"Eh? Mana Kiki? Kenapa kau tak ajak dia naik atas sekali?" tanya Ilham sebaik sahaja melihat Nadim seorang sahaja yang terpacul di muka pintu pejabatnya.
Dokumen-dokumen untuk mesyuarat sekejap lagi dimasukkan ke dalam fail sebelum dia menghadap Nadim yang sudah mengambil tempat di kerusi bertentangan dengannya.
"Dah balik," jawab Nadim, mendatar. Sebatang pen ditarik keluar dari dalam bekasnya. Dia pusing-pusing pen tersebut sambil kepala ligat berfikir apa benda yang membuatkan Qistina tidak puas hati sangat dengannya sampai bertahun-tahun.
"Aku dah tahu dah perempuan macam mana yang sesuai dengan kau, Dim...." tutur Ilham sambil tersenyum senget pada Nadim yang kelihatan kusut.
Tangan Nadim berhenti dari terus memusingkan pen di tangan. Dia menggeleng laju. "Kiki? Huh.... tak mahu aku. Kalau aku kahwin dengan dia, hidup aku lebih sengsara dari kau.... Am."
Nadim menunjukkan rasa takut yang amat sangat jika apa yang berada dalam kepala Ilham itu benar-benar berlaku dalam hidupnya.
"Kau jangan cakap, Dim.... biasanya kalau mula-mula benci lama-lama boleh bertukar sayang kau tahu," giat Ilham. Selama ini asyik Nadim sahaja yang mem'bahan'kannya. Hari ini dia dapat peluang. Memang dia mahu balas habis-habisan!
"Kau pun dah terjebak dengan Yana jugak ke ni? Pengaruh drama Akasia sangat...." sahut Nadim, mendatar.
"Tapi.... kenapa ye Dim lepas aja kau pergi oversea dia terus macam anti dengan kau? Aku sampai sekarang tertanya-tanya?" soal Ilham, mula serius. Dia ingin tahu jika ada benda-benda lain yang pernah terjadi di antara Nadim dan Qistina tanpa pengetahuannya.
"Itulah yang aku pelik sangat tu. Aku sampai sekarang memang tak faham apa masalah dia dengan aku," balas Nadim.
"Ke.... dia pernah syok dekat kau tapi kau tak layan? 'Sentap' la tu kena reject!" Ilham membuat andaian.
Dahi Nadim berkerut memikirkan kebenaran pada andaian Ilham itu. Perlahan kepala menggeleng menidakkan andaian itu. "Tak mungkinlah. Kau pun tahu, kan aku ni bukan termasuk dalam senarai lelaki idaman dia. Sah-sah kau yang pernah reject dia pun elok aja dia layan kau. Baik aja....."
"Eh, betul jugak kata kau tu. Boleh sakit kepala kalau fikir ni," tutur Ilham sebelum bangun dari duduk. Fail mesyuarat dicapai.
"Eh..... kau nak ke mana ni?" Nadim menegur apabila melihat Ilham sudah bersiap-siap mahu keluar dari pejabat.
"Aku nak masuk meetinglah. Abah aku bukan macam papa kau yang tak kisah bila masa kau nak datang kerja. Kalau kau nak terus lepak sini, kau lepaklah. Kalau kau nak apa-apa, minta dekat Kak Midah. Tak pun kau arah aja Shuib." Pesan Ilham sebelum meninggalkan Nadim seorang diri di dalam pejabatnya.
Nadim berdecit. Ilham pun dah pergi mesyuarat. Apa dia nak buat dekat sini lagi? Perlahan dia mengangkat punggung. Balik pejabat sendirilah!
YOU ARE READING
Yes Maam
General FictionAryana bukan sengaja nak jadi queen control. Salahkah dia sebagai isteri berhati-hati dalam menjaga suami? Walaupun Ilham sudah nak masuk 'four series', saham lelaki itu masih lagi tinggi di mata gadis-gadis. Ah, queen control pun queen control la...