BANGUNAN Piramid Kaca ikonik yang tertancap pada retina mata menandakan Durrah dan Fath sudah tiba di destinasi. Lega. Sampai juga akhirnya. Pintu masuk utama ke ruangan dalam muzium dituju. Durrah berjalan di tengah-tengah dataran yang rata-ratanya dibanjiri pengunjung yang sedang mengambil gambar. Entah kenapa terasa canggung pula berjalan bersendirian sedangkan Fath senyap tak berkutik di belakangnya. Durrah terfikir untuk menoleh. Mahu memastikan jejaka itu masih mengekori di belakang. Mana tahu kut lelaki itu sudah merewang ke tempat lain.
Belum sempat Durrah mahu menoleh, menyua Fath untuk berjalan seiring dengan dia, jejaka itu sudah mendahului di hadapan. Menonong sahaja tubuh tinggi lampai itu lalu di sebelahnya. Tak langsung pedulikan Durrah yang masih tercegat.
Durrah mendengus geram. Tak tercakap mulut mahu memanggil lelaki itu. Lagipun dia tak rasa Fath akan layan kalau dia panggil sekalipun.
"Aih, macam dia pulak yang dah mahir dengan tempat ni. Jalan bukan main laju lagi..." sambil bercekak sebelah pinggang Durrah merungut dalam hati.
Nak tak hendak langkah terpaksa Durrah lajukan untuk mengejar Fath yang sudah menjauh. Bukan apa, dia risau kalau-kalau lelaki itu sesat pula. Muzium Louvre ini bukannya sekangkang kera. Besar yang amat! Ada empat pintu masuk di setiap empat penjuru muzium. Bukan sebarang pintu, tetapi kereta pun boleh lalu. Sedangkan Durrah yang sudah bekerja di situ pun perlu harapkan Amna untuk beri pandu arah. Ini pula Fath yang baru sampai sini. Lagi pula, Durrah ada mengirim mesej pada Amna tadi tentang keberadaan dia di sini dan gadis itu beritahu dia sudah menunggu Durrah berdekatan kaunter tiket. Jadi tak bolehlah Durrah berjalan terkedek-kedek macam itik pulang petang. Biarkan Amna menunggu.
Durrah nampak Fath sudah menghala ke pintu masuk yang betul. Tapi lagi satu masalah pula yang Durrah risau, Fath tahukah laluan mana yang betul bila dah masuk dalam muzium nanti? Alahai, nak tak nak Durrah kena bantu!
Dengan kain labuh yang terbang ditiup angin, Durrah perlu mengatur langkah sangat berhati-hati. Tak mahu dia terpeleot lagi macam tadi. Malu woi!
Bunyi nada dering mesej menerpa telinga Durrah. Sedang Durrah terkial-kial mahu membimbit beg tangan tanpa talinya, menilik telefon bimbit dan memegang kain gaun lace supaya tidak terselak dek angin kuat. Kertas lukisan yang dia pegang macam mahu ikut melayang sama. Rambut pun sibuk menutupi mata. Terpaksa Durrah berhenti seketika. Maklumlah tangan dia ada dua sahaja.
Mesej yang meluncur keluar di paparan skrin dan tertera nama Amna itu tidak semena-mena buat Durrah berkerut kening.
"Khai dengan Marc pun ada sekali dekat luar tu. Tunggu coworker baru sampai." Durrah menuturkan bait mesej tersebut.
Pekerja baru? Timbul tanda soal daripada kepala Durrah. Wajahnya diangkat memandang ke hadapan. Susuk tubuh Fath sudah jauh daripada dia. Tak terkejar sudah Durrah untuk mengejar. Langkah Fath perlahan namun ayunan kaki yang panjang itu menyebabkan dia sekejap sahaja sudah meninggalkan Durrah jauh di belakang.
Fath ke pekerja baru tu?
* * *
FATH yang daripada tadi berjalan mengerling sedikit dari sisi bahu. Dari ekor mata helangnya, dia nampak Durrah sedang huru-hara. Berlari-lari anak mengejar langkahnya. Fath pun tak tahu kenapa hatinya terasa berubah jadi prihatin. Tetapi mengenangkan gadis itu sebegitu rupa, dia lantas menghentikan langkahnya.
Dia bongkokkan badan. Sengaja dia tunduk sebentar bertongkat sebelah lutut membetulkan tali kasut. Biarpun tali kasut itu elok sahaja terikat rapi. Fath tetap buka semula ikatan itu dan berpura-pura mengikatnya semula. Mahu menanti Durrah tiba di sebelahnya semula untuk menyaingi dia berjalan sama-sama memasuki muzium.
YOU ARE READING
Enchanté [NEW STORY]
Romance"Nice to meet you." - FATH HAZIL "We don't use that here. Instead, Enchanté." - DURRAH QAILA Déjà vu. Ilusi memori itu tidak semuanya benar. Boleh jadi memori itu sekadar imaginasi atau peristiwa sebenar yang bercampur-baur dengan keadaan sekeliling...