BAB 1

20K 1K 40
                                    

APA yang harus dia lakukan sekarang? Tangannya menggeletar hebat memegang pregnancy test itu. Positif! Dia hamil. Belakang badannya disandarkan ke dinding. Perlahan-lahan tubuhnya melorot jatuh ke atas lantai bilik air.

Kedua-dua belah lutut dibawa rapat ke dada lalu dipeluk kemas. Matanya terkebil-kebil melihat pregnancy test itu. Ini bukan yang dia mahukan. Wanita lain akan menangis kegembiraan jikalau mendapat berita ini. Namun, bukan Airis.

Airis menangis mengenangkan kebodohan yang dia lakukan. Dicampak kasar pregnancy test itu ke dinding. Kepalanya ditunduk ke bawah memandang perutnya. Fikirannya mula serabut memikirkan masalah besar ini.

Bagaimanakah penerimaan Firash nanti?

"Kak Airis kenapa lama sangat kat dalam bilik air? Akak okay tak?"

Pintu bilik air diketuk beberapa kali diselang-selikan dengan suara seorang lelaki di luar. Orang di luar terusan memanggil nama Airis.

Eiman di luar bilik air mula pelik. Tiada respons dari orang di dalam. Dia masuk ke bilik kakaknya kerana mahu meminjam barang kakaknya. Hampir 10 minit dia menunggu di luar semata-mata mahu meminta izin. Dia risaukan sebarang kemungkinan yang terjadi pada kakaknya di dalam bilik air.

"Aka-" Ayat Eiman tergantung apabila pintu bilik air dibuka dari dalam. Tangannya yang ingin mengetuk pintu tadi, diturunkan ke bawah. Wajah pucat kakaknya memenuhi pandangan. Kak Airis sakit ke?

"Akak okay tak?" tanya Eiman risau.

Airis menjatuhkan kepalanya sekali.

"No. Akak tak okay. Akak menangis." Yakin Eiman berkata. Mata Airis merah seperti baru lepas menangis.

Airis menolak ketepi tubuh Eiman yang menghalang laluannya. Tangannya menyambar kunci keretanya di atas meja. Dia perlu berjumpa Firash dan memberitahu perkara sebenar kepada lelaki itu. Lelaki itu pasti akan bertanggungjawab dan menikahinya. Maka tiada sesiapa yang akan tahu mereka sudah terlanjur sebelum berkahwin.

"Akak nak pergi mana?" Eiman masih belum keluar dari bilik Airis. Dia berdiri di tempat yang sama. Setiap gerak-geri Airis diperhatikan.

Airis jadi rimas dengan soalan Eiman.

"Penyibuk la kau ni!" Marah Airis.

"Akak nampak tak sihat. Muka akak pucat. Kalau akak nak keluar sangat, bagi Man yang drive kereta akak." Lembut suara Eiman memujuk.












SESEKALI mata Eiman menjeling ke sebelah sambil memandu kereta. Sepanjang mereka berdua berada di dalam kereta, Airis tidak henti menghubungi Firash namun langsung tidak berangkat. Airis mengetap giginya kuat. Dia mencuba lagi dan lagi.

"Please pick up the phone, Rash."

Eiman mendapati Airis gelisah sejak dari rumah lagi. Apa yang tak kena dengan kakaknya ni?

"Eiman..." Airis memanggil perlahan. Bibir bawahnya dibasahkan sekali. Terlalu berat untuk dia membuat permintaan ini. Mahu tak mahu dia perlukan kepastian sama ada dia benar-benar mengandung atau tidak. Keputusan pregnancy test tadi tidak cukup. Boleh jadi pregnancy test itu rosak.

Airis mengharapkan keputusan pemeriksaan yang bakal terima daripada klinik nanti, bertentangan dengan apa yang dilihat tadi.

"Ye, kak."

"Boleh tak Man hantar akak pergi klinik dulu."

"Boleh." Eiman menurut. Dia mula mencari klinik yang berdekatan di kawasan itu.

Tidak mengambil masa yang lama untuk Eiman mencari klinik di kawasan itu. Dia memberhentikan kereta di hadapan sebuah klinik. Airis terlebih dahulu keluar dari kereta.

"Nak Man temankan tak?"

Airis menggeleng kepalanya laju. "Man tunggu je dalam kereta."

Apa yang disuruh Airis, Eiman terpaksa akur. Menjadi penunggu di dalam kereta sambil bermain dengan telefonnya. Hampir sejam juga dia menunggu Airis selesai urusannya sehinggalah susuk tubuh Airis kelihatan keluar dari klinik.

Wajah Airis beriak mendung, gelisah, sedih. Semuanya bercampur menjadi satu. Dia masih tidak berganjak di hadapan pintu klinik. Dia termenung seakan berada di dalam dunianya sendiri. Apa yang terjadi di sekelilingnya sudah tidak dipedulikan. Jerkahan seseorang dari arah belakang mengembalikannya ke realiti. Realiti yang terlalu pahit.

"Kau kenapa tercongok depan pintu ni jadi patung!"

Mata Airis mula basah dengan air mata. Air matanya mengalir bukan kerana dimarahi pemuda tadi. Namun, hasil pemeriksaan yang diterima. Masih terngiang-ngiang suara doktor bernama Diana mengucapkan tahniah kepadanya. Tahniah atas kandungannya yang sudah masuk empat minggu ini.

Dia segera menghapus air mata yang mencemari pipinya. Eiman tak boleh nampak dia menangis. Nanti apa pulak yang difikirkan lelaki itu. Dia melangkah masuk ke dalam kereta dan berpura-pura seperti tiada apa yang terjadi.

Berbeza kali ini Eiman langsung tidak bertanyakan apa yang terjadi kepada Airis. Hanya mendiamkan diri. Setengah jam kemudian, kereta yang dipandu Eiman berhenti di hadapan sebuah rumah agam. Rumah keluarga Firash.

Airis pandang wajah Eiman. Belum sempat dia mahu bersuara, Eiman lebih pantas memotong.

"Man tunggu dalam kereta. Akak pergilah jumpa abang Firash."

Loceng rumah ditekan sekali. Airis menunggu selama beberapa minit. Pintu pagar kecil dibuka oleh seorang pembantu rumah. Pembantu rumah itu mengecam wajah Airis yang selalu bertandang ke rumah itu. Airis merupakan rakan baik kepada anak majikannya. Dia membawa Airis masuk ke dalam rumah.

Ketika itu Serra yang menuruni anak tangga terserempak dengan Airis.

"Firash mana, Serra? Aku nak jumpa dia. Dia langsung tak angkat call aku." Bertubi-tubi Airis menyerang Serra dengan soalan.

Serra teragak-agak mahu membuka mulutnya dan memberitahu perkara yang sebenar.

"Serra."

Kenapa Serra hanya diam? Susah sangat ke untuk Serra menjawab soalannya.

"Abang Firash dah tak ada."

KESEMPATAN KEDUAWhere stories live. Discover now