EBook Sayang Ariana - 3

382 26 1
                                    

HARI pertama memulakan kerja, melihat fail yang tersusun di atas meja buatkan aku rasa nak lari balik.

Dah la meja kerja kecil, fail dan dokumen bersepah penuh atas meja sampai nak letak tangan pun dah tak ada ruang.

Betapa banyaknya kerja yang perlu aku selesaikan segera.

"Cik..." Ada suara memanggil.

Aku terus berpaling ke arah Azli, kerani HR yang memanggilku. Ruang HR ni tak besar mana pun, hanya di kelilingi oleh kubikel yang setinggi paras leher dan dalam ruangan tersebut, ada tiga meja kerani dan satu meja Executive serta kabinet. Memang tak ada privasi langsung.

"Fail yang bersusun sebelah kanan tu, kena check hari ni sebelum saya bagi bos untuk tandatangan. Takut ada silap, bos akan bertukar jadi serigala jadian nanti."

Mendengar kata-kata Azli, aku terus tegak badan. Terbayang adegan dalam cerita The Wolf, terus berdiri bulu roma.

"Terkam orang ke?" Tak agak-agak aku bertanya dengan mata tepat ke wajah Azli.

"Tak adalah terkam. Tapi dia akan berdiri kat hujung sana, fail yang salah tu dia lempar jer ke sini." Dengan tangan sekali Azli buat gaya menjelaskan bagaimana aksi bos ketika marah.

"Eh! Kurang ajarnya." Terlepas ayat tersebut dari bibirku.

Awal pagi tadi bila aku melaporkan diri dan Azli bawa aku jumpa semua head of department, bos tak ada sebab ada miting di ibu pejabat. Jadinya, aku belum lagi 'berkenalan' dengan bos.

"Itulah bos yang kita nak kena hadap setiap hari." Serius nada Azli. Sepertinya semua itu adalah benar belaka, bukan gurauan.

Termenung terus aku mendengarnya. Sekarang ni, aku nak terus duduk dan teruskan kerja atau nak lari balik?

"Banyak tempat dah saya kerja, tak pernah lagi hadap bos yang macam gini." Aku mengomel sendiri.

Habis saja omelanku, ada suara bergema dari dalam bilik bos. Pandanganku dan Azli terus bersatu.

Bilik bos di belakang sekali. Ruang pejabat HR ni depan sekali. Maknanya hujung ke hujung floor, aku masih boleh dengar suara tu kuat sangat. Kalau department yang berada di sebelah bilik bos, rasanya boleh pekak telinga kut.

"Fakhrulllll!!!" Suara yang terjerit tadi, kedengaran lagi menyeru nama Fakhrul.

Aku pun tak tahu Fakhrul tu yang mana satu. Kepala aku jenguk sedikit. Nampak lelaki di bahagian akaun melangkah laju menuju ke arah bilik bos.

"Get ready, sekejap lagi satu pejabat akan kena tempias." Azli pula beri amaran.

Dan aku rasakan amaran tu bagaikan amaran banjir besar yang akan melanda. Amaran paras air di tahap bahaya.

"Dah tu, kita nak buat apa ni?" Aku sudah mula menggelabah tanya Azli.

Hari ni, hanya ada aku dan Azli saja di Bahagian HR ni. Seorang lagi kerani sedang bercuti. Azli ni, orang lama. Sudah bekerja di sini sejak awal kompleks membeli-belah ini dibuka.

"Kalau bos jerit, kita buat-buat pekak jer." Macam sudah terbiasa buat begitu, Azli ajar aku.

"Daripada buat-buat pekak, baik buat-buat meninggal terus." Spontan idea tersebut muncul di kepalaku.

"Boleh juga. Tapi takut pula bos yang meninggal nanti tengok kita meninggal serentak." Azli membalas dan dia ketawa sambil tekup mulut.

Aku pun ikut ketawa tapi hanya pendek saja ketawaku sebab tiba-tiba telinga terdengar suara garang encik bos memarahi Fakhrul.

Terus aku menggelabah semula.

"Memang pintu bilik bos tu sengaja dibuka ke? Supaya semua orang boleh dengar suara..." Bicara aku mati bila Azli buat isyarat senyap.

"Bos dah keluar bilik dia." Suara Azli berbisik sambil menunjuk jari ke arah hujung sana.

Kepalanya menunduk bagai sedang menyembunyikan diri. Macamlah kalau orang lalu tepi kubikel tu tak nampak dia yang sebesar anak gajah tu.

Mula tu, aku rasa macam nak buat gaya seperti Azli tapi kepala pula penuh berani memanjangkan leher. Mata mahu melihat bagaimana rupanya serigala jadian yang disebut oleh Azli itu.

Nampak seorang lelaki berkot kelabu sedang melangkah dari hujung sana menghala ke arah sini.

Tak berkelip aku tengok lelaki tersebut. Tadi bila Azli kata bos boleh bertukar menjadi serigala jadian, aku bayangkan orangnya tua ala-ala pelakon Abu Bakar Omar atau paling tidak Jalaluddin Hassan ke.

Tapi yang sedang melangkah itu, nampak muda lagi. Aku agak umur dalam awal 30-an. Tak sesuai jadi serigala jadian. Kalau jadi vampire yang kacak, nampak sesuai juga.

Bila encik bos melintasi Bahagian HR, aku menunduk, tiru gaya Azli sembunyikan wajah. Buat-buat sibuk meneliti dokumen di atas meja.

Tapi tiba-tiba aku nampak kaki encik bos berundur dan berhenti di depan laluan untuk masuk ke Bahagia HR.

Sebab meja aku menghadap arah depan, jadinya aku nampak setiap pergerakan.

"Rose mana?" Suara encik bos bertanya. Tak adalah kuat sangat, tapi aku tersentak bagaikan bertembung dengan bapa harimau. Sampai terhenjut badan.

"Cuti, bos." Azli terus bangkit. Dan aku ikut bangkit.

Aku nampak mata encik bos terarah pada meja kosong di ruang HR tersebut. Rose yang disebut adalah seorang lagi kerani HR yang juga sudah lama bekerja di sini.

"Siapa yang bagi dia cuti?" Lagi soalan dari encik bos. Kali ini nadanya sudah sedikit meninggi.

"Bos yang sign borang cuti dia." Pantas saja Azli membalas. Agaknya takut bos mengamuk pula.

"Ada ke saya sign?" Bagai berfikir, encik bos kerutkan kening.

Kemudian, pandangannya beralih ke arahku.

"Ni siapa?" Tiba-tiba dia alihkan topik, jari encik bos dihalakan ke arahku. Matanya beralih-alih antara aku dan Azli.

"HR Officer yang ganti Encik Wadi, bos." Pantas Azli menjawab. Encik Wadi tu agaknya officer yang telah berhenti kerja sebelum ini.

Dia terangguk-angguk.

Mula tu aku fikir dia akan diam dan pergi. Tapi tiba-tiba langkahnya datang ke arahku, berdiri tegak di depan mejaku.

Matanya pandangan aku atas bawah.

"Sayang Ariana?" Dia sebut nama penuhku, nada bertanya.

Terus aku terangguk mengiakan.

"Tak ada suara?" Lagi soalan dia tanya. Kali ini gaya sarkastik.

"Ada." Spontan suaraku terkeluar.

"Kenapa muka awak tak sama dengan gambar dalam fail yang HQ hantar pada saya?" Encik bos bertanya lagi.

"Saya tak ada buat plastic surgery, bos. Ini memang muka asli saya." Tak agak-agak aku jawab dengan jujurnya.

Tapi tak aku sangka jawapanku mengundang amarah encik bos.

"Saya tanya betul-betul. Bukan main-main!" Suaranya terus meninggi.

Aku jadi tak faham. Sebab aku jawab tadi pun nada serius, bukan main-main. Dah dia yang tanya soalan pelik-pelik.

Betullah kata Azli, Encik Fahim Ikmal ni, boleh marah untuk hal-hal yang kita tak jangka. Dan bil amarah, suaranya mengalahkan petir di langit.

Kalau hari-hari begini, aku pun jadi hujan yang turun dengan lebatnya.

SAYANG ARIANA (E BOOK)Where stories live. Discover now