tenang, sedangkan hatinya di sini sedang berdentung-dentung berpalu tak tentu arah.
Dia memerhati dalam diam, umpama seekor viper yang sedang berehat, tetapi bersedia untuk menyerang pada bila-bila masa. Pada saat biasa, memang dia bising dan suka berjenaka. Namun, apabila tiba saat yang getir, dia akan bertindak. Tepat pada saatnya.
YOU ARE READING
VIPER
ActionViper, iaitu salah seorang ahli Alpha Team telah digantung dari tugasnya kerana telah melanggar perintah di dalam satu operasi. Dia telah didenda dan dihantar untuk memberi latihan ketenteraan kepada perajurit dan kadet. Di sana, dia bertemu dengan...