Bab 1

6.1K 56 1
                                    

Tangan menyelak perlahan album perkahwinan sepuluh tahun yang lepas. Tak sangka, bos yang menjengkelkan itulah tuan empunya rusuk kiri ini. Aryana senyum sendiri. Pejam celik, pejam celik dah sepuluh tahun rupa-rupanya dia melayari bahtera perkahwinan ini dengan Ilham.

Aryana bangun apabila mendengar bunyi enjin kereta yang memasuki kawasan garaj rumah. Pintu rumah dibuka dan suami yang baru pulang dari kerja disambut dengan senyuman manis terukir di bibir.

"Lambatnya abang balik hari ni," sapa Aryana. Huluran tangan Ilham disambut dan disalam seperti biasa.

Briefcase Ilham beralih tangan.

"Banyak kerjalah Yana," jawab Ilham. Dia menuju ke sofa di tengah ruang tamu rumah semi D dua tingkat itu. Punggung dilabuhkan dan dia bersandar malas di situ. Mata perlahan-lahan tertutup.

"Abang, kut ye pun penat.... boleh tak stoking abang tu jangan campak merata," tegur Aryana akan perbuatan Ilham yang selamba mencampakkan stoking yang baru ditanggal ke bawah meja kopi.

Ilham tidak peduli dengan bebelan Aryana itu. Matanya masih terkatup rapat.

"Abang, dengar tak apa yang Yana cakap ni?"

Suara Aryana yang tinggi sedikit itu membuatkan mata yang hampir terlena terbuka. Ilham pandang wajah masam mencuka Aryana itu.

"Nanti Yana tolonglah kemaskan. Abang penat sangat ni," tutur Ilham sengaja melemahkan nada suara sebelum menutup matanya semula.

Aryana mencebik. Dia menggeleng perlahan. "Abang, minggu lepas abang dah janji.... kan yang abang takkan campak-campak stoking abang macam ni. Baik abang kutip balik."

Aryana geram. Sudah sepuluh tahun Ilham diajar supaya menyimpan stoking yang dipakai di dalam kasut tetapi, tetap juga tak faham-faham.

"Yana.... abang penatlah," keluar Ilham apabila Aryana terus mendesak.

"Abang kutip balik. Abang dah janji nak jadi lebih berdisiplin, kan? Tu sebab perangai Adib pun macam abang jugak. Balik sekolah main campak aja stoking merata-rata. Ni sebab kepimpinan melalui teladan la ni," bebel Aryana.

"Ngeee.... Yana ni. Abang balik aja mulalah membebel," getus Ilham.

"Yana takkan membebel kalau abang tak main campak-campak stoking macam ni," selar Aryana.

"Ngeee! Yelah. Yes ma'am! Abang kutip," balas Ilham. Bingkas dia bangun dan mengutip semula stoking yang dicampak ke bawah meja kopi dan diletakkan ke dalam kasut.

Aryana tergelak kecil. Beginilah dia dengan Ilham saban hari. Ada sahaja perkara-perkara kecil yang sering ditelagahkan. Itu semua mewarnakan lagi rumah tangga mereka. Dalam tempoh sepuluh tahun menjadi suami isteri, belum lagilah terjadi periuk belanga melayang di dalam rumah. Mereka suka gaduh-gaduh manja ni.

"Gelak pulak dia. Budak-budak mana? Senyap aja?" tanya Ilham.

Matanya melilau mencari kelibat Adib dan Adalia. Kebiasaannya waktu begini Adib gemar baring-baring di atas sofa sambil bermain dengan iPad sementara menunggu dia pulang. Hari ini bayang anak bujangnya itu tiada pula. Rumah pun senyap sunyi.

"Adib dah tidur. Penat sangat kut main selepas pulang sekolah agama tadi. Baby pun dah selamat dah tidur," beritahu Aryana. Punggung dilabuhkan bersebelahan suaminya.

"Awalnya Adib tidur. Homework dah siap ke?" tanya Ilham.

Aryana menggeleng. "Biarlah, abang. Esok, kan hari Sabtu. Cuti."

Ilham memang begitu. Sporting-sporting abah Adib ni, bab pelajaran memang tak boleh nak buat main-main.

Ilham terangguk-angguk. "Oh.... Yana tak tidur lagi?"

"Tunggu abanglah. Macam mana nak tidur?" balas Aryana. Mata terarah pada layar skrin kaca LCD 54 inci itu.

"Ye ke? Ke.... Tak boleh tidur kalau abang tak ada kat sebelah?" giat Ilham. Lengan Aryana disendeng-sendeng dengan lengannya.

"Ngeee.... abang ni. Masamlah! Kut ye pun nak romantik-romantik, pergilah mandi dulu." Aryana menggetus geram apabila dia terpaksa ke hujung sofa. Terkepit dia dek kerana Ilham yang memang sengaja mengada-ada mengengsot sedikit demi sedikit untuk mendekati dia.

Ilham mencebik. Dia menjauh sedikit.

"Eleh.... dulu masa mula-mula kahwin abang kentut pun bau wangi. Sekarang ni baru cium bau peluh abang pun dah kata busuk masam," tuturnya rendah. Merajuklah kononnya tu....

Aryana tergelak kecil.

"Ngeee... jangan nak mengada-ada boleh? Pergilah mandi. Gaya abang ni Yana tahu mesti belum Isyak lagi, kan? Pergilah cepat, abang. Nanti boleh makan. Makan lewat-lewat tak baik untuk kesihatan," bebel Aryana. Tangannya menolak-menolak badan Ilham.

"Yelah.... yelah. Yes, ma'am!" Balas Ilham, geram.

Sudah sepuluh tahun Aryana jadi 'bos' di dalam rumah ni. Apa aja yang Aryana cakap, dia terpaksa menurut dan berkata.... yes, ma'am. Malas-malas Ilham bangun dan menuju ke tangga untuk naik ke tingkat atas.

Melihat langkah malas Ilham itu membuatkan Aryana ketawa sebelum dia juga bangun dan menuju ke dapur untuk memanaskan lauk makan malam suaminya itu.

Yes Maam Where stories live. Discover now