"AULIYA, kau dekat mana ni? Asal tak sampai lagi?" soal Haura dari balik panggilan. Hari ini, mereka berjanji untuk bertemu di majlis perkahwinan rakan lama mereka sewaktu di sekolah menengah dahulu iaitu Aisyah. Setelah mendapat keizinan daripada Zafran, Auliya akhirnya bersetuju untuk hadir ke majlis perkahwinan rakan lama mereka.
"Kau jangan cakap kau tak jadi datang. Kau dah janji dengan aku." Haura bersuara lagi apabila Auliya masih diam. Sebenarnya Auliya sedang fokus mencari tempat kosong di kawasan letak kereta. Tidak terlalu fokus dengan apa yang Haura soalkan pada dirinya.
"Aku tengah cari parking ni. Aku dah janji nak datangkan. Nanti aku dah sampai lobi, aku call kau semula," jawab Auliya dengan matanya masih meliar mencari kotak kosong di kawasan tempat letak kereta itu. Memandangkan majlis perkahwinan rakan mereka itu diadakan besar-besaran dan ramai jemputan, kawasan tempat letak kereta agak sesak.
Setelah beberapa minit mencari petak kosong tempat letak kereta, Auliya bernasib baik apabila ada sebuah kereta keluar dari kawasan tersebut. Lantas Auliya masuk dan parkir kereta miliknya di kotak kosong tersebut. Brek tangan ditarik. Auliya kemaskan tudungnya, wajahnya ditilik seketika melalui cermin sebelum melangkah keluar dari perut kereta.
Langkah Auliya tala menuju ke lobi hotel. Pintu ballroom terbuka luas masih menerima tetamu undangan. Kad jemputan dikeluarkan dan ditunjukkan kepada pekerja hotel yang bertugas di pintu masuk. Sebaik beg goodies diberikan kepada Auliya, senyuman dia lakarkan sebagai tanda terima kasih. Kemudian, Auliya melanjutkan langkahnya ke dalam ballroom. Matanya meliar mencari kelibat sahabatnya Haura.
Telefon bimbit dikeluarkan untuk membuat panggilan. Belum sempat dia berbuat demikian, satu suara menyapa dan mematikan perbuatannya itu.
"Auliya!" Tidak lain tidak bukan pemilik suara itu adalah Haura. Auliya palingkan wajah ke arah punca suara itu dan kelihatan Haura tersenyum sambil memandangnya. Gembira melihat Auliya hadir ke majlis perkahwinan rakan lama mereka itu. Mana tak Auliya kalau boleh nak elak majlis gathering sebegini. Tidak mahu terjumpa atau terserempak dengan si dia katanya.
"Dah, kau pergi ambil makanan. Meja kita dekat sana. Dah ada nama siap-siap. Aku nak jumpa kawan-kawan lama kita kejap." Auliya angguk akur pada Haura yang menunjuk ke arah meja mereka. Setelah itu, Auliya atur langkah ke meja hidangan. Haura pula, entah melencong ke mana. Pandailah kalau dah kebulur dia cari makan sendiri.
"Bro, lama tak nampak kau." Suara itu menyapa gegendang telinga Auliya tetapi langsung tidak diendahkan. Tidak mahu menyibuk dengan perbualan orang lain. Langkahnya dibawa ke meja hidangan. Perut pun dah berdangdut minta diisi.
"Biasalah kerja aku ni tak menentu," balas orang itu apabila ditegur sebaik melangkah masuk ke dalam ballroom. Senyuman dia ukirkan sambil matanya meliar ke segenap ruang. Mencari seseorang. Seseorang yang sudah lama ditunggu-tunggunya. Besar harapannya mereka dipertemukan di majlis ini.
"Dah. Pergilah ambil makanan. Layan diri tau." Dia hanya mengangguk kemudian langsung berlalu ke meja hidangan. Pinggan dicapai sebelum mencedok nasi ke dalam pinggan. Sedang dia ralit memilih lauk, matanya menangkap satu wajah yang amat ditunggu-tunggunya. Wanita itu berdiri di hadapannya. Mereka hanya dipisahkan oleh meja hidangan itu. Dia memandang wanita itu tanpa berkelip. Tidak sangka mereka dipertemukan di majlis ini walaupun memang itu yang diharapkan.
AULIYA ralit memilih lauk yang terhidang. Tidak mahu membazir, lauk hanya diambil ala kadar sahaja. Entah kenapa dia rasakan saat itu, ada mata yang sedang memerhatinya. Pada mulanya, dia tepis perasaan tersebut. Auliya melihat kiri dan kanan andai ada mata yang tertumpu padanya, tetapi tiada. Saat matanya memandang ke hadapan, jantung bagai mahu melucut jatuh. Terkejut melihat siapa yang berada di hadapannya saat ini.
YOU ARE READING
Kapten Hafiy Lutfan | SU
Romance𝐍𝐄𝐖 𝐕𝐄𝐑𝐒𝐈𝐎𝐍! [SLOW UPDATE] #1 𝓗𝓲𝓼 𝓢𝓮𝓻𝓲𝓮𝓼 𝙃𝙖𝙛𝙞𝙮 𝙇𝙪𝙩𝙛𝙖𝙣 | 𝘼𝙪𝙡𝙞𝙮𝙖 𝙇𝙪𝙛𝙮𝙖𝙖 Empat tahun Hafiy Lutfan memendam rasa kecewa. Empat tahun hidupnya diselubungi tanda tanya. Empat tahun Auliya Lufyaa pergi meninggalkan...