EBook Sayang Ariana - 4

446 32 6
                                    

SEPERTI biasa, papa belum pulang. Mama pula hanya makan sedikit dan terus naik ke atas. Tinggal aku dengan Syamer saja masih menghadap makan malam di meja makan.

"Long..." Syamer tiba-tiba menyeru.

Tangan yang mahu menyuap mihun goreng ke mulut, terhenti. Kepala aku terus mendongak pandang dia.

"Kawan aku cakap, lempeng pisang yang kau buat pagi tadi tu sedap." Syamer pandang aku sekilas sebelum kembali meneruskan suapan.

Malam ini, hidangan simple saja, aku hanya sempat goreng mihun. Sejak aku di sini, yang jadi tukang masak di rumah ini adalah aku.

Seketika terdiam, aku angguk saja walaupun hati sedikit kembang bila ada yang memuji masakanku.

Keluarga sendiri tak pernah pula memuji.

"Dia kata kau cantik." Tambah Syamer lagi.

Kali ini, kunyahanku pula terhenti. Wajah Syamer, aku pandang tepat. Cuba meneka, mungkin dia sedang bersenda.

"Tapi, aku kata dia buta." Syamer menambah lagi dengan mulut tak henti mengunyah.

Terus keningku berkerut. Aku tengok elok jer kawan dia tu celik. Kenapa tiba-tiba jadi buta pula?

"Sebab dia kata kau cantik. Memanglah buta namanya." Jawapan Syamer berikan sebelum sempat aku membuka mulut bertanya.

Selamba dia kutuk aku dengan cara berhemah begitu.

Kemudian, dia menyengih.

"Kalau kau cakap semua ni sebelum makan tadi, harus along letak racun tikus dalam makanan kau." Aku kacip gigi tanda geram.

Terus Syamer tergelak bila tengok gaya aku tak puas hati begitu.

Tahulah aku ni tak cantik mana. Tahulah aku ni dah berumur tapi belum kahwin lagi. Sebabnya, tak ada lelaki yang nak.

Tapi tak payahlah nak perli aku sampai terus dibutakan orang yang puji aku cantik.

"Lepas ni..." Bicara aku mati bila tiba-tiba telefon Syamer di atas meja berbunyi dan jemarinya menyentuh skrin.

"Raf ajak aku dinner." Syamer mendongak memandangku.

Sebut saja Raf, mindaku terbayang wajah teman Syamer yang muncul di depan pintu rumah pagi tadi. Wajah tenang dengan gaya yang agak menarik.

Siang malam cari Syamer, tak ada kawan lain ke budak tu?

"Boleh tak aku panggil dia dinner mihun ni?" Seperti meminta izin, Syamer ajukan soalan.

Cara dia tu, macamlah aku tuan rumah. Tapi bagus juga dia tanya aku dulu. Sekurang-kurangnya aku tahu rasa hormat dia pada aku tetap tinggi walau aku baru saja berpeluang tinggal sebumbung dengan keluarga sendiri.

"Dia tak ada mak bapak ke?" Aku balas soalannya dengan soalan.

"Dia ada kat sebelah, la." Syamer tunjuk ke arah rumah bujang di sebelah kiri.

"Ooo... Menyewa kat sebelah ke?" Kepala aku terangguk perlahan.

Patutlah awal pagi tadi dah muncul. Duduk sebelah jer rupanya. Tapi sepanjang aku di sini, baru petang kelmarin aku nampak muka lelaki tu. Agaknya sebab sebelum ni, Syamer yang melepak di rumah sebelah.

"Dia melepak time cuti jer. Tak menyewa pun. Family dia dekat Cheras jer pun."

"Oooo..." Sekali lagi aku bulatkan mulut dan terangguk.

"Sama kampus dengan kau ke?" Entah kenapa, banyak pula soalan aku tentang kawan Syamer tu.

Nak kata aku berminat, tak juga. Tapi mulut jadi ringan saja nak tanya itu ini.

Syamer geleng kepala. Tangan sibuk menekan skrin telefon dan mata juga fokus pada skrin telefon yang terletak di atas meja makan.

"Dia lagi tua dari aku la. Study kat London."

Terus aku terdiam mendengar penjelasan Syamer. Ni bukan biasa-biasa punya orang.

"Kau..." Soalan yang ingin aku tanya terhenti bila kedengaran loceng rumah berdering.

"Raf!" Syamer pantas bangkit menuju ke depan.

Aku pula menggelabah bangkit melangkah ke bilik mencari tudung. Nasib baiklah ruang makan dengan bilikku sebelah menyebelah saja.

Keluar dari bilik, aku nampak sudah ada dua manusia duduk di meja makan. Pinggan yang masih berbaki mihun goreng, aku angkat ke singki. Sudah hilang selera untuk terus makan.

Kalau masih ada sisa selera pun, takkan aku nak join mereka makan sekali. Topik apa aku nak sembang?

"Maaf sebab ganggu." Tiba-tiba si tetamu bersuara. Dia mendongak ke arahku.

Pergerakanku yang mahu melangkah ke singki terhenti.

"Selagi mihun tu tak habis, jangan balik!" Aku cuba bersenda untuk menghilangkan rasa gemuruh yang tiba-tiba muncul.

Tak tahu kenapa, lirikan mata dia buatkan aku jadi salah tingkah.

Dia senyum dan angguk. Waktu yang sama, Syamer sudah menyenduk mihun goreng ke dalam pinggan kosong dan disuakan ke depan kawannya.

Aku pula terus berlalu ke singki.

Selesai membersihkan pinggan dan peralatan yang aku gunakan untuk memasak tadi, aku melangkah keluar dari ruang dapur untuk ke bilik.

Sebabkan bilikku di sebelah ruang makan, makanya aku bertembung mata lagi dengan tetamu yang sedang duduk bertentang dengan Syamer.

"Sedap mihun ni." Si kawan Syamer memuji saat aku lalu di tepi meja makan.

"Mmm... Sebab akak masak dengan penuh kasih sayang." Sengaja aku bahasakan diri sebagai akak sebab dia kan kawan Syamer, haruslah pangkat adik-adik walaupun tadi Syamer beritahu kawannya ini lebih berusia darinya.

Syamer tiba-tiba tergelak. Entah apa yang digelakkan, aku sendiri pun tak tahu.

"Kalau makan ni, harus akan jatuh sayang."

Langahku yang mahu pergi terus terhenti. Aku berpaling. Tapi wajah kedua-duanya nampak bersahaja.

Aku yakin yang bercakap tadi bukan Syamer. Sebab suara serak tu, sama dengan suara kawan Syamer yang sekarang ni sedang menyuap mihun ke mulut.

Dia nak jatuh sayang pada aku ke?

SAYANG ARIANA (E BOOK)Where stories live. Discover now