Bab 3

316 29 1
                                    

BULAN dan bintang menyinari kegelapan malam. Elnara menebarkan pandangan ke dada langit malam. Sentiasa kelihatan indah di matanya. Malamnya ditemani dengan pemandangan kota Milan.

Ya, dia di Itali. Sudah masuk hari ketiga, dia bersendirian di sini. Bersendirian? Sebenarnya, sejak dahulu lagi, dia sentiasa bersendirian. Tujuan utamanya di sini untuk mencari secebis ketenangan.

Namun, hati dan fikiran masih terpasak di negara sana. Sewaktu dia memberitahu Luthman bahawa dia akan ke sini, Luthman hanya membisu. Perlakuan tersebut menghiris hatinya yang sedia terluka.

Dia sedar bahawa tiada faedah untuk Luthman bertanya lebih tentang tujuannya ke sini. Dia bukan anak kesayangan Luthman. Entah-entah, Luthman sendiri sudah tidak menganggapnya sebagai anak.

Air mata bertakung di tubir mata. Elnara menghela nafas berat. Perasaan risau tiba-tiba terbit di hati.

Adakah Luthman akan baik-baik sahaja di sana?

Sudah tentu! Wanita kejam itu sepenuh jiwa mencintai Luthman. Tidak mungkin dia akan melukai papa.

Barulah dia dapat menghembus nafas lega.

Pemandangan yang terbentang di hadapan mata tidak lagi menjadi perhatian. Dia ralit dengan dunia sendiri. Kaki menyambung langkah.

Sejauh mana dia pergi wajah Luthman dan wanita kejam itu sentiasa bermain di ruangan mata. Sedarlah bahawa dia tidak akan tenang buat selama-lamanya. Adakah sudah pupus perkataan bahagia dan tenang dalam kamus hidupnya? Air mata yang ditampung, gugur jua.

Langkah terhenti secara mendadak akibat lengannya ditarik kuat oleh seseorang. Seorang lelaki menghadiahkan senyuman sinis. Lelaki ini pasti samseng jalanan. Fikiran negatif dan buruk merasuk akal fikiran.

Dadanya berdetak laju. Perasaan resah mencelah di jiwa. Hilang terus nama Luthman dan Nabiha.

"Let go of me!" jeritnya.

Dia merentap tangannya tetapi tidak berjaya. Semakin Elnara melawan, semakin kuat cengkaman si lelaki.

"No, caro. (No, dear.)" Bahasa itu begitu asing baginya. Namun, dia yakin lelaki ini bercakap menggunakan bahasa ibundanya.

Lelaki itu cuba menolak jasadnya membolosi perut sebuah van hitam tetapi dia sedaya upaya mengeraskan tubuh. Elnara ingin menjerit sekali lagi namun tangan itu menutup mulutnya. Dia meronta-ronta. Badannya dipukul sekuat hati.

Tiba-tiba terdapat satu tangan lain yang menarik tubuhnya. Dia terdorong ke dalam perut van tersebut. Pandangan menjadi gelap saat mata ditutup dengan sehelai kain hitam. Dia cuba melawan lagi tetapi perilakunya terhenti apabila leher menjadi mangsa hentakan lelaki kejam itu.

-

KAIN yang menutup matanya, dibuka kasar. Akhirnya, pandangan Elnara bertukar jelas. Liur ditelan kesat apabila melihat sekumpulan lelaki berpakaian hitam berdiri di dalam ruangan yang sama.

"Hello, sweetie," tegur seorang lelaki dengan senyuman miang.

Elnara sukar bergerak kerana kedudukannya yang berada di atas sebuah kerusi dengan tangan dan kaki yang diikat. Lelaki miang itu cuba menyentuh pipinya.

"Don't. Touch. Me," tekannya. Mata dijegilkan. Elnara cuba menanam keberanian dalam diri.

"Interesting girl." Dia tersenyum senget. Matanya galak menikam wajah Elnara. Elnara rasa nak cungkil sahaja mata yang menyeramkan itu.

"Apa salah aku sampai kau bawa aku ke sini?" Elnara bertanya, resah.

"Salah kau? Entah. Aku cuma diupah untuk buat kerja ni." Dia ketawa sinis. Hidung Elnara dicuit.

Mrs. Ryan Edric ✓Where stories live. Discover now