Part 15

1K 17 1
                                    

Sudah dua hari Aryana mogok tak mahu masak. Dia masih geram pada Ilham yang sanggup melayan berborak dengan Qistina di dalam telefon hari itu. Bukan main mesra butir bicara mereka berdua. Lagi bertambah bengang adalah apabila Qistina seperti tidak bersalah sahaja bercakap dengan Ilham menggunakan telefon bimbit miliknya.

"Assalamualaikum."

Aryana sengaja buat-buat tidak dengar tetapi, salam Ilham itu tetap dia jawab dalam hati. Kalau tidak jawab salam karang berdosa pulak. Tanpa memperdulikan Ilham yang menghampirinya, Aryana melayan Adib dan Adalia makan piza yang baru dihantar oleh budak penghantar piza tadi.

Berkerut kening Ilham melihat menu makan malam mereka sekeluarga hari ini adalah piza lagi. Dia melabuhkan punggung ke atas sofa. Tali leher dilonggarkan.

"Malam ni makan piza aja je?" soal Ilham. Tangannya mencapai sekeping piza beef pepperoni dari dalam kotak.

"Mummy kata mummy tak ada mood nak masak. Jadi, kita makan pizza ajalah."

Mata Aryana membuntang mendengar jawapan Adib.

Adib mengangkat bahunya. Dia tersengih dengan mulutnya yang penuh dengan pizza.

Ngeee..... Adib nikan! Tak boleh nak diajak bersekongkol betul. Tadi beria-ia berjanji, kalau abah tanya kenapa makan piza lagi, kena jawab Adib yang nak makan piza. Bukan jawab sebab mummy tak ada mood nak masak. Kan ke dah nampak sangat sekarang ni yang mummy tengah tunjuk perasaan! Ngomel Aryana dalam hati.

Aryana angkat punggung apabila melihat Ilham melirik ke arahnya. Dia menuju ke dapur.

"Yana ni kenapa? Tak sihat?" Ilham bertanya, lembut. Dia menunduk sedikit mencari wajah mencuka Aryana.

Aryana mengangkat wajahnya sedikit untuk melihat muka Ilham. Lemahlah pulak bila mendengar suara lembut Ilham tu. Kalau boleh, tengah angin tak berapa nak betul ni..... Aryana malas nak bercakap pasal Qistina. Boleh mencetuskan 'perang dunia ketiga' aja nanti di dalam rumah ni. Setakat tunjuk perasaan, rasanya okey aja.

"Yana tak sihat ke?" Ilham menyoal penuh prihatin apabila Aryana masih tidak menunjukkan respons.

Aryana menepis perlahan belakang telapak tangan Ilham yang baru mendarat ke dahinya. Dia beralih ke Kabinet dapur lalu berpura-pura mengelap kabinet yang sudah sedia berkilat itu.

"Yana ni kenapa? Abang tengok sejak balik dari majlis Puan Seri Mariam hari tu, muka moody semacam aja. Bila abang tanya kenapa, Yana diam!" Nada suara Ilham mula meninggi. Suaranya sedikit tegas apabila Aryana masih lagi bersikap dingin.

Sudah dua hari Aryana begini. Hati suami mana yang tak dipagut risau apabila si isteri yang selalunya banyak mulut tiba-tiba menjadi pendiam pula.

Aryana tersentak apabila suara Ilham naik begitu. Serta-merta tangannya berhenti mengelap kabinet dapur. Baru dia hendak menjawab, dia lihat Adib dengan selamba masuk ke dapur. Aryana kunci mulut. Sejak dari dulu lagi, jika ada perselisihan pendapat atau ada yang tidak puas hati dalam rumah tangga, Aryana dan Ilham tidak pernah sama sekali membahaskan di depan anak-anak. Aryana tidak mahu emosi kanak-kanak sebesar Adib dan Adalia terganggu apabila melihat ibu dan ayah mereka bertengkar.

Aryana dan Ilham sama-sama melihat Adib membasuh tangan di singki selepas makan.

"Mummy, dah kenyang. Nak main game boleh?" Adib meminta kebenaran.

Aryana menjeling Ilham di hadapannya. Kepalanya mengangguk.

"Okey. Bawak Baby naik atas sekali," tutur Aryana dengan lembut.

"Yes, mummy!" Adib tabik hormat sebelum meninggalkan Aryana dan Ilham.

Sebaik sahaja melihat Adib dan Adalia sudah naik ke tingkat atas, Ilham dekatkan dirinya dengan Aryana. Kedua-dua belah bahu Aryana dipegang.

"Cakap dengan abang, apa yang buat Yana emosi dua hari ni sampai mogok tak nak masak? Tau tak, abang jemu makan piza hari-hari." Suara Ilham mengendur.

Aryana berdecit. Ilham memang bijak mencantas rasa kurang senang yang sedang bercambah dalam hatinya. "Tak ada apa-apalah."

Aryana menyambung kembali mengelap kabinet dapur.

"See!" Tidak semena-mena suara Ilham naik semula. Dia pening. "Tak ada apa-apa. Tapi...."

Tangan Aryana berhenti dari terus berpura-pura mengelap kabinet. Dia berpaling ke arah Ilham. "Abang tu la."

"Abang pulak? Apa salah abang?" balas Ilham yang tidak faham jika angin tak baik Aryana ini ada kena-mengena dengan dia. Bila masa pula dia melakukan kesalahan?

"Emmm...." Aryana teragak-agak mahu meluahkannya tapi apabila melihat muka kerek Ilham yang 'bajet' macam tak bersalah itu buatkan dia bersemangat nak menjawab. "Abang tu la. Bercakap dengan Qistina bukan main mesra lagi."

Akhirnya terluah jua apa yang terbuku di hati sejak dua hari lepas. Aryana berpeluk tubuh. Dia curi-curi pandang Ilham. Ya Allah! Geramnya! Ilham boleh buat muka blur!

Ilham garu kepala yang tidak gatal. "La.... bukan ke masa abang bercakap dengan Kiki tu Yana ada sekali? Takkan itu pun nak cemburu?"

Ilham rasakan cemburu Aryana itu adalah sesuatu yang tidak relevan. Bukannya dia bermanja-manja dengan Qistina di belakang Aryana. Sah-sah semasa dia berborak dengan Qistina di telefon hari itu Aryana pun ada sekali memandangkan telefon yang digunakan oleh Qistina waktu itu adalah telefon bimbit milik Aryana.

"Abang, mana-mana isteri pun akan cemburu tau bila tengok bukan main manja lagi perempuan macam Qistina tu bercakap dengan suami mereka," selar Aryana pula.

"Kan ke masa tu Yana pun ada sekali dengan Kiki. Kenapa Yana tak sound aja dia supaya jangan bercakap dengan abang macam tu?" sahut Ilham, mudah.

Orang perempuan suka merumitkan keadaan. Kalau sudah tidak suka, tegur sahajalah Qistina waktu itu juga. Habis cerita. Tak perlulah mogok masak sampai dua hari baru nak luah perasaan tak puas hati tu.

"Macam mana nak sound. Yana dekat rumah dia," Aryana menggetus geram.

"Yana ni cemburu sangatlah. Abang dengan Kiki tu kawan lama. Takkan nak bersembang dengan kawan lama pun tak boleh." Ilham bosan mahu melayan sikap cemburu melampau Aryana itu.

Tubir mata Aryana terasa panas. Dia mengekang air mata sedaya mungkin agar ia tidal mengalir di hadapan Ilham.

"Kalau abang tahu Yana ni jenis cepat cemburu, abang patut lebih sensitif dengan perasaan Yana. Yana tahulah Yana tak sehebat dia. Tapi, Yana isteri abang. Yana cemburu sebab Yana sayang abang." Lirih Aryana bersuara.

Ilham terdiam. Dia kaget apabila melihat manik halus mula mengalir dari tubir mata Aryana. Inilah perempuan. Semedang menggunakan taktik air mata untuk melemahkan jiwa lelakinya.

Ilham memeluk Aryana. Bahu Aryana ditepuk-tepuk perlahan. "Yelah, Yelah. Kalau abang salah sebab layan Kiki melebih-lebih sampai buat Yana 'sentap'.... abang minta maaf. Lain kali abang tak layan dah Kiki tu."

Aryana menolak perlahan dada bidang Ilham. Dia mencemik. "Yelah abang tu. Tak layan konon."

Kening Ilham terangkat sebelah.

"Lagi satu, hapak sangat ke bau badan abang dulu sampai Qistina panggil abang Buchuk? Nak termuntah tahu tak!" 'Sedas' Aryana bagi Ilham.

"Yana.... ngeee.... Yana ni kalau bercakap ikut sedap mulut Yana aja. Dahlah. Tak ada mood nak pujuk Yana. Abang balik penat-penat ingat dapatlah makan masakan isteri yang sedap-sedap. Abang nak keluar. Duduk rumah ni pun berserabut kepala asyik dengar Yana membebel aja." Hambur Ilham satu nafas seraya meninggalkan Aryana termangu-mangu seorang diri di dapur.

"Abang!" Aryana menjerit di muka pintu apabila melihat kereta Ilham sudah meluncur laju meninggalkan parkir rumah.

Aryana mengeluh lemah. Ingat nak test aja kesabaran Ilham tadi. Nak tengok semangat Ilham memujuk sama ke tidak macam masa bercinta dulu. Rupa-rupanya nan hado!

Yes Maam Where stories live. Discover now