__________________
"Naz, stop it."
Madam Junita berundur ke belakang. Dirinya sudah berada di luar balkoni apartmentnya. Jelas riak ketakutan terpacar pada wajahnya.
"Kalau Madam tak gagalkan saya dalam subjek ni, saya tak perlu buat macam ni." Semakin kuat genggamannya memegang penukul besi.
"Saya akan ubah result awak. Tolong jangan buat macam ni Naz." Rayu Madam Junita.
Kini dia betul-betul berada pada hujung balkoni. Dia tersandar pada besi pagar di balkoninya.
"Dah terlambatlah sial!" Penukul besi tersebut dihayun pada cermin pintu sliding di belakangnya
Berderai kaca tersebut. Semakin kuat tangisan Madam Junita kerana ketakutan. Dari serpihan kaca tersebut, Nazrul melihat pantulan dirinya sedang tersenyum. Tiba-tiba dia terdengar suara berbisik ditelinganya.
Bunuh dia. Bunuh dia. Bunuh dia.
Nazrul mengetap giginya. Penukul besi dihayun tinggi lalu dihentak dengan kuat.
BAM!
Guruh berdentum dan kilat memancar. Cahayanya membuatkan Nazrul tersedar. Nafasnya tercungap-cungap. Dia membetulkan dirinya dalam keadaan duduk. Matanya meliar sekeliling. Dia bukan berada di sebuah balkoni dan memegang penukul besi. Dia berada di biliknya. Guruh berdentum lagi dan angin bertiup kencang memberi tanda bakal turun hujan lebat.
Nazrul menyapu peluh didahinya. Dia hanya mampu istigfar setelah sedar yang dia bermimpi. Dia melihat jam pada telefon androidnya. Hampir pukul tiga pagi. Dia bangun menuju ke tandas untuk mencuci muka. Tugas Madam Junita masih lagi perlu disiapkan.
Dia membasuh muka berulang kali lalu mengelapnya dengan tuala kecil. Kemudian dia memandang dirinya seketika pada cermin. Nazrul mengeluh. Tiba-tiba terdetik di hatinya. Hidupnya tak ubah seperti pantulan dirinya di dalam cermin. Seperti penjara. Di rumah dengan peraturannya. Di kampus dengan macam-macam halnya.
"Hidup ni memang tak adil kan." Sekali lagi dia mengeluh sebelum beredar.
Dia tak menyedari bahawa pantulan dirinya pada cermin langsung tak berganjak. Pantulan dirinya tersenyum sinis.
"Kerana itu adanya pembalasan dan hukuman."
Imej pantulan tersebut menjawab sebelum menghilang.
-----
Dari bawah tangga bangunan induk kelihatan tiga orang lelaki dalam lingkungan umur 20-an sedang bersembunyi. Masing-masing menantikan seseorang menuruni tangga tersebut dan orang itu adalah Nazrul.
Ketika mereka melihat Nazrul sendirian menuruni anak tangga, salah seorang dari mereka menghantar mesej melalui aplikasi whatsapp. Sebaik saja mesej dihantar, seseorang dari tingkat atas mengangkat sebuah baldi berisi air lalu menuang air tersebut ke bawah dan betul-betul ke arah Nazrul.