BUNYI kokokan ayam jantan yang membingitkan berjaya menyedarkan mereka berdua daripada lena. Sedar-sedar sahaja kepalanya sudah berada di bahu gadis itu dan kepala gadis itu terletak di kepala Zayn.
"Eh! Mengapa tuan hamba tidur di bahu hamba?" tanya Cahya dalam nada terkejut dan sedikit geram. Mana tidaknya sedar-sedar sahaja kepala jejaka itu terlentok elok di bahunya, memanglah dia naik angin. Tetapi dia juga apa kurangnya kepalanya pulak berlabuh di kepala Zayn. Perit juga rasa lenguh di leher.
"Aku tak sengajalah! Kalau aku sedar waktu tu, memang tak lah aku nak terlentok dekat bahu kau tu. Tak hingin. Kau pun letak kepala kau atas kepala aku tu dah kenapa? Nak kata orang dia pun sama" balas Zayn tidak mahu mengalah. wajah yang angkuh dia tayangkan.
"Hamba tidak sengajalah! Bukannya hamba mendapat ganjaran pun jika hamba berbuat demikian!" Geram pula dia dengan mamat seorang ini. Ada sahaja butir bicara yang pedas bakal dilontarkan. Boleh berasap otak melayannya. Kini kedua-dua mereka menayangkan riak wajah yamg cemberut.
Cahya mengesot ke hujung pondok dan ingin menuruninya. "Aduh! Sakit!" Gadis itu mengaduh kesakitan, lupa pula dia kakinya telah terseliuh semalam.
"Itulah cari pasal dengan aku lagi, kan dah mendapat" ujar Zayn sambil tersenyum menyenget. Cahya menjeling penuh meluat.
Gadis itu turun dari pondok perlahan. Mulutnya tidak berhenti mengaduh, rasa hendak menangis pun ada. Zayn juga mengesot untuk turun daripada pondok. Dia berdiri sambil berpeluk tubuh, sedih betul melihat gadis itu berjalan terhincut-hincut.
"Tunggu aku!" Laung Zayn apabila Cahya semakin menjauh. "Ish, tak padan dengan kaki terseliuh jalan punya laju macam lipas kudung" Zayn mendecit dan berlari anak mendapatkan gadis itu. Mereka berdua berjalan seiringan.
"Mengapa tuan hamba mengikuti hamba? Menggangu sahaja" ujar Cahya dengan wajah meluat. Kalau boleh hendak sahaja dia picit-picit lelaki itu, geram.
"Ikut kau keluarlah" jawab Zayn dengan wajah tidak bersalah. Gadis itu menggulingkan matanya.
"Jalanlah betul-betul. Terhuyung-hayang macam orang mabuk aje aku tengok" perli Zayn.
"Apa? Tuan hamba me..." kata-katanya terhenti apabila wajah dipalingkan ke arah Zayn, dahinya berkerut.
"Mengapa dahi tuan hamba terluka?" Jarinya runcingnya dituding ke arah luka yang sudah kering itu. Tidak perasan pula dia tadi. Asyik lawan bertekak sahaja sampai apa pun tidak perasan.
"Aku jatuhlah semalam. Jatuh cinta sampai luka dahi ni" Zayn menghamburkan tawa dengan ayat hambar yang dilontarkan. Cahya buat muka menyampah. Orang tanya elok-elok dia buat lawak pula.
"Tidak lucu langsung. Tidak usahlah tuan hamba ketawa. Membingitkan telinga sahaja" Gadis itu menjeling penuh meluat.
"Eleh bingit la sangat" tutur Zayn dengan riak wajah mengejek.
Kini suasana sepi menemani mereka berdua, hanya bunyi kicauan burung yang merdu memenuhi segenap kawasan hutan.
Zayn tayang wajah bosan, dia memeluk tubuh. Kepala yang tidak gatal digaru oleh Cahya, dia bukannya arif sangat selok-belok di hutan ini, sekadar jalan mencari ulam-ulaman dia tahulah.
"Dahlah kau! Tak boleh harap. Semalam kau kata kau orang kampung ni takkan tak tahu nak jalan ke mana" bebel Zayn.
"Ish bisinglah! Tidak membantu langsung" Geram betul Cahya dengan lelaki seorang ini. Membebel mengalahkan burung murai tercabut ekor.
Zayn mengajuk percakapan lantas buat riak wajah meluat. Mereka berdua berjalan tanpa arah tuju. Jangan terserempak dengan beruang sudah, jenuh lintang-pukang mereka melarikan diri.
"Laparnya...." keluh Cahya perlahan. Kalau dapat makan masakan emaknya kan bagus. Apalah nasib badan.
"Aku pun lapar juga, jomlah cari apa-apa untuk kita makan" Datar sahaja intonasi suara lelaki itu. Sebelum perutnya mengeluarkan bunyi-bunyi yang aneh lebih baik dia mencari makanan dengan segera.
Mereka berdua kini mengorak langkah sambil mata melilau ke segenap pelosok hutan. Bersinar-sinar mata Zayn apabila melihat sepohon pokok mangga yang berbuah lebat tidak jauh dari kedudukan mereka. Kecur air liur membayangkan nikmatnya jus buah mangga yang ranum mencurah-curah di dalam mulut.
"Weh Seri, kau nampak tak apa yang aku nampak?" Zayn tersenyum sambil mengangkat sebelah kening. Cahya membalas dengan menganggukan kepalanya.
Seusai itu, mereka berdua berdiri di bawah pohon mangga rendang tersebut. Zayn memeluk tubuh manakala Cahya menggaru kepalanya. Kedua-dua mereka terlihat bingung.
"Bagaimana caranya hendak mengambil buah itu?" tutur Cahya sambil kepalanya perlahan-lahan dipusingkan ke arah Zayn. Muka simpati dipasang. Peluang yang ada jangan disia-siakan, rugi.
"Apa?" soal jejaka itu dengan riak bingung. "Tengok-tengok apa? Nak kayu?" Nampaknya dia sudah dapat menghidu rancangan licik gadis berkebaya itu.
'Oh ada udang di sebalik batu. Bukan udang tapi siput disebalik batu, licik ya' bicaranya dalam hati.
"Hamba tidak mahu kayu, hamba nak buah itu sahaja. Tuan hamba panjatlah. Tuan hambakan kuat, baik hati, dan hebat. Hamba ini hanya seorang gadis yang lemah, apakan daya hamba hendak memanjat pohon yang besar itu" Bibir dicebir, mata dibesarkan dan kedua tangannya dicantumkan.
"Ish, kau terlupa sesuatu ni. Aku tahulah aku baik, kuat dan hebat tapi kau tertinggal sesuatu. Aku nak dengar kau sebut satu perkataan ni, kalau tak, tak adalah buah. Zayn adalah seorang yang...."
"Tinggi?"
"Salah"
"Gagah?"
"Salah juga"
"Aha! Nakal?"
"Apa nakal? Agak-agak lah. Kau ingat aku ni hudak kecil ke? Teka lagi"
Cahya mengetuk dagunya sambil mengerutkan kening. Berbelit otaknya memikirkan apa jawapannya. Zayn pula tayang muka malas. Lambat betul dia ni, berjanggut menunggunya.
"Tuan hamba.... Ka...."
"Sambung, sambung aku nak dengar"
"Ka... Kacak"
"Inilah jawapannya, aku tahu aku kacak tak perlu bagitahu. Apapun terima kasih" Kembang kempis hidungnya mendengar pujian yang entah ikhlas atau tidak.
Gadis itu buat muka menyampah. Perasan betul. Tetapi tidak mengapa, asalkan dia dapat makanan itu sudah cukup. "Jadi cepatlah panjat" Cahya tersengih menayangkan barisan gigi putihnya.
"Tak sabar-sabar, tumbuk karang rongak" Zayn mula memanjat pohon tersebut. Setakat panjat pokok mangga, celah gigi dia sahaja. Buah mangga dipetik dan dilepaskan ke bawah. Cahya pula dengan senang hati mengutip buah-buah yang jatuh.
"Aduh!" Spontan perkataan itu keluar daripada mulut Zayn apabila tangannya berasa perih. "Mak! Kerengga!" Jerit Zayn kuat. Dia mengibas tangannya laju dan menggosok-gosok tangannya.
"Tuan hamba tidak apa-apa?" laung Cahya, risau pula dia apabila mendengar jeritan itu.
Lelaki itu tergopoh-gopoh bergerak menuruni pohon tersebut. Nasibnya sedikit malang apabila dia terjatuh daripada pohon tersebut. Nasib baiklah ketinggian dahan yang terakhir itu tidak terlalu tinggi.
"Tuan hamba tidak apa-apa?" Gadis itu terlihat panik. Rasa bersalah pula dia saat ini.
"Aduh sakitnya pinggang aku" Zayn mengaduh sakit sambil menggosok-gosok pinggangnya.
"Maaf, hamba tidak tahu pula yang tuan hamba akan jatuh. Ini semua salah hamba" ujar Cahya dengan rasa bersalah.
"Dah lah tu, aku okay aje cuma gatal kena gigit kerengga. Jom makan"
"Err baiklah"

ANDA SEDANG MEMBACA
OUTLANDISH LOVE
RomancePertemuan yang tidak pernah diduga itu menimbulkan seribu satu persoalan di benak fikiran. Klasik, itulah perkataan yang dapat diungkapkan apabila Danyal Zayn menjejakkan kaki ke negeri Puspa Suasa. "Sorry cik sorry. Saya baru teringat, cik ni custo...