Perpustakaan di blok mawar di sebuah kampus swasta menyimpan kisah yang tidak banyak diketahui umum. Walaupun perpustakaan ini sibuk dengan pelajar yang mahu mencari bahan tugasan, masih ada kejadian pelik yang sukar dirungkai.
Terlalu banyak khabar angin dan gosip yang tersebar membuatkan perpustakaan ini hanya dikunjungi pada waktu tertentu. Ramai yang tidak tahan belajar lama di perpustakaan itu.
"Aku tak percayalah dengan cerita mengarut pasal perpustakaan tu. Sepanjang aku belajar kat situ tak pernah pun jadi benda pelik." Tiba-tiba Danny menyuarakan pendapatnya.
Pen ditangannya sengaja diketuk pada meja. Dia memandang rakan-rakannya yang lain.
"Tapi I dengar hari tu ada student histeria masa cari bahan. Kaki kena cuitlah, buku tiba-tiba jatuh. Paling seram I dengar ada student tengah ambil buku dekat rak, tiba-tiba nampak muka hantu kat lorong sebelah." Adila cuba menyangkal dakwaan Danny tadi.
Hampir meremang apabila dia menceritakan semula. Baginya, kalau berani sangat pun boleh menyusahkan diri sendiri. Apa yang paling penting, mulut jangan celupar.
Amy sibuk membalas whatsapp teman lelakinya. Haikal pula sibuk dengan game di telefonnya. Masing-masing hanya mendengar namun tidak fokus.
"Weh korang ni aku campak juga phone masing-masing tu. Kita tengah bercerita ni." Tegur Danny.
"Fine!" Amy menyimpan telefonnya. Kemudian dia memeluk tubuh.
"Bagi aku, benda takkan ada kalau tak jadi apa-apa. Mesti ada cerita yang sengaja ditutup selama ni. Kau tahulah Kampus ni kalau reputasi jatuh memang lingkuplah."
Pendapat Amy itu disokong Haikal. Dia pula membuka hujah dan memberi cadangan.
"Apa kata kita buktikan terus. Kita set masa, kita pergi library tu waktu malam. Kalau betul cerita yang kita dengar ni betul, kita tanya dia kenapa mengacau orang kat library ni."
Danny terdiam seketika lalu bersetuju. Nampaknya mereka semua memang berani dan ingin tahu kejadian misteri yang terjadi di perpustakaan itu.
Amy terpandangkan seorang pelajar yang baru lalu di hadapan mereka. Tiba-tiba dia mendapat akal.
"Aku ada idea. Korang nampak tak minah skema yang lalu tadi? "
Mereka saling berbalas pandang lalu tersenyum sendiri. Tanpa banyak kata mereka faham apa yang perlu dibuat.
"Amy, Dila... Malam ni kau kena bawa Laila tu. Haikal kau cuba dapatkan kunci pendua perpustakaan tu."
Masing-masing faham dengan arahan Danny. Mereka balik ke bilik untuk bersiap ke perpustakaan nanti.
Tepat Jam 10 malam, mereka berkumpul di hadapan perpustakaan itu. Hanya lampu di kaki lima yang menerangi pandangan mereka.
"Awak, kita takutlah." Laila berdiri semakin rapat di belakang Adila. Kaca mata yang terlorot itu dibetulkan.