BAB 1

21.1K 867 27
                                    

“LUT, bonda bagi sampai hujung tahun ni. Kalau sampai hujung tahun ni kamu tak bawa balik menantu untuk ayah dan bonda, bonda akan masuk meminang dan aturkan pertunangan kamu dengan anak Datin Aina.” 

“Bonda..” Ayah yang berada di sebelah bondanya dikerling. Meminta bantuan si ayah untuk memujuk bonda agar tidak meneruskan dengan rancangan tersebut. Malangnya, Encik Hafiz Luqman hanya mendiamkan diri membiarkan si ibu dan si anak sahaja yang berbicara. Hafiy Lutfan menarik nafas dalam-dalam. Ini sudah masuk entah kali ke berapa dia diasak oleh bonda untuk mendirikan rumah tangga.

Kali ini Puan Mariah bukan hanya bercakap kosong. Dari nada suara pun Hafiy Lutfan dapat tahu yang bondanya tidak bergurau. Memang anak Datin Aina bakal dipinang jika dia tidak membawa calon menantu hujung tahun ini. Naik pusing kepala Hafiy Lutfan dibuatnya.

“Kenapa nak gesa Lut kahwin sangat ni? Lut muda lagi lah bonda.” Pelipisnya diurut. Mencuba nasib agar bondanya berkompromi. Dia tidak gemar untuk membincangkan tentang topik ini. Tidak suka sebenarnya apabila sering diasak sedemikian rupa.

“Muda apanya Lut? Kamu dah 28 tahun tau? Along kamu kahwin 25 tahun. Takkan kamu nak membujang sampai ke tua?” Umur hanya sekadar angka. Soal jodoh sudah lama Hafiy Lutfan serahkan pada Yang Maha Esa. Dia tidak mahu memaksa sesuatu yang bukan tertulis untuknya. Manusia merancang, tuhan juga merancang serta menentukan dan ketentuannya adalah yang sebaik-baiknya.

“Bonda fahamkan kenapa Lut susah nak kahwin? Bukan senang nak cari perempuan yang faham kerja Lut. Bonda pun dah lalui benda tu. Mesti bonda faham kan?” Bukan mudah untuk seorang wanita mendampingi lelaki sepertinya lagi-lagi dengan pekerjaannya yang selalu menyebabkan dia berada jauh daripada keluarga. Bukan semua wanita akan faham dengan kerjanya itu. Saat ini bonda lebih faham kerana bonda sendiri sudah mengalami perkara itu.

“Betul, memang tak mudah. Bonda pun tahu benda itu. Tapi, sampai bila? Sampai bila Lut nak bagi alasan yang sama? Kalau sampai ke sudah tak jumpa juga, sampai ke sudah juga kamu tak kahwin?”

Jeda.

Kalau itu yang tertulis buatnya bagaimana dia harus melawan takdir? Kalau bukan sekarang mungkin di kemudian hari. Dia yakin semuanya sudah tertulis untuknya. Cuma cepat atau lambat sahaja.

“Fine. Lut jujur dengan bonda. Lut sebenarnya tak berkenan dengan anak Datin Aina itu.” Hafiy Lutfan luahkan kebenaran itu. Jujur memang dia tidak menyukai wanita yang bondanya ingin jadikan menantu. Kalau diberi pilihan, wanita lain yang akan dia pilih daripada memilih anak Datin Aina menjadi isterinya. Tetapi saat ini, calon lain pun dia tak ada!

“Kalau kamu tak berkenan dengan anak Datin Aina tu, kamu bawa pilihan sendiri. Bonda tak kisah siapa pun.” Puan Mariah tidak kisah siapa pun pilihan anaknya itu. Kaya, miskin semua itu dia tidak kisah. Asalkan wanita itu mampu membahagiakan dan menjaga anak terunanya ini.

“Nantilah, Lut fikir-fikirkan.” Mana dia hendak cari calon menantu untuk bondanya itu? Bercinta pun dia tidak. Inikan pula soal menantu. Bukan dia tidak reti bercinta. Dia reti, cuma percintaannya yang lepas putus ditengah jalan. Tidak tahu siapa yang diputuskan dan siapa yang memutuskan.

Terngiang-ngiang perbualan telefon melalui video call itu dengan bondanya sebelum dia pergi menjalankan amanahnya pada negara. Keluhan berat yang mampu dia lepaskan saat ini. Fikirannya runsing memikirkan soal calon menantu untuk bonda tercinta. Mana mungkin dia dapat mencari calon dalam sekelip mata.

Fikirannya cuba dikosongkan sebaik kereta dipandu masuk ke kawasan kem. Kereta diparkir di kotak tempat letak kereta. Enjin keretanya dimatikan kemudian dia melangkah keluar dari perut kereta. Langkah kaki ditala menuju ke lapang sasar. Wajahnya saat itu kelihatan tegang.

Kapten Hafiy Lutfan | SUWhere stories live. Discover now