Ebook sayang Ariana - 2

439 21 1
                                    

DUDUK di meja makan pagi itu, aku nampak wajah mama keruh semacam. Hari ini genap seminggu aku berpindah tinggal di rumah keluarga sendiri.

Sebelum ini, aku tinggal bersama nenek. Tapi bila nenek meninggal dan rumah peninggalan nenek menjadi rebutan adik-beradik mama, aku ambil keputusan untuk pindah ke sini.

Harapannya, bila tinggal bersama keluarga sendiri, kasih sayang yang aku jarang dapat sejak berpuluh tahun dulu, dapat aku kutip kembali.

Tapi, apa yang aku harapkan sepertinya hanya tinggal harapan saja. Sepertinya kasih sayang dalam keluarga ini sangat mahal.

"Selalu ke papa balik lambat?" Soalan tersebut tiba-tiba keluar dari bibirku. Entah pada siapa aku tujukan.

"Selalu." Syamer yang menjawab.

Seminggu aku di rumah ini, hanya sekali saja aku nampak papa balik awal. Selebihnya, aku masuk tidur jam 12 tengah malam, batang hidung papa masih belum nampak. Keluar pula seawal pagi.

Sebagai Guru Besar, aku tak fikir setiap hari kerja sampai lewat malam.

Mama juga seorang guru, boleh saja balik awal ke rumah.

"Papa ada buat bisnes kecil-kecil kongsi dengan kawan dia. Itu yang selalu sibuk." Mama pula menambah, menjelaskan duduk perkara sebenar.

Tapi aku tak nampak wajah mama teruja atau gembira bila bercerita tentang apa yang papa lakukan. Sepertinya ada sesuatu yang sedang cuba mama pendamkan.

Entah! Aku tak rapat sangat dengan mama dan papa. Jadinya, mungkin aku silap meneka.

"Mama gerak dulu." Mama bangkit meminta diri.

Langkah mama, aku hantar dengan pandangan sampai bayangnya menghilang. Tak tahu kenapa, hati terasa sayu.

Sejak kecil, aku ditinggalkan bersama nenek dan datuk di kampung kerana papa dan mama mendapat penempatan sebagai guru di tempat berbeza.

Bila sudah mengajar di daerah yang sama, nenek pula tak mahu lepaskan aku. Lagipun waktu itu datuk telah meninggal dunia.

Makanya, jadilah aku anak terbuang. Ke mana saja mama dan papa pindah, mereka hanya akan membawa Syamer dan juga Naura. Aku kekal bersama nenek di kampung sehingga dewasa.

"Kenapa?" Syamer angkat kening apabila melihat aku termenung jauh.

"Kau tak bosan ke?" Aku pandang tepat ke wajah Syamer.

"Kenapa?" Dua soalan yang sama untuk topik berbeza daripada Syamer.

"Along rasa, semua orang dalam rumah ni macam kehabisan kuota bercakap bila balik rumah." Aku maksudkan papa dan mama. Naura, aku belum jumpa lagi sebab dia belajar dan tinggal di kampus. Sepanjang aku di rumah ini, dia masih belum pulang.

Nasib baiklah ada Syamer, tak adalah aku rasa macam tinggal di rumah orang asing.

"Sebab tu aku selalu lepak rumah sebelah." Itu yang Syamer balas.

Yang aku perasan, rumah sebelah ni rumah bujang sebab banyak motor terparkir di laman rumah dan selalu juga nampak lelaki sebaya Syamer keluar masuk.

Mungkin pelajar Universiti macam Syamer sebab taman perumahan ini hampir dengan kampus UKM.

"Along nak bersiap dulu." Aku meminta diri untuk bersiap ke tempat kerja.

Hari ini hari pertama aku bekerja di tempat baru. Kena keluar awal sebab tak tahu lagi berapa lama masa yang diperlukan untuk sampai ke pejabat.

Aku tinggalkan Syamer di meja makan dan masuk ke bilik. Syamer masih bercuti semester. Makanya, tidur bangun saja di rumah.

Setelah kemas berpakaian, aku terus melangkah ke depan menunggu Grab.

Sebaik menguak daun pintu, aku dikejutkan oleh lelaki petang semalam yang berdiri tegak betul-betul di depan muka pintu.

Dia juga nampak terkejut dengan kemunculanku.

"Cari Syamer ke?" Soalan aku tanya apabila dia tidak berganjak dari tempat berdiri dan laluan aku jadi tersekat.

"Nak pergi kerja ke?" Dia soal aku balik.

"Haah." Aku pandang dia atas bawah. Pakaiannya simple tapi masih nampak kacak dan bergaya.

"Awak ni, tak ada kerja ke pagi-pagi buta dah tercongok depan rumah orang?" Tak fasal-fasal aku sembur dia dengan ayat berbisa. Tapi masih dalam nada yang tenang.

Kalau dia faham, fahamlah. Kalau dia jenis bebal, tak tahu nak cakap apa lagi.

"Tengah kerja la ni." Bersahaja dia menjawab. Dan bibirnya melakar senyum.

"Kerja apa merayap ke rumah orang awal pagi?" Tak puas hati dengan jawapannya, aku balas lagi dengan ayat pedas.

"Nak ajak Syamer sarapan." Masih tenang, dia membalas. Dua tangannya diseluk ke dalam poket seluar, gaya santai.

"Dia dah sarapan..."

"Raf!" Suara Syamer mematikan bicaraku.

Raf tu agaknya nama lelaki ni.

"Sarapan kat sinilah. Along masak tadi, ada lagi tu." Saat itu, Syamer sudah berdiri di sebelahku dengan tangan menggamit temannya itu masuk ke rumah.

"Nak pergi kerja pun sempat masak?" Lelaki yang Syamer panggil Raf itu masih mahu memanjangkan bicara. Keningnya terangkat ke arahku.

"Itu istimewanya along aku. Kalau dia kahwin nanti, perut suami dia akan terjaga." Tak agak-agak Syamer memuji aku di depan temannya.

Dan aku nampak kawan Syamer pandang aku dengan senyuman pendek.

Tak tahu senyum sinis atau senyum mengejek. Tapi senyumnya nampak pelik.

"Dah, along gerak dulu." Aku berikan isyarat agar dia yang masih berdiri tegal di depanku ini bergerak ke tepi, memberi laluan untuk aku keluar dari pintu utama rumah.

Kebetulan waktu itu, Grab Car yang aku oder sudah sampai di depan rumah.

SAYANG ARIANA (E BOOK)Where stories live. Discover now