Dengan langkah yang malas dia menuju ke biliknya yang sekarang berkongsi dengan lelaki lain. Menurut Eiman, suaminya sudah lama masuk ke dalam bilik. Dia sengaja mahu berlama-lama di luar. Dia masih rasa kekok untuk duduk satu ruang dengan Riyaz. Boleh dikira dengan jari saja berapa kali mereka bertemu dan sekarang mereka sudah menjadi suami isteri.
Mengeras tubuh Airis setiap kali Riyaz mengambil kesempatan ingin memegang tangannya dan memeluk pinggangnya. Bila dia jegilkan matanya kepada Riyaz, lelaki itu sekadar tersenyum. Senyuman penuh makna.
"Lelaki gatal," kutuk Airis yang sedang berdiri di hadapan pintu biliknya. Lama dia merenung pintu itu sepertinya mahu ditembus dengan renungan tajamnya.
"Harap-harap la dia dah tidur." Dia menadah tangannya dan meng-aminkan doanya selepas itu.
Semoga Riyaz dah tidur. Dan dia tak perlu menghadap lelaki itu.
Airis penat seharian ini. Dia tidak sabar mahu melompat ke atas katilnya dan bergolek-golek sebelum tidur. Nafasnya ditarik dalam lalu menolak luas pintu biliknya. Katil kosong. Kelibat Riyaz pula tidak kelihatan. Betul ke Riyaz dah masuk bilik?
"Cari saya ke?" Suara garau itu muncul dari arah belakang Airis.
Terhenti perbuatan Airis yang ingin menanggalkan selendang di atas kepalanya. Jatuh kedua belah tangannya di sisi badan. Dia teragak-agak mahu pusingkan tubuhnya.
"Kenapa awak tak pakai baju?!" Nyaring suara Airis menyoal. Pantas dia membelakangi Riyaz semula. Segan dia apabila Riyaz menghadiahkannya satu pemandangan yang luar biasa. Lelaki itu hanya bertuala menandakan dia baru lepas mandi. Fuh, badan suaminya berketul-ketul.
"Nak pakai la ni." Riyaz membalas tenang. Terukir senyuman nakal di wajahnya. Airis nampak gabra tadi. Mungkin terkejut dengan penampilannya.
"Awak nak saya pakai baju je ke? Seluar tak payah pakai?"
"Apa jenis soalan awak tanya ni?"
"Tadi awak tanya kenapa tak pakai baju..."
"Pakai semuanya! Dari atas sampai ke bawah tertutup!"
Arahan tegas Airis disambut dengan tawa besar Riyaz. Airis menahan geram mendengar bunyi tawa Riyaz. Entah apa yang lawak sangat pun dia tak tahu. Keadaan selepas itu bertukar menjadi sepi. Airis masih berdiri tegak, langsung tidak bergerak dari tempatnya. Dia baru nak bertenang dari kejadian tadi, Riyaz tiba-tiba menyentuh bahunya dari arah belakang. Adoi, dia nak apa pula ni.
"Awak takut dengan saya ke, Airis?"
"Tak. Kenapa saya nak takut dengan awak?" Airis menjawab angkuh.
"Pandang saya kalau awak tak takut."
Bulu roma di tengkuk Airis mula merinding. Meremang dibuatnya apabila si suami berbisik halus di tepi telinganya. Betapa rapatnya jarak mereka di saat ini. Demi membuktikan yang dia tak takut dengan suaminya, dia buat seperti yang disuruh. Dipandang Riyaz tepat ke dalam mata. Ralit merenung wajah Riyaz, lelaki itu mengukir senyuman sekali lagi. Mujurlah suaminya sudah berpakaian lengkap di saat ini. Kalau tidak, nak pandang muka Riyaz pun dia segan.
Riyaz mula merapatkan jarak di antara mereka. Cepat-cepat Airis menekapkan tangannya di dada Riyaz sekaligus menghalang Riyaz daripada mara ke hadapan lagi.
"Err... Awak nak buat apa ni, Riyaz?"
Soalan Airis dihiraukan. Tangan Riyaz mula naik menyentuh selendang yang menutupi kepala isterinya. Perlahan-lahan dia tarik selendang itu dengan mudah kerana Airis hanya selempangkan selendangnya di bahu.
Airis buat-buat batuk mahu menyedarkan Riyaz yang tak melepaskan renungan pada rambutnya.
"Dah lama saya tak nampak rambut awak." Tanpa sedar Riyaz menggumam perlahan.
YOU ARE READING
KESEMPATAN KEDUA
Romance"Airis dah terlanjur dan sekarang Airis mengandung." Siapakah yang menanggung semua ini jikalau bukan gadis muda ni. Belum sempat Airis memberitahu perkara sebenar kepada ayah di dalam kandungannya, lelaki itu sudah meninggalkan dirinya. "Selepas k...