Ebook Sayang Ariana - 1

843 39 1
                                    

TIBA-TIBA aku terdengar bunyi hujan turun sangat lebat. Tak sempat sarung baju, aku ketatkan ikatan kain batik di dada dan capai tuala, selubung bahagian atas.

Terus aku melangkah keluar dari bilik air.

"Syamerrr!!!" Nama si adik aku jeritkan sekuat hati.

"Tolong angkat kain..." Jeritanku terhenti.

Langkah juga terhenti apabila mata ternampak sekujur tubuh seorang lelaki yang tak dikenali berdiri di depan pintu rumah yang sedang terbuka.

"Perompak!" Spontan aku terjerit kecil bila itu yang terlintas di kepala.

Langkah terundur ke belakang.

Sepantas kilat, aku berpatah balik ke arah dapur. Dalam kepala, mahu mencari senjata untuk pertahanan.

Tangan pantas saja mencapai pisau pemotong sayur. Hanya itu yang ternampak oleh mata dan sepantas kilat juga aku berlari kembali ke depan semula.

Lelaki tersebut masih berdiri di ruang depan rumah. Gaya cool saja, bukan seperti orang yang menceroboh untuk tujuan jahat. Tapi sebab aku tak kenal dia, makanya aku perlu berhati-hati.

"Kau siapa?" Sempat pula aku bertanya sambil menjadikan pisau di tangan sebagai senjata.

Sebelah lagi tangan memegang tuala di bawah dagu. Nasib baik ikatan kain batik sudah aku ketatkan sebelum keluar dari bilik air tadi.

"Baik kau keluar sebelum aku baling pisau ni." Pisau di tangan, aku acah-acah macam orang sedang cuba membaling dart ke dinding.

"Aku..." Bicara aku mati bila tiba-tiba Syamer muncul di muka pintu.

"Along! Apa ni main acah-acah pisau?" Syamer yang terkejut terus gunakan lengan dia menutup muka. Pastilah takut aku baling pisau tu terkena ke muka dia.

Yang peliknya, lelaki yang aku ugut nak baling pisau tadi tu, masih cool. Gaya bersahaja berdiri menyeluk poket seluar, seolah-olah sedang melihat pertunjukan fesyen.

Melihat situasi di depan mata, aku yakin Syamer dan lelaki di sebelahnya itu saling mengenali.

Terus aku jatuhkan tangan ke sisi.

"Kau dah kenapa, long? Dengan berkain batik dan pisau bagai?" Syamer tilik aku atas bawah.

Pantas mata aku pandang diri sendiri. Nasib baik semua bertutup dari atas sampai bawah. Tuala yang menutup bahagian atas badan, aku pegang makin kemas. Takut terlucut.

Bila aku kembali memandang ke depan, lelaki yang aku sangka perompak tadi sedang memandangku tanpa lepas.

"Along... ingatkan... perompak tadi." Tiba-tiba saja aku tergagap..

Syamer pandang ke sebelah kemudian kembali memandangku.

"Muka handsome macam ni kau cakap perompak?" Wajah tak percaya, Syamer halakan jari telunjuknya pada lelaki di sebelahnya.

"Tak logik betul la kau ni, long. Kesian kawan aku ni." Dia geleng kepala dan ketawa perlahan. Macamlah aku sedang berseloroh.

"Eh! Kau ingat semua orang muka handsome tu baik ke?" Aku jeling orang yang masih berdiri di sebelah Syamer.

Betullah, memang handsome pun. Aku puji dalam hati.

"Dah la masuk rumah orang tak bagi salam." Tanpa sedar, mulutku mengomel.

"Saya ada bagi salam." Menafikan tuduhanku, lelaki tersebut bersuara.

Buat seketika, aku terdiam. Suara sama kacak dengan orangnya.

Tak tahu nak jelaskan macam mana, tapi suara dia, serak basah yang sangat sedap didengar oleh telinga.

"Hah! Kain." Tiba-tiba aku terjerit bila teringatkan yang tujuan sebenar aku keluar dengan berkemban begini. Mahu Syamer mengangkat kain di jemuran.

"Aku dah angkatlah." Pantas saja Syamer membalas sambil melangkah ke sofa dan labuhkan duduk.

Tangan mengurut dada tanda lega dan aku kembali berpusing untuk masuk ke bilik yang terletak di sebelah ruang dapur.

"Alongg..."

Langkah aku terhenti bila Syamer tiba-tiba jeritkan namaku. Perlahan aku berpaling.

Tapi mata terhala pula pada lelaki yang sudah labuhkan duduk di sebelah Syamer. Riak wajahnya tenang tapi matanya sedang memandangku.

"Kuih Cekodok yang kau buat kelmarin tu sedap. Hujan-hujan ni, lapar laaa..." Pandai sungguh dia psiko aku. Mula-mula puji lepas tu buat muka kesian.

"Kau ingat ni kedai Mak Limah? Main oder ikut perut kau." Terus aku sembur dia.

"Kuih kat kedai Mak Limah tak sesedap yang kau buat, long." Dia psiko aku lagi dengan kata-kata pujian.

Tapiaku buat-buat tak dengar pujian tersebut dan melangkah masuk ke bilik.

SAYANG ARIANA (E BOOK)Where stories live. Discover now