Qaisara menguap kecil. Lingkaran hitam halus di bawah matanya jelas menunjukkan dia tidak dapat tidur dengan nyenyak malam tadi.
Mimpi dalam tidurnya semalam sering berputar di minda Qaisara. Ibarat tayangan pita rakaman yang berulang kali dimainkan.
Sukar bagi dia melupakan kata-kata wanita tua tersebut.
"Ketaksuban kepada keindahan rupa yang membunuh jiwa."
Perkataan itu terngiang-ngiang di telinga. Mungkin ada dendam yang belum terlunas di sebalik butir bicara si wanita tua itu.
Minda Qaisara penuh dengan simbol tanya. Simbol pertanyaan yang masih belum ada jawapannya. Simbol tanya berkenaan isi tersirat yang terkandung di sebalik semua yang telah berlaku dalam mimpinya.
Telefon pintar milik Qaisara berdering.
Nama Norreen terpapar di skrin.
"Qaisara, petang esok ada perjumpaan penting masa mesyuarat guru tau."
Sebaik sahaja panggilan tadi diangkat, Norreen terus memulakan bicara.
"Perjumpaan penting? Ada majlis atau acara sekolah ke tak lama lagi?"
Qaisara mengajukan soalan kepada Norreen.
"Khabar angin gunung ke lembah mengatakan perjumpaan esok mungkin panas di siang hari, petang pula passing cloud je ni."
Berseloroh sahaja Norreen menjawab persoalan Qaisara. Suaranya jelas sekali sedang mengajuk cara pembaca berita yang menyampaikan ramalan cuaca.
"Aduh, macam ni rupanya bila dapat kawan jenis random tak kira masa." Qaisara berbisik di dalam hati sambil menggelengkan kepalanya perlahan.
Secara tak sedar, dia tersenyum juga mendengar lelucon kawannya itu.
"Saya pun tak tahu apa yang pihak pentadbir sekolah hendak bincangkan dalam mesyurat kali ni. Kita tunggu dan lihat saja apa yang nak disampaikan oleh pihak pentadbir esok."
Qaisara mengangguk tanda faham.
"Mesyuarat pukul 3 petang esok tau. Jangan leka jadi Mat Jenin pula sampai terlambat hadir ya, wahai Tuan Puteri Qaisara."
Norreen bergurau sambil menyelitkan peringatan penting buat Qaisara.
"Insyaallah, awak tunggu saya tau. Nanti boleh kita pergi ke bilik mesyuarat sama-sama. Bukan ke sepatutnya Tuan Puteri mesti sentiasa ditemani oleh Cik Inang yang manis jelitawan?"
Qaisara turut memainkan watak dalam gurauan mereka berdua.
"Ish, mestilah saya manis dan jelitawan sentiasa. Saya dan Alicia Amin tu dah macam adik beradik tau!"
Kembang kempis hidung Norreen bila dipuji oleh Qaisara. Seperti biasa, seronok betul dia memuji dirinya sendiri.
Kalau bukan kita yang puji diri sendiri, siapa lagi yang nak memuji, betul tak?
Itulah apa yang selalu difikirkan Norreen.
Qaisara menggaru kepala perlahan. Bagus juga kawannya yang seorang ini. Sangat berkeyakinan tinggi. Setinggi puncak Gunung Yong Yap.
"Jumpa awak esok!" kata Norreen sambil melambaikan tangan seolah-olah Qaisara sedang berada di hadapannya.
"Jumpa awak esok juga, Norreen." kata Qaisara sebelum mematikan panggilan tersebut.
Buat seketika Qaisara dapat melupakan hal berkenaan mimpi misteri yang dialaminya malam tadi.
"Agaknya apa perkara penting yang Guru Besar nak beritahu dalam mesyuarat esok? Dia nak kahwin lagi ke?" bisik hati kecil Qaisara.
Jangan buat hal, Qaisara. Isteri Encik Awang tu bekas tentera udara tau. Jangan mengundang bom atom gugur atas tanah Pos Tohoi ini pula.
Mimpi misteri sudah dilupakan, mimpi ngeri jangan sesekali diundang.
Tiba-tiba, hidung Qaisara terbau sesuatu. Dia cuba mencari sumber bau itu. Otaknya juga sedang memproses bau jenis apa yang sedang menembusi rongga pernafasannya.
Semakin dia menghampiri pintu rumahnya, semakin kuat bau tersebut.
Jari jemari halus Qaisara memulas tombol pintu secara perlahan-lahan.
Setelah pintu terbuka, mata Qaisara terbuntang luas. Dia terkejut melihat objek yang berada di hadapan pintu rumahnya sekarang.
Bangkai seekor ayam di dalam sebuah kotak hitam yang mempunyai saiz sederhana besar. Terdapat beberapa paku besi yang tertusuk ke seluruh badan bangkai tersebut. Darah merah yang telah kering di kotak itu menghasilkan bauan yang kuat dan menusuk hidung.
"Astaghfirullah, macam mana bangkai ni boleh ada kat sini?"
Panjang Qaisara mengucap sambil menapak beberapa langkah ke belakang. Dia menoleh ke kiri dan kanan bagi mencari gerangan pelaku yang bertanggungjawab meninggalkan kotak tersebut di hadapan rumahnya.
Bulu roma Qaisara tegak berdiri seperti dapat merasakan sesuatu yang tidak baik bakal berlaku.
Hati Qaisara berdoa agar Allah S.W.T meletakkan dia dalam lindungan-Nya.
Semoga dia dijauhkan dari segala musibah yang tidak diingini.
YOU ARE READING
CANTIK [ OG ]
Mystery / Thriller#First Qaisar's Siblings Series ♡ Kasih Qaisara, seorang guru muda di sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman. Kecantikan rupa parasnya menjadi buah mulut guru dan pelajar di sekolah itu. "Ketaksuban pada keindahan rupa yang membunuh jiwa." Kata...