Seorang lelaki berjalan menuju ke arah sebuah pintu. Tangannya dilekapkan pada sebuah skrin untuk diimbas. Cahaya hijau berkelip dan kemudian pintu di hadapannya terbuka.
Dia duduk dihadapan meja yang penuh dengan papan kekunci dan monitor. Butang berwarna merah dihidupkan. Skrin di hadapannya mula bercahaya. Dia menekan sesuatu pada papan kekunci. Tertulis 'connecting' pada skrin tersebut. Dia cuba menghubungi seseorang.
Muncul seorang lelaki dalam lingkungan 40 tahun dengan misai dan jambang pada wajahnya. Tanpa salam dia terus bertanyakan sesuatu.
"Kau dah dapat akses tu?"
"Sudah Tuan Leon. Segala data dah dikumpulkan. Sebentar lagi portal masa akan dihidupkan." Jawabnya sambil menghantar data-data yang diperlukan kepada Tuan Leon.
Tuan Leon tersenyum lebar. Kelihatan begitu suka dengan perkembangan rancangannya.
"Bagus Amsyar. Pastikan alat tu dapat menyedut assassin yang kita nak."
Amsyar mengangguk faham.
"Jangan risau Tuan Leon. Alat ni saya dah masukkan semua data-data tentang orang yang kita nak. Lepas dia disedut ke dalam portal masa, tubuhnya akan lumpuh seketika. Masa tu saya akan programkan nindanya supaya faham dengan bahasa kita dan ikut arahan kita." Terang Amsyar panjang lebar.
"Bagus. Laksanakan sekarang."
Skrin di hadapannya dimatikan. Amsyar segera menuju ke arah bilik sebelah. Terdapat sebuah gerbang berbentuk bulat agak besar di suatu sudut bilik. Dia menekan sebuah butang lalu muncul cahaya hologram berwarna biru. Segala maklumat telah dimasukkan. Butang besar berwarna hijau ditekan. Kelihatan cahaya dan arus elektrik mengelilingi gerbang tersebut.
Portal masa telah dihidupkan. Kelihatan cahaya berwarna biru gelap memancar menerangi bilik tersebut.
---
Tahun 1241
Seorang lelaki berpakaian hitam dengan wajahnya ditutup dengan kain sedang bersembunyi di belakang batu besar. Terik matahari langsung tak menghalang dia dari menantikan musuh.
Dari bawah bukit kelihatan Raja Kazar dijulang oleh hamba-hambanya sedang menuju ke arah lembah merah. Kawasan yang dikatakan sering berlaku pertumpahan darah. Kawasan yang selalu dijadikan tempat berperang dan banyaknya binatang buas serta berbisa berkeliaran.
Orang kanannya datang menghadap membawa berita penting.
"Ada apa Dewangga."
"Kita berehat di sini dulu. Di depan sana sedang berlaku perang antara kerajaan Kumayan dengan kerajaan kerinchi."
Raja Kazar berdiam seketika. Memikirkan keputusan yang harus dia lakukan.
Sedang mereka sibuk membuat keputusan, satu anak panah terpacak pada dada salah seorang hamba mereka.