BAB 9

4K 357 15
                                    

"Bahagian mana yang kau tak faham bila aku kata jangan masuk campur masalah keluarga ini."

"Kak Sofia... Saya sedar kedudukan saya dalam keluarga ni." Umi Warda masih lembut berbicara dengan Tengku Sofia. Sebaliknya pula dengan Tengku Sofia.

"Baguslah kalau kau sedar." Tengku Sofia ingin mengakhiri perbualannya dengan ayat itu. Dia tidak betah lagi berdiri satu ruang dengan madunya. Sungguh dia tidak bersetuju dengan tindakan suaminya membawa pulang isteri kedua ke dalam rumah ini. Kenapa perlu diheret sekali Umi Warda ke dalam masalah ini?

"Saya masuk campur hal keluarga ni disebabkan Airis. Kak Sofia sendiri pernah melahirkan anak. Jadi Kak Sofia sepatutnya memahami emosi ibu yang baru lepas bersalin. Dia perlu berpantang. Bukannya dikurung dalam bilik ni. Abang Sulaiman dah pisahkan Airis dengan anak dia. Kemudian, kurung dalam bilik ni. Akak rasa betul ke perbuatan abang Sulaiman ni? Airis masih anak akak walau seteruk mana pun dia dah sakitkan hati akak."

Umi Warda menyaksikan penderitaan Airis selama berbulan lamanya. Airis memang sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri. Bukan seperti anak tiri. Begitu juga dengan Eiman. Cumanya Mariya saja yang berbeza kerana tidak menyukai kehadirannya. Umi Warda mengerti kenapa layanan Mariya kepadanya berbeza. Dia dianggap perampas.

"Kau tak berada di tempat aku, memang senang la cakap. Aku dan abang Sulaiman yang kena hadap cemuhan orang kalau tahu Airis mengandung anak luar nikah. Orang akan kata kami ni tak reti jaga anak sampaikan bebas bergaul dengan lelaki. Terlanjur pula tu. Apa yang abang Sulaiman buat ni untuk kebaikan semua orang. Anggap saja ni balasan untuk seorang anak yang melukai hati orang tuanya dengan perbuatan keji dia."

"Kau pun ada anak perempuan. Mungkin kau patut risau dan berhati-hati mulai dari sekarang. Siapa tahu nasib kau pun macam aku. Baru kau tahu rasanya macam mana bila seorang anak balas jasa kita dengan perbuatan yang memalukan. Aku nak ingatkan kau... Semua ni terjadi disebabkan pilihan Airis. Dia yang setuju nak bagi anak tu dekat orang lain."

Tengku Sofia berlalu pergi setelah puas berbicara panjang.

Umi Warda memandang wajah Mak Wan dan Eiman yang masih berada di situ.

"Apa kita nak buat ni, umi?" soal Eiman yang sendiri sudah buntu. Ayah mereka terlalu degil dan arahan ayahnya tadi bukan semudahnya boleh dilanggar.

"Eiman memang tak tahu ke ayah bawa ke mana anak Airis?"

Eiman menggeleng kepalanya sekali. Dia tiada sebarang klu untuk menjejaki anak kakaknya. Tengku Sulaiman terlalu pantas bertindak.

Fikirnya, ayah mereka akan memberikan sedikit waktu untuk Airis bersama anaknya yang baru dilahirkan. Ternyata sangkaan Eiman meleset sekali. Pada hari kejadian juga, Tengku Sulaiman membawa lari anak Airis.











UMI Warda tidak boleh tidur pada malam itu. Puas dia mengubah posisi baringnya, agar dapat melelapkan matanya. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Airis. Hatinya jadi tak tenang selagi tak melihat keadaan Airis. Dia tak tahu apa yang terjadi pada Airis di dalam biliknya. Bingkas dia keluar dari biliknya dan menuju ke bilik Airis bersama kunci di dalam genggamannya.

"Airis..." Nama itu diseru tatkala dia menjejakkan kakinya masuk ke dalam bilik Airis yang gelap gelita. Tangannya memanjang menekan suis lampu.

Kelihatan sekujur tubuh Airis terbaring di atas lantai. Segera Umi Warda mendapatkan Airis.

"Ya Allah... Airis."

Umi Warda mengangkat kepala Airis penuh berhati-hati lalu dipangku dengan ribanya. Dia menyelak rambut Airis yang menutupi sebahagian wajahnya.

"Airis..."

Mata Airis perlahan-lahan terbuka. Pandangannya kabur. Samar-samar wajah Umi Warda memenuhi pandangannya.

"Umi." Lemah suaranya menyahut. Sedikit serak suaranya gara-gara banyak menjerit.

Umi Warda menolong Airis berdiri lalu dipapahnya bawa ke katil. Dia membaringkan Airis di atas katil. Kemudian, dia menyelimuti tubuh Airis sehingga ke paras dada.

Wajah Airis langsung tidak berperasaan. Riak wajahnya kosong tanpa emosi.

"Airis dengar bunyi baby menangis." Tiba-tiba Airis bersuara.

"Mana ada bunyi baby menangis." Sanggah Umi Warda.

"Umi tak dengar?"

"Tak," jawab Umi Warda sepatah. Dia menyuakan segelas air kosong yang baru dituang kepada Airis. Namun, hulurannya ditolak dengan gelengan kepala Airis.

"Airis dengar anak Airis menangis. Dia mesti lapar." Suara Airis bertukar sayu. Dia bergegas turun dari atas katil dan berjalan laju mengelilingi biliknya.

"Mana anak Airis? Airis kena susukan dia. Dia lapar sangat tu."

Airis mula memukul kepalanya sendiri. Dia jadi serabut dengan bunyi tangisan itu. Dalam keadaan begitu dia boleh mencederakan dirinya dengan menggunakan apa-apa objek berdekatannya. Dia yang hampir rebah ke atas lantai itu, sempat disambut oleh Umi Warda.

Pecah kuat tangisan Airis bersama jeritannya di dalam dakapan Umi Warda. Dia melepaskan segalanya.

"9 bulan Airis mengandungkan dia. Bila dia dah lahir, Airis dapat tengok dan pegang dia untuk sekali saja..." ujar Airis diiringi esak tangisannya.

Umi Warda tak mampu berkata apa. Dia mengusap lembut belakang badan Airis. Lama mereka dalam keadaan begitu sehinggalah tangisan Airis reda.

"Teman... Airis malam ni."

Permintaan itu dengan senang hatinya dituruti Umi Warda. Dia naik ke atas katil Airis dan baring di sebelah anak tirinya.

"Ini balasan untuk seorang anak yang melukai hati orang tuanya dengan perbuatan keji dia. Airis dengar apa yang ibu cakap tadi. Betul kata ibu. Inilah balasan untuk segala dosa Airis. Airis yang buatkan ibu dan ayah berubah sehingga ke tahap ni. Dulu Airis yang nak buang anak tak bersalah tu. Airis anggap dia menyusahkan hidup Airis. Lama-kelamaan Airis mula sayangkan anak tu. Airis nak besarkan dia. Waktu tu Airis dah lupa janji Airis dengan ayah. Airis nak larikan diri dan membesarkan anak tu dekat tempat yang jauh dari semua orang. Sekarang anak Airis dah tak ada. Dia dah pergi jauh dari Airis. Ibu benci Airis. Ayah benci Airis. Semua orang bencikan Airis."

Air matanya mengalir lagi. Airis mengelap air matanya sambil tertawa. Ketawa yang jelas dibuat-buat. Dia baring menghadap Umi Warda. Mereka saling menghadap.

"Airis kena reda kan umi. Reda yang anak tu takkan kembali semula pada Airis."

Umi Warda memeluk Airis sekali lagi.

"Apa yang Airis kena lakukan sekarang adalah doakan keselamatan anak Airis. Kita tak tahu dia ada di mana sekarang. Selamat atau tak, kita tak tahu. Kita minta pada Allah supaya lindungi anak tu dari sebarang kejahatan. Ambil la sebanyak mana masa untuk Airis reda. Tapi Airis kena ingat, Airis tak boleh selamanya macam ni. Airis kena bangkit."

"... Umi akan sentiasa ada dengan Airis."

Airis membalas pelukan ibu tirinya.

KESEMPATAN KEDUAWhere stories live. Discover now